Responsive Ads Here
Showing posts with label Lauk Pauk. Show all posts
Showing posts with label Lauk Pauk. Show all posts

Sunday, 16 July 2017







Secara jujur, Saya sebenarnya masih seolah berada di dua dunia. Saya masih belum sepenuhnya menjadi diri saya. Minda dan fikiran masih seolah saya berada di Tanah Suci walaupun fizikal saya telah berada di tanah air. Malam sebelum tidur, saya akan mendengar youtube solat Terawih oleh Imam iman di Masjidil Haram ketika Ramadhan baru ini. Itulah sebabnya saya tak ada mood pun untuk berhari raya atau menghadiri rumah rumah terbuka. Malahan baju raya pun masih belum diambil. Namun begitu, beberapa hari ini, saya sangat sangat gembira dan sangat bersyukur. Tapi saya belum bersedia untuk mengumumkannya. Insya Allah saya akan kongsikan bila tiba masa nya. Haa sebelum itu, saya nak maklumkan bahawa Momen Perkahwinan anakanda saya, Dr Nana akan diterbitkan dalam majalah Nona keluaran bulan Ogos 2017. Hmm jangan lupa dapatkan naskhah anda ya. Sekadar berkongsi detik detik kegembiraan kami sekeluarga dengan pembaca blog Azie Kitchen semua. Lagi pulak, memang ramai yang menulis mesej pada saya meminta dikongsikan gambar gambar dan detik detik perkahwinan Nana. 

OK sekarang kita masuk pula bab resepi. Resepi Sambal Sotong. Hubby ke Pasar Taman Tun Dr Ismail untuk membeli tulang lembu untuk dibuat sup. Jadi saya pesankan sekali, sotong yang bertelur. Bila balik, saya tengok sotong tak menpunyai telur pun. Jadi saya menanya Juita, sotong untuk dimasak apa. Bila Juita mengesyorkan Sambal Tumis, saya pun tak berlengah terus menyediakan Sambal Tumis. Tapi saya membuatnya sedikit kering, tidak seperti Sambal Tumis biasa. Caranya saya masukkan hanya sedikit air sahaja. Jadi sambalnya lebih pekat. Memasak sotong agak leceh sedikit kerana ia akan menghasilkan air yang banyak. Jika dimasak lama untuk mengeringkan air, sotong pula menjadi terlebih masak dan liat. Jadi cara saya ialah, saya akan memasakkan sotong seketika di atas dapur dan kemudian ditos kan airnya. Nak tahu caranya? Kenalah tengok di video yang saya sediakan.




Saya memang suka memasak sambal tumis, tak kira lah apa pun asal sambal tumis kerana ianya mudah dan bahan bahan yang digunakan pun tak banyak. Cuma kena bersabar untuk menumis cili sehingga ianya benar benar garing. Yang lain semua dah ada dalam ingatan. Pendek kata lauk ini memang lauk feveret di rumah kami. 

Jom layan video di Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI. untuk melihat cara penyediaan. Meh kita lihat resepi di bawah ini.  




Sambal Sotong

Bahan bahan:
Sotong secukupnya
1 senduk besar cili kisar
1 biji bawang besar - hiris
2-3 sudu besar gula
Garam
1 keping asam keping

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih

Cara cara:
Sotong dimasukkan dalam kuali dan panaskan atas dapur sehingga air sotong keluar dan toskan. Tujuannya supaya sambal saya tidak berair. 

Panaskan minyak yang agak banyak. Tumis bahan kisar sehingga sedikit wangi dan masukkan cili kisar. Perlahankan api dan tumis sehingga cili benar benar masak dan garing. Ia akan kelihatan sedikit berbuih bila telah garing. 

Masukkan gula terlebih dahulu bagi menjadikan warna sambal yang lebih cantik. Kacau rata. Kemudian baru dituangkan sedikit sahaja air. Masukkan sotong tadi. Kacau rata. 

Masukkan garam dan asam keping. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat kerana sotong tidak boleh dimasak terlalu lama kerana ia akan menjadi liat. 




