Responsive Ads Here
Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts
Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts

Saturday, 22 July 2017







Esok adalah hari terakhir kita berada dalam bulan Syawal. Sesiapa yang belum cukup melakukan puasa 6, akan kerugian besar kerana belum kita akan ditemukan dengan Ramadhan atau Syawal akan datang. Itulah sebabnya hari ini dan esok memang banyak sekali jemputan rumah terbuka kerana hari hari akhir bulan Syawal. Sempena kedatangan musim Haji, Ustazah Ros Izanuri telah memberikan ceramah umum berkenaan Haji. Sesiapa mengerjakan Haji dan umrah diberi jaminan keampunan dosa pada mereka yang berdoa. Itulah kelebihan mereka yang mengerjakan haji dan umrah berbanding mereka yang berada di tempat lain. Apa yang membezakan umrah dan haji ialah masa mengerjakannya. Umrah boleh dilakukan pada bila bila masa sahaja. Manakala Haji hanya boleh dikerjakan di bulan bulan haji iaitu pada 1 Syawal hingga 13 Zulhijjah. Perbezaan kedua ialah rukun wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bermula tergelincir matahari hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Kedua duanya, wajib dikerjakan sekali seumur hidup. Haji dan umrah kali yang kedua adalah sunat. Haji mabrur haji ialah haji yang diterima Allah dan tak ulang lagi benda benda yang dilarang Allah. Contoh balik haji tapi masih tak menutup aurat. Itu tanda hajinya bukan haji yang mabrur. Umrah yang diterima disebut umrah yang makbul. 




Saya menyediakan sira pisang pada hari terakhir saya mencukupkan puasa 6 saya. Tahun ini, agak lama untuk saya menghabiskan puasa kerana banyak aktiviti makan makan di pejabat. Sebaik balik dari pejabat, ternampak ada 2 biji pisang tanduk yang telah agak masak. Kalau dibuat pengat, rasanya akan lembik sedikit. Jadi saya cepat cepat membuat sira pisang. Sira pisang sekejap sahaja disediakan dan ianya lebih mudah. Ianya adalah antara menu kesukaan saya ketika berbuka puasa. Apa apa jer kuih muih yang basah berkuah, memang kesukaan saya. 

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI.





Sira Pisang Tanduk

Bahan bahan:
2 biji pisang tanduk
1/2 cawan gula pasir
1/2 sudu kecil garam 
6 tangkai bunga cengkih
Pewarna kuning telur
3 helai daun pandan
Air secukupnya

Cara cara:
Potong nipis pisang tanduk. Ketepikan. 

Panaskan air dengan daun pandan, gula, garam, bunga cengkih dan pewarna sehingga gula hancur dan hampir mendidih. 

Masukkan pisang dan kacau rata sehingga pisang lembut dan masak. 

Angkat dan ketepikan. Bila sejuk, simpan dalam peti sejuk. Sedap dimakan ketika sejuk. 






Sunday, 2 July 2017







Roti jala adalah merupakan hidangan kegemaran anak anak saya. Mereka boleh dikatakan sangat expert dalam menyediakan roti jala dan kuah kari ayam sedap untuk dimakan bersama roti jala. Jadi bila mereka menyediakan roti jala, memang saya tak perlu masuk dapur. Saya cuma perlu tunggu ianya siap dihidangkan sahaja. Yang lagi best, bila menyediakan roti jala, semua anak anak termasuk Boy akan turut sama menolong di dapur berganding untuk membuat kuah kari, menjala, melipat roti yang telah siap dijala. 

Kari ayam untuk dimakan dengan roti jala mestilah sedikit pekat, baru kaw kaw. Tak boleh seperti kuah kari biasa yang dimakan dengan nasi. Saya harus mengakui yang saya pun kadang kadang gagal menghasilkan kari ayam untuk dicicah dengan roti jala. Ianya secukup kepekatannya tapi masih terbit minyak. Guna serbuk kari dan bawang yang agak banyak. Ubi kentang juga membantu memekatkan kuah kari. 




