Responsive Ads Here

Monday, 19 September 2016

Kari Daging Korban Sedap Yang Mendapat Pujian Suami



 
Sempena cuti hujung minggu yang panjang serta sambutan Hari Malaysia, Encik Hubby menolong saya di dapur. Maklum yang ada di rumah, hanyalah 2 orang anak bujang sahaja. Hubby tolong menghiris daging yang masih separuh beku selepas dikeluarkan dari peti ais dan membasuh kuali besar di sink belakang rumah. Kami menghabiskan masa dengan bersarapan bersama sama, berkebun bersama sama, menonton televisyen bersama sama dan bersolat di surau bersama sama. Inilah masa yang betul betul berkualiti. Lama betul kami tidak meluangkan masa sebegini, apalagi untuk berduaan di gazebo di bawah cahaya bulan purnama yang sedang mengambang. Terasa seperti pasangan kekasih yang sedang bercinta. Telah lama kami tidak bersembang dan berbicara santai. Selama ini, masing masing sibuk dengan urusan sendiri. Memang lah patut suami isteri pergi bercuti berduaan. Kembali mengeratkan kasih sayang supaya tak ada pihak ketiga yang cuba menumpang dalam perkahwinan yang dibina. Nasihat saya setiap orang perlu menjaga batas pergaulan di pejabat supaya urusan kerja tidak terbawa bawa ke urusan ber WhatsApp personal pulak. Memang ramai yang saya lihat di depan mata, hatta kepada mereka yang sama sama telah berkahwin sekali pun boleh bercerai berai bila tidak tahu menjaga batasan pergaulan. Awaass saya lihat dan saya perhati... Cukup di sini dahulu.

Semasa dalam perjalanan balik dari bersarapan lontong kegemaran saya di Kundang, Hubby mencadangkan agar saya memasak hidangan tengahari untuk anak anak. Kali ini saya memasak Kari Daging Korban yang dibuat ala ala Gulai Daging Kelantan yang tidak berminyak seperti kari biasa. Daging jangan dihiris terlalu nipis nanti tak rasa seperti daging yang bertekstur berurat. Kalau boleh, guna sedikit bahagian yang ada lemak. Masak daging korban ni, memang sedap. Dagingnya terasa manis. Selain kari daging, saya juga menyediakan Ikan Cencaru Sumbat Sambal, sayur kacang bendi goreng serta daging goreng garam kunyit. Masalah bila memasak pelbagai lauk pauk adalah kerana dapur hanya ada dua sahaja. Terpaksa menunggu lepas satu masak, baru dijerang lauk lain. Berpeluh juga bila lama lama di dapur. Kipas siling di dapur yang berpusing laju juga tidak mengurangkan suhu badan yang panas. Hari ni terasa nak masuk bakul, angkat sendiri kerana kari ini sangat sedap. Secukup rasa dan lemaknya. Hubby juga memuji muji. Kembang kempis hidung saya. 

Jom layan resepi mudah yang biasa saya gunakan. Kalau cara kakak saya lagi mudah, semua bahan dikisar sahaja. Lebih menjimatkan masa tanpa merubah keenakannya pun.. 

 


Kari Daging Korban

Bahan bahan:
1 kg daging
1 biji bawang besar - cincang
4-5 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
1/2 sudu besar cili kisar - opsyenal
3 sudu besar rempah kari daging 
Rempah - kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
1 kotak santan kotak
1 sudu besar kerisik
Gula Melaka
Garam
Sedikit pes asam jawa
2 biji kentang - potong 4

Cara cara:
Panaskan minyak dan masukkan rempah penumis serta  bawang bawang dan halia. Tumis sehingga layu dan wangi. Masukkan cili kisar, jika suka. Tumis sehingga cili garing. Tuangkan serbuk kari yang tidak dibancuh dengan air. Kacau laju laju dalam 1-2 minit sebelum dimasukkan air. Kacau lagi sehingga rempah kari masak. 

Masukkan daging dan digaul rata bersama rempah sehingga agak agak air daging kering dan rempah terbit minyak.

Masukkan santan dan air secukupnya. Masak dengan api perlahan sehingga daging empuk. Masukkan sekali ubi kentang. 

Setelah mendidih dan hampir pecah minyak, baru dimasukkan kerisik, garam, asam jawa dan gula Melaka.





 
Jika kuah terlalu pekat, boleh tambah air panas sedikit demi sedikit. Setelah daging empuk, sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 

Sedap dimakan dengan nasi putih dan juga roti.


No comments:

Post a Comment