Responsive Ads Here
Showing posts with label Sayur. Show all posts
Showing posts with label Sayur. Show all posts

Monday, 21 August 2017







Lama tak bersiaran dengan perkongsian resepi, jadi hari ini, saya mulakan dengan resepi ala ala sangat mudah. Sebelum itu, kita layan dulu intipati dari Kuliah maghrib surah Ad Dhuha, Fiqh oleh Ustaz Adli Saad bab Janaa'iz iaitu takziah kepada mereka yang ditimpa ujian atau musibah. Ianya adalah supaya mereka bersabar untuk menerima ganjaran Allah. Untuk sebarang musibah. Allah uji dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta atau kehilangan orang yang dikasihi. Orang yang ditimpa musibah akan menyebut kita milik Allah, iaitu Innalillahi wainna ilaihiroojiuun. Semua milik Allah. Allah berhak memberi dan mengambil. Jadi hendaklah kita bersabar dan mengharap ganjaran Allah. Harus beri ucapan takziah pada orang ditimpa musibah. Tapi takziah tak boleh diberi berulang ulang kali. Cukup hanya sekali supaya kesedihan yang mungkin hampir hilang akan datang kembali. 

Bila mendengar kematian, kita kena memohon keampunan bagi si mati dengan doa "Allahummaghfir lahum warhamhum wa �afihim wa'fu 'anhum", bukan dengan sedekahkan Al Fatihah seperti yang diamalkan ramai orang. Ini adalah si mati yang membawa banyak amalan tapi jika dosa tak diampun, tak akan masuk ke syurga. Ini adalah contoh orang yang muflis bila pahala terpaksa diberi pada orang lain dan dosa orang lain juga terpaksa diambil bila pahala yang ada telah habis. Tapi jika sikit amalan sekali pun, pada masa yang sama menpunyai dosa yang banyak tapi jika diampun, dia akan masuk syurga. Beramal tanpa ilmu dalam mazhab shafie tak diterima amalannya. Jadi apa yang paling baik yang patut dibuat oleh anak anak adalah berdoa meminta keampunan pada ibubapa yang meninggal. Bukan dengan menambah amalan seperti mengadakan tahlil, upah orang membaca Al Quran, sedekah pahala dan sebagainya. Mudah sahaja. Ikut cara Nabi. Dalam sebuah hadis, iaitu hadis daripada Othman bin Affan r.a. ia berkata pernah Nabi s.a.w. apabila sempurna mengebumikan mayat, baginda berdiri berhampiran kubur, lalu bersabda kepada orang ramai yang bermaksud: ``Pohonkan keampunan untuk saudara kamu dan mohon ketabahan baginya kerana ia sesungguhnya sekarang ini sedang disoal.'' Juga dalam surah Ibrahim: 40-41 dijelaskan tentang doa Nabi Ibrahim, yang memohon kepada Allah s.w.t. agar anak cucunya dijadikan Allah manusia yang kekal mendirikan sembahyang. Kemudian baginda berdoa yang bermaksud: ``Ya Tuhan kami, ampunilah akan daku juga kedua-dua ibu bapaku dan seluruh mukminin pada hari kiamat kelak.'' Walau pun banyak kali perkara ini diperkatakan, masih ramai yang sedekahkan Al Fatihah. Paling malang, bila hanya ditulis atau CnP Al Fatihah di WhatsApp tanpa membacanya pun. Semoga bermanafaat.

Setiap kali menyediakan hidangan, saya akan memastikan ianya seimbang dan berbagai kombinasi seperti berkuah, kering atau bergoreng dan sayuran. Jadi sayur goreng seperti ini memang lah antara kegemaran kami. Resepi ini ibarat resepi bidan terjun tak kala tak ada idea untuk menyediakan hidangan sayuran, bolehlah guna resepi ini untuk apa sahaja jenis sayuran. Mudah, tak guna banyak bahan dan sedap. Lain lain aksesori seperti bawang goreng, cili merah dan daun bawang, bolehlah ditabur jika ada stock dalam peti ais masing masing. Nampak macam sempoi giler tapi sedap dan berkhasiat. 

Jom layan resepi yang mudah yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Jom layan...