Jom layan resepi yang saya kongsikan semula di bawah ini untuk mudah dijadikan rujukan. Boleh klik di SINI dan di SINI untuk 2 resepi berbeza sebelum ini.




Roti Jala 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu besar minyak
1 biji telur
2 1/2 cawan susu segar
Secubit garam
Pewarna kuning telur

Kisar semua bahan di atas menggunakan blender. Sedia untuk dijala. 


Kari Ayam

Bahan bahan:
Isi ayam secukupnya
1 1/2 biji bawang besar - hiris
6 biji bawang putih - hiris
2 inci halia - hiris
10 sudu besar serbuk kari
1 kotak santan kotak
4 kotak air
2 biji kentang - potong kecil
Daun kari
Asam keping
Rempah 3 sekawan - kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
Garam
Gula
Serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak yang secukupnya. Tumis rempah 3 sekawan sehingga wangi dan bawang serta halia yang dihiris.  

Masukkan rempah kari dan dikacau rata sehingga wangi dan masukkan sedikit air. 

Masukkan daun kari, isi ayam dan ubi kentang. Kacau rata sehingga ayam masak dan bahan tumisan pecah minyak. 

Masukkan santan dan air. Masak sehingga kuah mendidih dan pekat dengan api perlahan. Masukkan garam, asam keping dan gula. Sesuaikan rasa dan boleh ditutup api. 

Selamat mencuba...




  


Friday, 30 June 2017







Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua follower blog Azie Kitchen. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum. Semoga Allah menerima puasa kita dan menjadikan kita kembali dalam keadaan suci dan termasuk orang orang yang mendapat kemenangan. Aameen. Sejak balik dari menunaikan umrah Ramadhan lalu, saya masih belum mendapat mood untuk mengemaskini blog. Banyak jer lauk pauk dan kuih muih yang telah disediakan. Tapi mood untuk berblog belum datang lagi. Semoga sokongan anda semua akan membuatkan saya bersemangat untuk menulis kembali. Secara jujurnya, saya masih dalam mood umrah di Mekah dan Madinah. Malahan tidur malam juga masih termimpi seolah saya masih di sana, berkejaran waktu untuk ke masjid, berebut dan berhimpit himpit waktu beriktikaf. Belum lagi berebut rebut untuk mengisi air zam zam yang sentiasa penuh dikerumuni. Suasana itu, masih terbawa bawa dalam diri saya sehingga ke waktu tidur. Saya masih merindui kurma sukkari yang dijamah waktu berbuka puasa, masih dahagakan air zam zam, masih rindukan solat berjemaah di Masjidil Haram. Walau pun penat yang tidak boleh digambarkan dengan kata kata, namun saya sangat tenang dan bahagia di sana. Saya redha atas segalanya. Saya berdoa agar saya dijemput lagi untuk ke tanah suci...
   





Kali ini saya ingin kongsikan resepi Puding Karamel yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Dua hari berturut turut menyediakan puding yang sangat hot ini. Klik di SINI untuk entri sebelum ini. Memang ramai yang menyukai puding karamel ini. Rasanya yang lembut dan sangat mesra dengan anak tekak. hahaha lebih lebih lagi yang baru dikeluarkan dari peti ais. Rasa air gulanya yang manis manis pahit sangat sangat sedap pada saya.

Jom layan resepi yang saya kongsikan semula di bawah ini. Semoga anda semua dapat mencubanya. Jika dibeli, ianya berharga RM1 untuk sebekas. Jadi sangat menjimat jika disediakan sendiri, dapat makan sehingga puas... Jangan lupa melihat video yang saya sediakan di Instagram Azie Kitchen dan youtube channel Azie Kitchen...