Thursday, 6 July 2017









Sebelum mula menulis bab resepi Pajeri Nenas Perak, saya nak tulis dulu bab resepi Rendang Daging Perak saya yang dah jadi viral di fb. Resepi yang saya pelajari dari kakak ipar saya dari Perak di SINI dan di SINI. Bila Rosehayatie, kawan Instagram saya memberitahu ada group page dalam fb yang telah viral resepi saya tapi dicampur aduk dengan video kepunyaan beliau dan juga gambar orang lain, saya hanya tersenyum. Sejujurnya saya gembira sahaja jika resepi saya dikongsikan oleh lebih ramai orang. Memang itu pun niat saya supaya apa yang saya kongsikan dicuba oleh ramai orang. Tapi saya tergerak hati untuk masuk ke page group tersebut dan wow ramainya yang mengutuk dan mengeji saya. Aduhaai saya yakin 100% mereka semua adalah orang Melayu beragama Islam. Kemarahan mereka adalah kerana video yang dipaparkan tidak sama dengan resepi yang ditulis. Kedua kerana penggunaan nama Rendang Daging Perak yang kononnya tak sama dengan resepi nenek moyang mereka. Saya tidak marah tapi saya kesian kerana fb adalah platform untuk kaum muslimin (bukan mukminin) untuk membuat fitnah dan menabur dosa di akhir zaman. Mereka menggunakan jari jemari untuk mengutuk tanpa memikirkan apa yang ditulis akan kekal di situ umpama memahat dosa di batu. 

Bagi yang cerdik, mereka tahu dengan tak payah saya menjelaskan apa apa. Mereka nampak dan mereka fikir sebelum menulis. Tapi bagi yang lain lain, cuba fikirkan. Adakah salah saya jika video tidak sama dengan resepi jika saya sendiri tidak tahu menahu berkenaan page fb berkenaan. Ketika itu, mungkin saya sedang mengerjakan umrah. Kedua, bab penggunaan nama Rendang Daging Perak. Salahkah dengan nama itu? Saya tidak tulis pun yang ianya resepi asli rendang Perak dsb. Malahan dalam blog saya ada resepi rendang pedas dan resepi Rendang Tok yang saya belajar dari mertua saya yang berasal dari Perak. Ada yang menulis kongsi resepi, biarlah ikhlas. Aduhai mereka ni... apa apa pun saya memang kesiankan mereka. Kalau tak suka, tak perlu lah baca atau tak perlulah ikut. Saya orang Kelantan. Saya tahu di Kelantan dulu tak ada Rendang Kelantan. Tapi bila ada yang menamakan resepi mereka Rendang Kelantan, saya tak ada lah pulak nak melalak dan marah marah. Sesiapa pun berhak untuk memberi nama pada resepi mereka. Hidup mesti dinamik barulah ada kemajuan. Kerana itu, perlu sentiasa melakukan perubahan dan innovasi. Barulah ada perubahan. Begitu juga bab resepi, tak salah meletak kicap dalam rendang atau nak meletak apa sekali pun. Tak salah nak namakan apa sekali pun, asal nama yang baik baik. Bukan nama sumpah seranah. Peace no war ya. Semoga mereka yang suka berfikiran negatif pada orang lain, diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Lepas ini, saya nak kongsikan Pajeri Nenas stail Perak. Kalau tak sama dengan cara nenek moyang di Perak, jangan kecam saya pulak. Beritahu elok elok supaya saya tukarkan jadi nama Pajeri Nenas Azie Kitchen. Habis cerita. 




Setelah terpandang Instagram Puan Sri Raja Noorashikin sedang memasak Pajeri Nenas stail Perak, hati dah tak sabar juga untuk menyediakan Pajeri Nenas. Cuma setelah diteliti, saya pun tak pasti apa perbezaan Pajeri Nenas Perak berbanding dengan Pajeri Nenas yang biasa saya masak sebelum ini. Sebelum ini pun, saya ada juga meletakkan udang kering, kadang kadang saya letak juga udang hidup. Tapi apa pun, saya anggap ini Pajeri Nenas Perak lah walaupun saya tak letak halba seperti mana Puan Sri Raja Noora. 

Tapi entah di mana silapnya, lama direnih atas dapur tapi tak juga terbit minyak. Begitu juga dengan kelapa parut yang telah digoreng sebelumnya untuk dijadikan kerisik. Tumbuk bagai nak tercabut lengan, tak juga mahu pecah minyak. Walhal, sebelum ni cantik jer keluar minyak kerisik. Aduyai, kecewa lah sedikit kerana kejadiannya kurang cantik dan menarik. Namun begitu, berbaloi baloi kerana sangat sedap dan saya makan menambah nambah dengan meratah begitu sahaja. Yang paling penting, ianya semakin sedap selepas beberapa hari disimpan. Saya simpan dalam bekas tupperware di dalam freezer. Tiga hari berturut turut saya makan sewaktu berbuka puasa. Memang sangat sedap, secukup rasa kemanisannya. 