Sayur Kubis Dengan Telur

Bahan bahan:
1 mangkuk kubis
1/2 batang karot  
1 tangkai cili merah - hiris
3-4 ulas bawang putih - hiris
1-2 biji telur - kocok sedikit
Garam
Serbuk perasa
Minyak

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga kekuningan. Masukkan karot dan kacau sehingga agak lembut sebelum dimasukkan kubis. 

Bila kubis hampir lembut, tuangkan telur dan kacau rata supaya bergaul dengan sayuran.

Masukkan garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, masukkan cili merah dan bolehlah ditutup api. Sedia untuk dihidangkan.




Thursday, 6 July 2017









Sebelum mula menulis bab resepi Pajeri Nenas Perak, saya nak tulis dulu bab resepi Rendang Daging Perak saya yang dah jadi viral di fb. Resepi yang saya pelajari dari kakak ipar saya dari Perak di SINI dan di SINI. Bila Rosehayatie, kawan Instagram saya memberitahu ada group page dalam fb yang telah viral resepi saya tapi dicampur aduk dengan video kepunyaan beliau dan juga gambar orang lain, saya hanya tersenyum. Sejujurnya saya gembira sahaja jika resepi saya dikongsikan oleh lebih ramai orang. Memang itu pun niat saya supaya apa yang saya kongsikan dicuba oleh ramai orang. Tapi saya tergerak hati untuk masuk ke page group tersebut dan wow ramainya yang mengutuk dan mengeji saya. Aduhaai saya yakin 100% mereka semua adalah orang Melayu beragama Islam. Kemarahan mereka adalah kerana video yang dipaparkan tidak sama dengan resepi yang ditulis. Kedua kerana penggunaan nama Rendang Daging Perak yang kononnya tak sama dengan resepi nenek moyang mereka. Saya tidak marah tapi saya kesian kerana fb adalah platform untuk kaum muslimin (bukan mukminin) untuk membuat fitnah dan menabur dosa di akhir zaman. Mereka menggunakan jari jemari untuk mengutuk tanpa memikirkan apa yang ditulis akan kekal di situ umpama memahat dosa di batu. 

Bagi yang cerdik, mereka tahu dengan tak payah saya menjelaskan apa apa. Mereka nampak dan mereka fikir sebelum menulis. Tapi bagi yang lain lain, cuba fikirkan. Adakah salah saya jika video tidak sama dengan resepi jika saya sendiri tidak tahu menahu berkenaan page fb berkenaan. Ketika itu, mungkin saya sedang mengerjakan umrah. Kedua, bab penggunaan nama Rendang Daging Perak. Salahkah dengan nama itu? Saya tidak tulis pun yang ianya resepi asli rendang Perak dsb. Malahan dalam blog saya ada resepi rendang pedas dan resepi Rendang Tok yang saya belajar dari mertua saya yang berasal dari Perak. Ada yang menulis kongsi resepi, biarlah ikhlas. Aduhai mereka ni... apa apa pun saya memang kesiankan mereka. Kalau tak suka, tak perlu lah baca atau tak perlulah ikut. Saya orang Kelantan. Saya tahu di Kelantan dulu tak ada Rendang Kelantan. Tapi bila ada yang menamakan resepi mereka Rendang Kelantan, saya tak ada lah pulak nak melalak dan marah marah. Sesiapa pun berhak untuk memberi nama pada resepi mereka. Hidup mesti dinamik barulah ada kemajuan. Kerana itu, perlu sentiasa melakukan perubahan dan innovasi. Barulah ada perubahan. Begitu juga bab resepi, tak salah meletak kicap dalam rendang atau nak meletak apa sekali pun. Tak salah nak namakan apa sekali pun, asal nama yang baik baik. Bukan nama sumpah seranah. Peace no war ya. Semoga mereka yang suka berfikiran negatif pada orang lain, diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Lepas ini, saya nak kongsikan Pajeri Nenas stail Perak. Kalau tak sama dengan cara nenek moyang di Perak, jangan kecam saya pulak. Beritahu elok elok supaya saya tukarkan jadi nama Pajeri Nenas Azie Kitchen. Habis cerita. 