Puding Karamel Yang Sedap
Untuk: 20 bekas

Bahan bahan:
3/4 tin susu pekat manis
1 tin susu cair
1 tin air
5 - 6 biji telur - buang mata
Esen vanilla

Bahan Gula Hangus:
1 1/2 cawan gula pasir
3 cawan air

Cara cara:
Goreng gula hingga perang. Bila gula cair dan bertukar warna, baru masukkan air. Masak sehingga menggelegak dan gula hangus menjadi cair semula. 

Tutup api dan biarkan sejuk sebelum disimpan dalam peti ais. Esok pagi, masukkan ke dalam bekas bekas kecil.

Telur dibuang mata dan dipukul tetapi jangan sampai berbuih. Masukkan semua bahan lain. Kacau sehingga sebati. 

Tuang ke dalam bekas kecil yang telah diisi dengan air gula hangus. 





Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Kukus selama 10 - 15 minit atau sehingga masak dengan api sederhana. Sentiasa di lap penutup pengukus supaya permukaan karamel menjadi cantik. Atau dibalut penutup pengukus dengan tuala. 





Bila masak, buka tutup pengukus dan biarkan selama 2-3 minit tanpa penutup supaya air permukaan Karamel sedikit kering. Angkat dan sejukkan. 




Setelah sejuk, simpan dalam peti ais. Sedia untuk dinikmati. 



Monday, 10 April 2017





Memang benar apa yang didengar sebelum ini, tiada kegembiraan mutlak dalam hidup ini. Selepas kita berjaya memiliki sesuatu yang dihajati, kita akan berhajat kepada perkara yang lain pula. Tiada kesudahan kerana kehendak manusia yang tidak terbatas. Kegembiraan jika dinikmati pun hanya seketika. Selepas tawa ria, kita akan kembali bersendirian atau pun berdukacita. Setiap orang menpunyai masalah masing masing. Cuma cara menanganinya sahaja yang berbeza antara satu sama lain. Semalam sewaktu bersembang dengan sepupu saya, tiba tiba termasuk topik kemewahan di mana ada rumah yang dia kunjungi bersusun dengan kereta kereta mewah. Secara jujur saya tidak pernah merasa envy dengan kemewahan begini. Ramai juga kawan kawan se kampus kami dahulu yang kini kaya raya, malahan jurang bak langit dengan bumi dengan kami. Namun saya tidak sedetik merasa rendah diri atau iri hati. Cukup dengan apa yang saya miliki. Saya gembira kerana apa yang saya miliki adalah hasil duit gaji dan titik peluh sendiri. Tiada cable, tiada connection dan tiada projek. Mudah mudahan saya tidak akan dipersoal bab dari mana datangnya harta di hadapan Allah kelak. Saya bersabar berpuluh tahun dan menyimpan untuk memiliki harta, barang kemas dan bag tangan mewah yang diidamkan. Dengan izin Allah, saya memiliki semuanya walaupun dengan sukar dan kepayahan. Namun kenikmatan dunia ini hanya seketika, setelah berjaya memiliki apa yang dihajati, apa yang kita buat dengan nya? Sekadar untuk memuaskan hati dan nafsu sendiri yang sebenarnya kosong kosong tak berisi. Atau kerana kita hidup dalam masyarakat, perasaan tidak mahu ketinggalan atau bagaimana? Saya pun tiada jawapannya...





Semasa keluar bersarapan dengan Hubby di Restoran Rabiha, saya ternampak ada lori menjual pisang. Selepas makan, kami pergi ke tempat lori untuk mencari pisang berangan. Tapi pisang yang ada, hanyalah pisang emas dan pisang Abu. Jadi kami belilah juga pisang emas untuk dibuat Cekodok. Hari minggu ini, adalah masa untuk memasak atau menyediakan kuih muih. Saya juga beli 2 ikat serai dengan harga RM2.00. Sangat murah kerana seikat ada 6 batang serai yang gemuk gemuk. Perbezaan resepi ini dengan yang sebelumnya adalah saya menambahkan mentega dalam adunan yang berfungsi untuk membantu merangupkan cekodok anda. Jika suka, boleh juga diletakkan soda bikarbanat tapi saya tak suka cekodok kembang macam kek. Saya suka cekodok yang padat macam cekodok dulu dulu. 