Jom layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel di SINI dan untuk video Pajeri Nenas di SINI. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Tapi kalau untuk detail resepi dan cara cara penyediaanya, saya hanya kongsikan di blog sahaja. Video hanya untuk memberi sedikit idea cara saya menyediakannya. Memang penat bila membuat video. Dua kali juga iphone baru saya jatuh dalam kuali yang sedang di atas dapur. Adohaiii. Haru biru dibuatnya. Apa apa pun, jom layaannn...





Pajeri Nenas Stail Perak

Bahan bahan:
1 biji nenas - pilih yang hijau kekuningan
2 sudu besar ikan bilis atau udang kering - rendam dan tumbuk
1 paket kecil serbuk kari daging - 3 1/2 sudu besar
1 paket kecil kerisik - atau buat sendiri
1 sudu besar cili kisar
1 kotak santan kotak
Air secukupnya
Rempah 3 sekawan - kulit kayu manis, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang
Minyak masak secukupnya
1 sudu besar minyak sapi - opsyenal
Garam
Gula Melaka
Gula secukup rasa

Bahan Tumbuk:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Nenas dibuang kulit,  dibersihkan dan dipotong-potong. Nenas direbus dengan sedikit air dan 2 sudu besar gula dalam 5 minit atau sehingga nenas sedikit lembut. Angkat dan ketepikan. 




Panaskan minyak dan sedikit minyak sapi. Tumis rempah 3 sekawan dan bahan tumbuk sehingga wangi dan kekuningan. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga cili agak masak. 

Masukkan pula rempah kari serbuk dan kacau dengan cepat sehingga wangi sebelum dituang sedikit air. Tumis hingga pecah minyak. 




Setelah pecah minyak, masukkan udang kering. Tumis lagi sebelum dimasukkan nenas dan air rebusan nenas sekali. Setelah mendidih, baru dimasukkan santan. 

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula Melaka dan gula secukupnya. Bila kuah pekat dan terbit minyak, bolehlah diangkat. 

Nota:
Kuah mestilah sedikit pekat dan menpunyai rasa manis. 




Wednesday, 7 June 2017






Begitu cepat masa berlalu, Ramadhan telah menghampiri pertengahan. Ramadhan adalah pesta ibadah yang mana manusia berlumba lumba untuk meraih sebanyaknya pahala. Sempena bulan Ramadhan, ramai sekali yang mengerjakan umrah kerana pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadhan menyamai dengan mengerjakan Haji bersama Rasulullah. Sangat hebat. Jadi sesiapa yang berpeluang untuk ke Tanah Suci samada untuk mengerjakan umrah atau mengerjakan Haji, jangan lepaskan peluang untuk memaksimunkan amal ibadah semasa berada di sana. Persediaan awal sangat penting seperti bersedia dengan doa doa dan zikir zikir serta solat solat yang akan dibuat sepanjang berada di sana. Perbanyakkan sujud di Masjidil Haram yang pahala digandakan kepada 100,000. Di sini saya ingin kongsikan berkenaan dengan zikir zikir Rabbani yang perlu dibaca sebanyak 100 kali setiap hari dan juga persediaan yang perlu dibuat. Ianya saya ambil dari video Ustaz Jafri Abu Bakar yang saya dengar berulang kali. Zikir zikir tersebut adalah zikir istighfar iaitu Astaghfirullahal adziim. Kedua, Subhanallahi Wabihamdih Subhanallahil Adzim Astaghfirullah yang merupakan zikir yang ringan di lidah tapi berat di timbangan. Allah akan ampun dosa walaupun ianya sebanyak buih di lautan. Ketiga, Laillaa haillah. Keempat, Hasbunallaahu waniqmal wakeel. Kelima Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaahaillallah Wallaahuakbar. 4 kalimah yang akan menanggalkan dosa seperti tertanggal daun daun kering dari pokok. Seterusnya, La hawla walaa Quwwata Illa Billahil aliyil adziim dan akhir sekali, selawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW iaitu Allahuhhama sholli alaa Saidina Muhammad Waalaa Aali Saidina Muhammad. Memang banyak buku buku bab zikir Mathurat pagi dan petang, tapi saya lebih suka menyenaraikan zikir di atas sekeping kertas dan merujuknya semasa berzikir. Bila kita punya masa yang terhad, kita perlu fokus pada zikir yang kita ingini sahaja. 