Setelah terpandang Instagram Puan Sri Raja Noorashikin sedang memasak Pajeri Nenas stail Perak, hati dah tak sabar juga untuk menyediakan Pajeri Nenas. Cuma setelah diteliti, saya pun tak pasti apa perbezaan Pajeri Nenas Perak berbanding dengan Pajeri Nenas yang biasa saya masak sebelum ini. Sebelum ini pun, saya ada juga meletakkan udang kering, kadang kadang saya letak juga udang hidup. Tapi apa pun, saya anggap ini Pajeri Nenas Perak lah walaupun saya tak letak halba seperti mana Puan Sri Raja Noora. 

Tapi entah di mana silapnya, lama direnih atas dapur tapi tak juga terbit minyak. Begitu juga dengan kelapa parut yang telah digoreng sebelumnya untuk dijadikan kerisik. Tumbuk bagai nak tercabut lengan, tak juga mahu pecah minyak. Walhal, sebelum ni cantik jer keluar minyak kerisik. Aduyai, kecewa lah sedikit kerana kejadiannya kurang cantik dan menarik. Namun begitu, berbaloi baloi kerana sangat sedap dan saya makan menambah nambah dengan meratah begitu sahaja. Yang paling penting, ianya semakin sedap selepas beberapa hari disimpan. Saya simpan dalam bekas tupperware di dalam freezer. Tiga hari berturut turut saya makan sewaktu berbuka puasa. Memang sangat sedap, secukup rasa kemanisannya. 

Jom layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel di SINI dan untuk video Pajeri Nenas di SINI. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Tapi kalau untuk detail resepi dan cara cara penyediaanya, saya hanya kongsikan di blog sahaja. Video hanya untuk memberi sedikit idea cara saya menyediakannya. Memang penat bila membuat video. Dua kali juga iphone baru saya jatuh dalam kuali yang sedang di atas dapur. Adohaiii. Haru biru dibuatnya. Apa apa pun, jom layaannn...





Pajeri Nenas Stail Perak

Bahan bahan:
1 biji nenas - pilih yang hijau kekuningan
2 sudu besar ikan bilis atau udang kering - rendam dan tumbuk
1 paket kecil serbuk kari daging - 3 1/2 sudu besar
1 paket kecil kerisik - atau buat sendiri
1 sudu besar cili kisar
1 kotak santan kotak
Air secukupnya
Rempah 3 sekawan - kulit kayu manis, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang
Minyak masak secukupnya
1 sudu besar minyak sapi - opsyenal
Garam
Gula Melaka
Gula secukup rasa

Bahan Tumbuk:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Nenas dibuang kulit,  dibersihkan dan dipotong-potong. Nenas direbus dengan sedikit air dan 2 sudu besar gula dalam 5 minit atau sehingga nenas sedikit lembut. Angkat dan ketepikan. 




Panaskan minyak dan sedikit minyak sapi. Tumis rempah 3 sekawan dan bahan tumbuk sehingga wangi dan kekuningan. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga cili agak masak. 

Masukkan pula rempah kari serbuk dan kacau dengan cepat sehingga wangi sebelum dituang sedikit air. Tumis hingga pecah minyak. 




Setelah pecah minyak, masukkan udang kering. Tumis lagi sebelum dimasukkan nenas dan air rebusan nenas sekali. Setelah mendidih, baru dimasukkan santan. 

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula Melaka dan gula secukupnya. Bila kuah pekat dan terbit minyak, bolehlah diangkat. 

Nota:
Kuah mestilah sedikit pekat dan menpunyai rasa manis. 