Jom kita layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Juga jangan lupa singgah di Instagram Azie Kitchen untuk video. Video sekadar suka suka jer bukan kerana orang lain tak pandai buat cekodok. 



Cekodok Pisang 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan
8 biji pisang emas
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar mentega
1 sudu besar gula pasir
Secubit garam

Cara-cara
Lenyek pisang sehingga hancur. Masukkan gula dan garam. Kemudian masukkan mentega dan kacau rata. Masukkan tepung gandum dan dikacau rata. 





Panaskan minyak dan setelah minyak betul betul panas, masukkan adunan. Jika mahu cantik, guna jari. Tapi saya sambil mengambil video, terpaksa menggunakan sudu. Goreng dengan api sederhana. 





Setelah masak, dibalik balikkan. Bila bertukar warna keemasan, bolehlah angkat dan tos atas tisu dapur. Sedia untuk dihidangkan.






Tuesday, 14 March 2017





Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan padu pembaca semua pada blog Azie Kitchen. Alhamdulillah page view Azie Kitchen telah melebihi 102 juta. Terima kasih tidak terhingga. Ianya benar benar menyuntik semangat untuk saya terus menulis. Sebenarnya telah lama saya tak menyediakan kuih muih apalagi kuih kuih ala ala western gini. Resepi pun saya adaptasi dari Betty Crocker. Kadang kadang kita rasa malas untuk menyediakan pie kerana agak remeh untuk menyediakan pastri. Tapi dengan pot pie, sangat mudah dan yang penting sangat sedap. Saya sangat seronok kerana anak anak semua suka dan memberi komen yang ianya sangat sedap. Sekelip mata dah licin. Intinya bolehlah diubahsuai dengan memasukkan brokoli atau apa apa bahan lain seperti udang bagi menggantikan ayam. Pendek kata bolehlah diubahsuai mengikut bahan yang ada di dapur kita.

Tapi satu bahan yang wajib ada dalam menyediakan pot pie yang sedap adalah serbuk lada hitam berperisa Aji-Shio. Ianya memang secukup rasa kerana telah mengandungi bahan perasa serta lada hitam nya yang memberi rasa kepedasan yang sukar diungkap dengan kata kata. Tak perlu lagi memasukkan lain lain bahan perasa. Saya memang setia dengan jenama Aji-Shio untuk serbuk lada hitam atau serbuk lada putih.

Saya membuat sendiri Bisquick kerana tak jumpa original Bisquick mix di Giant. Saya juga tidak menggunakan chicken broth, sebaliknya hanya menggunakan air sahaja yang bila direbus ayam akan menjadi sedap rasa air rebusan ayam. Saya sangat sangat rekemen anda semua untuk mencuba resepi pot pie yang ringkas dan sedap ini. Rugi jika anda tidak mencubanya. Kalau beli di kedai, memang sangat mahal dan belum tentu rasanya sesedap yang disediakan sendiri di rumah. Jika anda ingin melihat dengan jelas cara penyediaannya, saya ada sediakan video. Boleh singgah di Instagram Azie Kitchen @aziekitchen untuk melihat video, juga video yang lebih panjang di youtube Azie Kitchen Channel. Di bawah ini juga, saya sediakan gambar langkah demi langkah untuk rujukan anda semua. 






Jom layan resepi yang sangat mudah dan yang penting sangat sedap. Boleh disediakan untuk hidangan petang. Selamat mencuba resepi ringkas untuk membuat pie versi pot pie. Jom layaan...




Mini Chicken Pot Pie

Bahan bahan:
I sudu besar minyak sayuran
2 keping dada ayam - potong kecil
1 biji bawang besar - cincang jadi � cawan
� cawan air rebusan ayam - guna air sahaja
2 cawan sayuran campuran
� sudu kecil garam halus
� sudu kecil serbuk lada hitam berperisa AJI-SHIO�
� sudu kecil daun thyme
1 cawan parutan cheese

Bahan pastri
� cawan Original Bisquick� mix - lihat resepi di bawah
� cawan susu segar
2 biji telur

Cara cara:
Panaskan oven pada suhu 190C. Spray loyang muffin dengan cooking spray. 

Panaskan minyak dalam kuali dan masakkan ayam dalam 5-7 minit sehingga ianya hampir masak. Masukkan bawang besar dan kacau seketika sebelum dituang sedikit air rebusan ayam. Masak hingga menggelegak. Saya hanya menggunakan air sahaja.

Masukkan sayuran campuran, garam, serbuk lada hitam berperisa Aji-Shio� dan daun thyme. Masak sehingga sebati. Sesuaikan rasa.






Tutup api dan biarkan dalam 5 minit sebelum dimasukkan parutan keju.





Di dalam bekas lain, satukan bahan pastri menggunakan whisk. Masukkan 1 sudu bahan pastri ke dalam bekas muffin. Masukkan � cawan bahan inti ayam. Dan akhir sekali tuang lagi 1 sudu besar bahan pastri di atasnya.








Bakar selama 25 hingga 30 minit atau sehingga tidak melekat pada lidi. Sejukkan selama 5 minit. Dengan menggunakan pisau kecil, lalukan sekeliling pie dan keluarkan dari loyang. Sejukkan di atas rack selama 10 minit sebelum sedia untuk dinikmati.








Bisquick Mix

Bahan bahan:
1 cawan all purpose flour
1 1/2 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil garam 
1 sudu besar mentega 

Cara cara:
Ayak gandum bersama baking powder dsn garam sehingga sebati. Masukkan butter ke dalam bahan tepung dan gaul sebati. 

Nota:
Boleh juga guna shortening atau minyak sebagai ganti mentega. Jika menggunakan mentega cair, pastikan ianya bergaul rata. 








Thursday, 20 October 2016






Saya Kuliah Ustaz Dr Mohd Shafie penulis Kamu Umat Terbaik adalah antara yang selalu saya nanti nantikan. Untuk hari ini, ustaz berkongsi berkenaan kecukupan rezeki. Bagaimana cara hendak mendapat rezeki yang cukup? Caranya adalah dengan taat dan bertaqwa pada Allah. Bukan dengan bekerja bersungguh sungguh. Kerana rezeki adalah diberi Allah. Cuba kita faham makna ayat seribu dinar. Sekarang manusia menilai pencapaian. Bila kita tak dapat mencapai sesuatu target atau KRA, orang akan kata kita tak perform. Kita akan jadi marah, frust bimbang dsb. Kita kena lupakan pencapaian. Apa yang Allah suruh kita buat ialah berazam serta bertekad dengan penuh kesungguhan, kemudian bertawakkal pada Allah. Result adalah ditentukan Allah, result yang terbaik adalah ikut kehendak Allah. Bukan ikut kehendak kita. Samada orang menilai kita baik atau buruk tak akan beri kesan pada kita kerana rezeki adalah datang dari Allah. Majikan hanya memberi gaji sedang Allah memberi rezeki. Allah lah sebaik baik penilai akan apa yang kita kerjakan. Hatta sebesar zarah, Allah akan bagi ganjaran. 


Jom layan cara saya menyediakan kuih chek mek molek yang sinonim dengan negeri kelahiran saya, Negeri Che Siti Wan Kembang. Chek Mek saya hari ini dah bocor sikit, itu yang kita nampak berkilat air gula. Kuih yang cantik adalah air gula mencair di dalamnya. Setelah digigit, barulah air gula mengalir keluar. Jangan lupa layan video penyediaan kuih ini dalam Instagram Azie Kitchen. Selamat mencuba...