Thursday, 8 June 2017







Insya Allah entri ini adalah entri terakhir dari saya di bulan Ramadhan ini. Jika diizin Allah saya akan berangkat untuk menunaikan ibadah umrah pada hari Sabtu. Jadi di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf andai ada tulisan saya selama ini yang menyinggung sesiapa atau ada kekasaran bahasa dalam penulisan. Maklum lah saya menulis secara spontan dengan tidak ada masa untuk edit. Saya juga berharap agar anda dapat meluangkan masa membaca perkongsian ilmu dari majlis ilmu yang saya hadiri. Ianya berdasarkan apa yang disalin dan bukan tafsiran saya sendiri. Ambik yang baik sebagai manafaat yang kurang adalah dari saya sendiri. Juga doakan agar saya dipermudahkan sepanjang mengerjakan ibadah di Tanah Suci. Semoga saya diberi kelapangan untuk bersolat di dalam masjid Nabawi dan Masjidi Haram, diberikan kekuatan fizikal dan minda, juga diberikan kesihatan yang baik. Aameen. Doa yang sama juga untuk sahabat sahabat dan para mukminin dan mukminat yang sedang mengerjakan ibadah umrah. Aameen. Maklumlah pada akhir Ramadhan, manusia dari pelbagai pelusuk dunia terlalu ramai yang mengunjungi Mekah. Jutaan manusia dengan satu tujuan, untuk mencari keampunan pada dosa dan mendapat syurga Allah....





Selain Ayam Masak Lemak di SINI dan Udang Sambal Tumis di SINI, saya juga menyediakan Sayur Goreng Campur. Hidangan sayur adalah hidangan wajib dalam menu di rumah ini. Rasa tak lengkap tanpa hidangan sayur. Aween dengan Juita memang suka makan sayur. Lagi pulak lauk sayuran jika dibeli di Bazar Ramadhan, dah lah tak sedap dan harganya mahal pula. Jadi hidangan yang disediakan tak sampai 10 minit, elok disediakan sendiri di rumah. Bolehlah dicampurkan pelbagai sayuran yang ada dalam peti di rumah kita.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Resepi campak campak sahaja. Tiada yang istimewa pun...




Sayur sayuran Goreng Campur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5-6 ekor udang
6-8 batang kacang panjang
Sedikit kubis
1/2 batang karot
2-3 batang jagung
1 batang cili merah
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
Sedikit sos tiram
Sedikit serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris. Tumis sehingga wangi. Masukkan udang dan kacau rata. 

Kemudian masukkan sayuran mulai dari yang agak keras hingga yang lembut iaitu karot, jagung, kubis dan akhir sekali kacang panjang. 

Tuangkan sedikit sos tiram dan serbuk perasa. Akhir sekali, tabur cili merah hiris dan sedia untuk tutup api supaya sayur tidak terlalu lembut. Sedia untuk dihidangkan. 




Wednesday, 12 April 2017




Jika ditanya manakah tempat yang saya ingin pergi bercuti, pasti saya tak menpunyai jawapan. Sebabnya kerana saya terasa ingin bercuti tapi dalam masa yang sama malas dan tak ada hati untuk bercuti. Apa yang saya inginkan sekarang adalah rehat. Saya ingin berehat dengan dapat berbaring baring pukul 9.00 pagi, baring lagi pukul 2.30 petang. Saya pun tak tahu kenapa saya dilanda penyakit seperti ini. Penyakit tak ada semangat. Seronok jer tengok kawan kawan bercuti luar dan dalam negara tapi saya rasa macam malas kalau sekadar pergi melihat lihat pemandangan indah . Saya ingin apa pun sebenarnya, saya sendiri pun tak tahu. Pelik. Saya suka bershopping tapi nak pergi shopping pun tak ada hati juga. Tengok semua baju, tak ada yang berkenan. Beli handbag baru tapi nak bawa pun tak ada hati juga. Bawa jer handbag yang dah buruk tu ke sana sini. Jadi malas nak menukar handbag. Ke mana perginya hati saya? Tolooong....

Saya sebenarnya tak tahu pun bagaimana rupa daun kemangi sehingga saya ke nurseri belakang rumah untuk membeli pokok herba yang banyak khasiat ini. Barulah tahu, rupanya daun kemangi juga dipanggil daun selasih. Bau nya ala ala bau serai dan ada juga bau seperti daun mint pudina. Saya tertarik untuk mencuba resepi ini kerana kata Bonda Rozita, jika ingin memikat hati ibu mertua, masak kerabu timun dan daun kemangi ini. Yang bestnya dikata "haa boleh juling mata ibu mertua jika menantu memasak lauk ini". Hahaha so catchy. Hanya kerana kata kata itu, telah menarik saya untuk mencuba hingga sanggup bersusah payah mencari daun kemangi. Mahal pulak harganya. Satu polibeg kecil sahaja berharga RM18. Itu pun selepas puas menawar. Harga asal RM25. Aduuii... Biasalah lauk macam ni, anak anak tak makan. Jadi hanya saya dan Hubby jer yang makan. Anak anak usahkan pandang, jeling pun tidak.