Kuih Chek Mek Molek
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
600 gram ubi keledek - rebus 
3/4 - 1 cawan tepung gandum
Sedikit gula

Cara cara:
Tumbuk ubi keledek yang telah direbus. Masukkan gandum dan kacau sebati. 

Bentukkan bulat dan kemudian dibujurkan. Masukkan gula, tutup dan kemaskan.



Goreng dengan api perlahan sehingga masak. Sedap dimakan panas panas.





Wednesday, 5 October 2016



Saya terkesima mendengar titah ucapan Sultan Nazrin Shah di radio semasa dalam perjalanan ke pejabat pagi ini. Antaranya yang sempat saya petik ialah "anak Melayu yang telah berjaya, telah berjawatan, telah berkedudukan jangan jadi seperti kacang lupakan kulit. Bangkit untuk membantu anak bangsa. Walaupun telah bersarapan dengan keju dan sosej". Sangat dalam maknanya kerana apa yang saya perhatikan orang Melayu memang jarang untuk membantu anak bangsa. Saya tidak kata, tak ada langsung. Tetapi jarang. Bak kata P Ramlee, jarang jarang. Berbeza dengan kaum China atau India yang saling membantu dan lebih "ukhwah" antara mereka. Saya tidak berniat untuk bercakap berkenaan "racist". Yang mana baik kita jadikan contoh teladan. Tapi lihat sendiri di sekeliling di dalam mana mana organisasi yang kita sekarang berada. Tidak dapat dinafikan anak Melayu masih perlu dibimbing dan dipimpin. Peluang peluang yang diberikan kerajaan menjadikan segelintir anak Melayu berjaya. Namun bila mereka berjaya, apa sumbangan mereka untuk membantu anak Melayu yang lain. Masih banyak yang ketinggalan dan perlu diberi perhatian. Antaranya ialah cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bagi menambahkan "marketability" di kalangan graduan Melayu. Orang China dan India fasih berbahasa Inggeris sejak kecil. Mereka menpunyai kelebihan dalam temuduga pekerjaan atau biasiswa dan juga dalam kerjaya sendiri. Masih teringat Allahyarham Tan Sri Mohamed Basir Ahmad yang memberi pertimbangan khas dalam memberi markah penguasaan bahasa Inggeris kepada calon Melayu yang menghadiri temuduga terutama jika mereka datang dari kampung setelah mengambilkira infrastruktur dan persekitaran pembelajaran di kampung.

Sebelum kita melihat resepi, saya mahu menceritakan sedikit bab kuih keria. Kuih ini merupakan kuih kegemaran Encik Hubby. Lebihan ubi keledek yang saya rebus untuk membuat Kuih Chek Mek Molek yang diminta oleh Juita, saya simpan untuk dibuat Kuih Keria sebagai hidangan petang. Boleh lihat Kuih Keria yang saya pernah buat dulu di SINI. Cara untuk menyediakan kuih keria atau chek mek molek yang sedap ialah dengan menggunakan tepung gandum secukupnya sahaja. Jika terlebih tepung gandum, kuih akan menjadi sedikit keras dan tidak sedap. Bab ini memang kena pandai mengagak. Kalau menyediakan kuih keria, saya sedikit trauma dengan bab menyira. Pernah saya menyediakan kuih keria yang banyak untuk dibawa ke majlis perjumpaan dengan geng geng alumni. Sekali gula yang disira pada kuih keria mencair dan menjadi belengas. Perasaan kecewa memang tak boleh nak diceritakan lah. Rasa nak nangees. Dari situ, saya belajar tips untuk mengelakkan ianya menjadi cair ialah dengan memasukkan sedikit tepung gandum semasa proses menyira.

Jom layan resepi menyediakan kuih keria dan bahan yang digunakan untuk menyira kuih keria di bawah ini. Jom layaaan...





Kuih Keria Lembut
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Ubi keledek - rebus dan tumbuk
Tepung gandum secukupnya

Cara cara:
Satukan kedua dua bahan di atas dan gaul sebati. Ambik secubit adunan dan dibulat bulatkan.

Ambik sebiji doh yang dibulatkan dan dibentuk seperti kuih keria dengan dileper dan kemudian dibuat lubang di tengahnya. Kalau nak tengok video, sila ke Instagram Azie Kitchen.

Panaskan minyak sehingga betul betul panas dan goreng kuih keria. Bila ianya berwarna keperangan, dibalik balikkan. Angkat dan sejukkan terlebih dahulu. Sedia untuk disira.





Bahan Sira:
3 sudu besar gula
2 sudu besar air
Secubit tepung gandum - opsyenal

Cara cara:
Masakkan gula dan air dengan api perlahan sehingga air gula pekat dan berbuih buih. Masukkan kuih keria yang telah disejukkan dan dikacau rata rata.

Apabila air gula bersalut rata di kuih keria, taburkan sedikit tepung gandum supaya ia tahan lama dan tidak mudah cair.

Terus dikacau rata sehingga kerak gula melekat di kuih. Tutup api dan bolehlah dikeluarkan dari kuali.


Thursday, 9 June 2016






Kuliah Ustaz Mohd Zainuddin Abu Bakar berkenaan matlamat utama kehidupan adalah kehidupan selepas mati. Sebelum tu, bila kita akan mati? Kita sibuk merancang benda akan datang, hingga lupa apa yang ada sekarang. Sibuk share pasal dunia nak kiamat dsb tapi tak buat apa apa persediaan pun. Sama juga dapat berita kematian, komen kita ialah Al Fatihah. Tulis jer Al Fatihah tapi tak baca pun. Copy paste doa  Allahummaghfir lahum warhamhum wa �afihim wa'fu 'anhum tapi tak baca pun doa tersebut.  Hadis Qudsi Allah menyebut wahai Anak Adam. Aku heran dengan manusia yang yakin dengan kematian tapi masih lagi boleh bersukaria. Yakin kematian boleh berlaku bila bila masa tapi masih boleh bersukaria. Kita dengar khabar kawan meninggal sebagaimana dia juga sebelum ini dengar khabar kawan dia meninggal dunia. Untuk hidup selepas mati adalah dengan bersedia dengan diri semdiri. Bonus kalau ada bantuan dari orang lain. Kalau nak masuk syurga dengan amalan dan ibadah, memang out. Buat sikit tapi tak ikhlas. Jadi apa nak buat? Caranya ialah dengan mencari pengampunan Allah. Siapa berpuasa dengan penuh keimanan akan diampunkan dosa yang lalu. Mudah sahaja kerana yang ada adalah 2 sahaja samada syurga atau neraka, dosa atau pahala. Tiada di tengah tengah antara keduanya. Caranya untuk masuk syurga ialah dengan memperbanyakkan pahala dan kurangkan dosa atau hapuskan dosa.  

Bulan ramadhan, Allah tawarkan diampunkan dosa kita yang lalu. Hari ini jika Allah terima ibadah puasa, esok jika kita meninggal diampunkan dosa kita yang lalu. Tapi tak ramai bersungguh rebut tawaran ini. Allah heran dengan manusia yang masih bersukaria walaupun tahu kematian pasti berlaku. Malahan si Penggali kubur semasa tengah menggali kubur pun masih boleh merokok. Bunyi azan pun masih boleh terus menngali kubur dengan alasan mahu menyegerakan kebumi jenazah. Apa hukum segera kebumi jenazah atau segera menunaikan solat? Selepas persoalan hidup selepas mati, persoalan kedua, ialah bila kita akan mati? Siapa yakin lepas pukul 2.30 ni, dia akan terus hidup lagi. Kita tak pernah tahu bila kita akan mati. Sakit hanya asbab sahaja. Agama ajar kita supaya berusaha seolah kamu hidup selamanya dan beribadah untuk akhirat seolah kamu akan mati esok hari. Jika kita tahu kita akan mati esok, apa yang kita kena buat dalam masa beberapa jam yang ada. Ada keutamaan yang perlu dibuat segera iaitu taubat. Solat Jumaat, dipesan orang orang bertaubat dari dosanya seolah olah mereka tiada dosa. 