Jom layan resepi yang saya salin dari video yang dikongsikan oleh Bonda Rozita Pengasas Sendayu Tinggi. Singgah di Instagram Azie Kitchen untuk video dan juga di Azie Kitchen channel di youtube...





Kerabu Timun Daun Kemangi
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Daun kemangi
1 batang timun - hiris nipis 
1 biji buah limau nipis
1/2 kotak santan kotak
Garam
Gula
Sedikit ajino moto - saya tambah

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
2 tangkai cili padi
Sedikit belacan - sebesar ibu jari

Cara cara:
Hiris timun nipis nipis dan perah asam limau nipis di atasnya. 





Masakkan santan dan bahan tumbuk dengan daun kemangi sehingga daun kemangi layu. Masukkan garam, gula dan sedikit ajino moto secukup rasa. 








Angkat kuah santan dan tuang ke dalam bekas timun yang dihiris tadi. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan. 





Sunday, 9 April 2017



Sebelum itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan pembaca blog Azie Kitchen. Saya sama sekali tidak menyangka blog saya dikunjungi begitu ramai orang. Alhamdulillah kerana niat saya untuk berkongsi resepi serta sedikit ilmu dari kuliah yang saya hadiri menjadi kenyataan. Seperti yang saya tulis sebelum sebelum ini, saya memang minat mengumpul resepi dan tidak teragak agak untuk menanyakan resepi bila merasa masakan yang sedap. Saya menpunyai buku masakan sejak di sekolah menengah rendah lagi. Jadi alangkah rugi, jika apa yang kita pelajari tidak dipanjangkan. Zaman zaman dahulu agak sukar untuk belajar memasak. Ilmu memasak hanya diturunkan dari ibu kepada anak perempuan masing masing. Jadi kalau saya ingin belajar memasak masakan dari negeri lain seperti masakan Nogori, memang kena mengendeng resepi dari kawan kawan pejabat. Tapi kini tidak lagi, dengan adanya dunia alam maya, semuanya menjadi tanpa sempadan. Sesiapa pun boleh memasak dan boleh belajar memasak dari kawan kawan di alam maya.  

Selain menyediakan Ikan Siakap 3 Rasa di SINI dan Sup Daging di SINI, Nana juga menyediakan Sayur Kubis Goreng Telur. Nana pun seperti saya, bila memasak main masukkan jer apa apa yang rasa boleh menyedapkan masakan. Itu yang Nana masukkan juga serbuk lada putih berperisa AJI-SHIO dan juga minyak bijan. Memang sangat sedap sayur yang mudah dan ringkas ini. Pendek kata licin pinggan. Hahaha. Bila memasak sayur seperti ini, saya tidak suka memasukkan air. Saya lebih suka sayur yang bergoreng dengan minyak dan rangup. 

Jom layan resepi yang mudah dan ringkas tetapi sangat sedap. Kalau menyediakan hidangan, rasa tidak lengkap jika tiada disediakan sekali sayuran. Walaupun ada anak anak yang tidak suka sayur tapi ada juga yang suka sayur terutama Aween dan Juita. 




Sayur Kubis Goreng Telur

Bahan bahan:
1 mangkuk kubis
1 tangkai cili merah - hiris
3 ulas bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 biji telur - kocok seketika
Garam
Sedikit serbuk lada putih AJI-SHIO
Sedikit minyak bijan
Minyak

Bahan Hiasan:
Bawang goreng
Daun bawang

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah. Setelah bawang kekuningan dan wangi, masukkan sayur kubis. Kacau seketika sebelum dituangkan telur. Kacau rata. 

Masukkan garam, serbuk perasa serta sedikit minyak bijan. Akhir sekali, masukkan cili merah.  

Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng dan daun bawang. Tadaaa siaaap...


Monday, 3 April 2017




Tazkirah Zohor Ustaz Ikhsan hari ini sangat menarik untuk kita renungkan. Allah memberi taufiq pada siapa yang disukai. Bagaimana kita hendak mendapat hidayah Allah supaya tak menyesal di kemudian hari. Di akhirat, 1 rakaat solat akan tercatit pada buku amalan yang nilainya melebihi dunia dan isinya. Jadi kena pastikan kita sentiasa dapat taufik Allah. Bila bangun pagi, kita tahu kita berhutang dengan Allah sebanyak 360. Kita tahu tapi kita tak buat untuk membayar hutang tersebut dengan melakukan solat sunat Dhuha. Kita tahu 1 huruf bacaan Al Quran akan mendapat 10 pahala. Tapi kita tak juga melakukannya. Dah ke kita katham Al Quran sebelum Ramadhan menjelang ini. Kita tahu solat sunat melengkap ibadah solat fardhu tapi adakah kita buat? Kita tahu mengucap 1 zikir Subhanallah, pahalanya memenuhi timbangan mizan tapi kita tak juga melakukannya. Tak usahlah cerita kehebatan tahajjud atau azabnya neraka, bila hati dah mati, kita tak akan terasa apa apa. Umur kita semakin hari semakin tua. Semua ini akan membuat kita menyesal. Sementara ada masa, kita kena buat walaupun amalan yang kecil. Kita kena berfikir bagaimana untuk melakukan satu aktiviti dengan kaedah yang betul supaya menghasilkan kaedah yang baik. Guna akal untuk dapat maklumat benar supaya boleh bantu kita mendapat pahala. Dengan akal, kita boleh fahami suatu perkara dengan lebih mendalam. Allah akan buka pintu ilmu pada kita untuk lebih faham. Untuk jadi faham akan sesuatu ilmu, bukan mudah. Bila kita faham, kita dapat pahala lebih dari orang lain walaupun sama sama melakukan ibadah yang sama. Contoh, masuk masjid jika diniat iktikaf dapat pahala berbanding dengan orang yang masuk tanpa berniat iktikaf. Begitu juga tengok kalendar, hari yang dapat pahala jika berpuasa.

Manusia tak boleh dipaksa untuk melakukan sesuatu perkara. Sebaliknya manusia kena menggunakan akal untuk menyelesai sesuatu. Islam menggalak umatnya mengguna fikiran untuk mencapai kehidupan lebih baik yang bersandarkan wahyu, hadis Nabi dan kata kata alim ulamak. Bukan sekadar logik fikiran semata tapi mesti berdasarkan nas dan dalil. Fikirkan ayat ayat Al Quran yang membuktikan kebesaran Allah. Al Quran dan alam maya ini sendiri mengajak kita berfikir akan kebesaran Allah. Contoh dengan melihat kejadian angkasaraya seperti matahari, bulan dan bintang. Lagi tinggi kajian manusia, sepatutnya lagi terasa kerdilnya kita. Nikmat Allah tak terhitung banyaknya. Bila kita menggunakan akal untuk fikirkan nikmat, kita pasti akan taat melakukan perintah Allah. Bila ingat akan azab Allah, kita akan jadi rasa takut dan akan meninggalkan perbuatan yang dimurkai Allah. Kekuatan berfikir hingga kita boleh memikir apa yang tak logik oleh akal. Contoh bagaimana boleh bercakap di telefon dengan orang yang berada di jarak yang jauh, bagaimana kapalterbang boleh terapung di udara. Sepatut bila boleh berfikir bab dunia, kena juga fikir bab akhirat.  Juga dipesankan bila tiba saat kita hendak mati, kita kena tinggikan husnuzon dan pengharapan pada Allah kerana Allah ikut apa yang kita sangkakan padaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun. 