Selepas mati, orang yang yakin ada hisab tapi masih leka lagi kumpul harta. Seseorang akan dihisab tentang:
1. nikmat dikurniakan seperti anggota tubuh badan, mata dll. Apa yang kita guna dengan nikmat tersebut. Guna mata untuk apa? Guna untuk kebaikan dapat pahala dan jika untuk kemurkaan Allah pasti dapat dosa.

2. Amalan dan hubungan dengan Allah. Ctntoh Solat. Adakah kita telah menunaikan solat dengan ilmu atau dengan sekadar ikut ikutan sahaja? Sejauh mana kita belajar tentang ilmu solat. Amalan yang mula mula dihisab adalah solat. Selepas dapat ilmu, amal pasal solat. Kemuncak solat adalah mencegah fahsad dan mungkar. 

3. Dihisab tentang hubungan kita dengan manusia. Nabi tanya pada sahabat kenal tak siapa orang muflis. Mereka ialah orang yang terpaksa bagi pahala kat orang lain kerana ada urusan dengan manusia yang belum beres. Di Padang Masyar masing masing nak selamatkan diri. Bila pahala telah habis diambil, akhirnya mereka terpaksa ambil dosa orang lain. Hubungan dengan Allah penting dan juga hubungan dengan manusia. Buat penyata kira kira dalam tempoh 24 jam, apa dosa yang telah kita buat dengan orang?  

Akhir sekali, bayangkan nenek Moyang kita yang dah lama di kubur. Agak agak mereka sekarang dalam taman syurga atau neraka? Makin lama makin mereka mengharapkan doa dari orang yang hidup. Sedang orang yang hidup akan lagi lupa pada orang yang telah mati. Jika kita buat macam itu pada ibubapa dan nenek moyang kita, itu juga apa yang akan kita dapat dari anak cucu kita kelak.  

Masuk sikit bab resepi, saya sangat gemarkan kuih ini tetapi amat susah untuk mencari kuih yang benar benar kena dengan selera saya. Setakat ini kuih yang dibakar dalam bekas sebagai kuih bakar Kemboja yang dijual di kampung Baru adalah masih yang terbaik. Saya dah banyak kali guna resepi ini. Boleh klik di SINI untuk antara entri sebelum ini. Walaupun ianya sedap tetapi saya masih mencari resepi yang mungkin menghasilkan kuih bakar yang benar benar sedap. Sesiapa ada resepi keluarga kuih Bakar yang sedap, bolehlah share dengan saya. Boleh layan video yang saya sediakan di bawah ini.




Jom layan resepi di bawah ini.




Kuih Bakar Pandan

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula kaster
1 cawan air pandan (6 helai daun pandan blend dg air)
2 cawan santan
3 biji telur
Sedikit pewarna hijau
Sebagai hiasan- sedikit bijan

Cara-cara
Masukkan semua bahan ke dalam blender dan blend hingga sebati. Saya cuma whisk.

Sapukan loyang dengan sedikit minyak dan masukkan dalam oven sekejap sebelum dituangkan adunan tadi ke dalamnya.

Taburkan bijan. Saya tabur bijan setelah dibakar dalam 10-15 minit.

Bakar 40 minit pada suhu 180C hingga masak atau boleh tambah masa membakar dalam 20 minit lagi untuk mendapatkan permukaan yg berkerak/garing.  Saya bakar hampir 1 jam setengah.


Bila dah sejuk, baru dipotong.

?