Teresek adalah antara masakan tradisional Kelantan kegemaran saya. Setiap kali ada majlis dan kenduri, pasti saya akan mencadangkan menu ini sebagai lauk hidangan. Jadi saya memang dari dulu belajar cara menyediakannya dan menulis resepinya dalam buku masakan antik saya. Apa yang saya ingat cara menyediakannya sama seperti menyediakan Gulai Kelantan tetapi dimasukkan rempah kari. Itu jer panduan yang saya ingat. Kena pastikan ketika dimasukkan kacang dan cili, kuah telah benar benar pecah minyak dan hampir kering supaya kacang tidak terlalu masak ketika kuah dikeringkan. Tapi kalau teresek yang dihidangkan di majlis kahwin memang kacangnya lembut. Barulah rasa seperti lauk teresek asli. Teresek adalah masakan yang agak kering dan sedikit basah berkuah sahaja. Ianya adalah resepi tradisional yang semakin tidak dihidangkan lagi di majlis kenduri kawin kerana faktor harga kacang dan cili yang agak mahal. Selain itu, sekarang ini banyak majlis kahwin menggunakan perkhidmatan catering, jadi lauk seperti ini memang jarang ditempah. Kalau di Negeri Sembilan, popular dengan Rendang Kacang Panjang Nismilan boleh tengok entri di SINI yang juga disediakan di majlis kahwin menggunakan bahagian yang tak banyak isi seperti tengkuk, kepak, kaki dan tulang ayam. Kalau orang Kelantan, dipanggil seropeh atau keropeh ayam. Selain menggunakan kacang panjang, Teresek juga boleh dibuat menggunakan jantung pisang. Boleh klik di SINI untuk melihat cara menyediakan Teresek Jantung Pisang. Entah kenapa gambar saya hari ini tidak menampakkan warna teresek yang sebenarnya yang nampak sedikit keperangan bukan kekuningan. Tapi apa pun, rasanya memang sedap. Sangat puashati kerana akhirnya dapat menikmati teresek yang sekian lama diidamkan. Maklumlah saya telah bertahun tidak balik menghadiri jemputan majlis perkahwinan di Kelantan. 
Jika anda ingin mengetahui rasa teresek, masakan tradisional di negeri Kelantan, kenalah mencubanya sendiri. Lagi pulak, sangat mudah dan cepat disediakan. Jom layan resepi di bawah ini dan juga jangan lupa follow dan menonton video di Instagram Azie Kitchen serta subscribe youtube Azie Kitchen channel untuk video yang lebih panjang.



Teresek Kacang Panjang 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
20 batang kacang panjang - kena banyak dari ayam
5 tangkai cili hijau solok Kelantan - guna 2 cili hijau biasa
Ayam - guna kepak, tengkuk, kaki, hati dan mempedal
1 sudu besar rempah kari ayam/daging
1/2 kotak santan kotak - campur sedikit air
Garam
Gula
1 sudu besar kerisik
1 keping asam keping

Bahan kisar:
2 sudu besar cili kering kisar
7 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
4 hirisan nipis lengkuas
1 sudu besar rempah ketumbar biji - sangai

Cara cara:
Masak bahan kisar dan rempah kari bersama santan dan bahagian tulang tulang ayam tadi. Masak sehingga ayam masak dan hampir pecah minyak. 





Masukkan asam keping, gula dan garam secukupnya. Masukkan juga kerisik. Kacau hingga kuah pecah minyak. 





Akhir sekali, masukkan kacang panjang dan cili hijau. Kacau rata sehingga kuah hampir kering mengikut kesukaan masing masing. Ada yang suka sedikit berkuah. Jika terlalu kering, bolehlah tambah air panas. Bolehlah ditutup api. 




Wednesday, 12 October 2016






Kuliah Ustaz Ibrahim Muhammad hari ini sangat menarik untuk dikongsikan kerana kita semua adalah anak kepada ibubapa kita dan kita juga mungkin menpunyai anak. Ianya berkenaan tanggungjawab seorang anak kepada ibubapa samada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Hadis Rasulullah menyebut ibadah khusus yang dilakukan oleh anak yang sampai kepada ibubapa ada 4 perkara. Yang pertama ialah sedekah. Apa sahaja sedekah yang melibatkan harta seperti wakaf dsb. Ianya tanda kasih sayang kepada kedua ibubapa yang telah memelihara kita. Niatkan, "Ya Allah, aku sedekahkan untuk kedua ibubapa ku yang telah meninggal". Kalau tak diniatkan, hanya kita sahaja yang dapat pahala. Sebagai anak, kita kena ada dalam diri masing masing rasa kasih sayang pada ibubapa. Jangan bila ibubapa telah meninggal, kita jadi lupa dan terputus ingatan pada ibubapa yang telah meninggal. Yang kedua ialah doa. Kedua dua doa dan sedekah, boleh dibuat tiap tiap hari. Berdoa lah seperti, "Ya Allah ampunilah dosa kedua ibubapa aku, berilah rahmat kepada mereka, kasihani lah mereka seperti mana mereka mengasihi ku. Masukkan mereka ke dalam syurga". Atau boleh berdoa apa apa sahaja yang baik baik. Yang ketiga ialah mengerjakan ibadah Haji jika ibubapa belum mengerjakan Haji semasa hidupnya. Manakal yang terakhir ialah melakukan korban seekor kambing. Korban seekor kambing, boleh diniatkan untuk ramai kerana satu nyawa. Korban lembu ada banyak perselisihan samada korban sampai atau tidak pada orang yang telah meninggal. Rasulullah masa meletak pisau, baginda berdoa Ya Allah terima lah korban dari Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad. Untuk melakukan ibadah korban, kita boleh menyimpan duit dari awal secara berdikit dikit. Itulah 4 amalan yang Nabi nas secara khusus selepas ibubapa meninggal. 

Hadis riwayat Ahmad. Hadis umum, menyebut anak anak bila melakukan amalan soleh, pahala akan dapat oleh ibubapa samada ibubapa masih hidup atau telah meninggal. Ibubapa dapat pahala walaupun anak tak meniatkan pahala. Bagi anak yang berbuat kejahatan pula, ada 2 keadaan. Kalau ibubapa telah mendidik, tapi anak masih berbuat jahat, dosa ditanggung oleh anak sendiri. Sekiranya ibubapa tak mendidik dengan betul, maka ibubapa akan tanggung dosa yang di buat oleh anak samada ibubapa telah meninggal atau masih hidup. Jadi kesimpulannya, setiap anak kena jaga ibubapa walau pun mereka telah meninggal. Kena ada rasa kasihan belas pada ibubapa. 

Sekarang kita masuk bab resepi pula. Serious sup ini sangat sedap. Saya tidak meletak udang atau ayam kerana tiada stok. Jadi saya meletak 1 kiub ayam Knorr sebagai perisa. Ada orang tak suka kiub perisa ni kerana dikatakan menpunyai high sodium. Kalau dimasukkan udang, rasanya akan lebih lagi sedapnya. Kalau dah letak udang, tak perlulah lagi kita memasukkan kiub ayam kerana udang akan memberi rasa kemanisan semulajadi pada sup. Saya makan menghirup hirup kuah sup begitu sahaja. Jangan lupa layan video di Instagram Azie Kitchen untuk melihat cara saya menyediakan sup sayur dengan tauhu telur yang sangat mabeles ini ya... 

Jom layan resepi mudah tetapi sangat sedap dan berkhasiat di bawah ini...





Sup Sayur Campur dengan Tauhu Telur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 pek tauhu telur - potong kecil
Udang - saya tak letak
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 kiub perisa ayam Knorr - opsyenal
Sayuran campur
1 tangkai cili merah - hiris
Garam
Lada putih - tumbuk
Daun bawang
Bawang goreng

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng tauhu telur. Balik balikkan. Angkat dan ketepikan.





Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.  Jika menggunakan udang, tumis udang yang dibuang kepala seketika.

Masukkan air secukupnya. Masak sehingga mendidih, masukkan kiub ayam Knorr. Nota: Jika menggunakan udang atau ayam atau apa apa makanan laut, tak perlu lagi memasukkan kiub ayam Knorr.

Masukkan sayuran campuran dan bila agak lembut, masukkan tauhu yang telah digoreng tadi.  Masukkan garam dan serbuk lada putih secukup rasa.





Sebelum dihidangkan tabur cili merah, daun bawang dan bawang goreng. Sedia untuk dihidangkan.