Manakala persediaan yang perlu dibuat adalah terbahagi kepada 4 jenis iaitu fizikal. Kita akan mengguna banyak tenaga untuk melakukan tawaf dan Saei di tengah jutaan manusia. Sebelum pergi, mulalah melakukan sedikit exercise seperti jogging. Takut sakit bila sampai di sana. Kedua, persediaan dari segi amalan. Kita mahu maksimunkan amalan di sana. Kena mula dari sekarang supaya ianya lekat di sana seperti mula baca Al Quran dan solat tahajjud. Ketiga, ekonomi. Niat bawa duit untuk sedekah pada jemaah di sana. Boleh ditukar duit kecil siap siap untuk diberi pada jemaah miskin dari negara lain yang duduk di tepi tepi masjid.  Satu satunya amalan yang Allah jamin pahala segera adalah sedekah. Di dunia, dah dapat ganjarannya. Bayangkan satu sedekah boleh dapat sehingga 70 juta pahala, iaitu 1x700x100,000. Akhir sekali, Ilmu. Supaya bila sampai sana, dah siap sedia dengan apa amalan yang kita nak buat. Amalan harian apa yang nak dibuat. Solat sunat apa yang hendak dikerjakan dsb. Semoga bermanafaat.

Sekarang kita masuk pula bab masakan. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, sudah terbau aroma masakan Nana yang sedap yang membuatkan air liur menjadi kecur. Hahaha. Saya terus menjenguk ke dapur dan melihat Nana telah menyiapkan Kari Daging yang sangat perfect pada saya dari segi penampilannya. Kepekatan kuah yang cukup dan cantik. Kuah kari seperti ini juga sedap dicicah dengan roti jala atau roti canai. Untuk menghasilkan kari seperti ini memerlukan praktis dan praktis. Jika tidak menjadi, cuba lagi dan cuba lagi. Gambar di ambil dah malam. Jadi agak kurang cantik kerana tiada lagi cahaya semulajadi. Boleh klik di SINI, untuk melihat entri resepi Kari Ayam yang sedap. Satu yang mesti diingat, rempah kari mesti benar benar masak baru sedap. Jadi jangan bancuh dengan air, sebaliknya masukkan rempah kari kering. Baru rempah akan garing dan wangi.

Jom layan resepi dan cara menyediakan Kari Daging di bawah ini. Selamat mencuba...




Kari Daging 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/4 kg daging
2 biji ubi kentang
4-5 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
Rempah penumis - kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
1 tangkai daun kari
3 sudu besar rempah kari daging 
1 kotak santan kotak
1 keping asam keping - atau air asam jawa
Sedikit kerisik
Garam
Serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis dan bawang bawang, halia yang dihiris serta daun kari. Tumis sehingga naik bau. 

Masukkan rempah kari serbuk dan kacau rata dengan cepat supaya tidak hangit. Kemudian, baru masukkan sedikit air. Biarkan ianya mendidih dan pecah minyak. Nota: jangan bancuh rempah kari dengan air, biarkan kering.

Setelah itu, dimasukkan daging. Terus masak sehingga daging empuk. Jika perlu, boleh masukkan sedikit santan cair semasa daging sedang masak. 

Setelah daging hampir empuk, masukkan santan, air secukupnya dan ubi kentang. Biarkan ianya masak dan daging empuk dan kuah benar benar terbit minyak. 

Akhir sekali masukkan asam keping, garam, kerisik dan serbuk perasa secukupnya. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.





Selamat mencuba... 



Tuesday, 6 June 2017







Kali ini saya ingin kongsikan sedikit petikan yang saya catat dari Kuliah Subuh di Surau Ad Dhuha oleh Ustaz Dr Zainuddin. Dalam surah Al-Layl ada huruf sumpah. Lepas sumpah, baru Allah cerita. Berbeza dengaan sumpah hamba di mana kita akan cerita dulu, baru bersumpah. Allah bersumpah dulu. Kebanyakan ayat yang ada sumpah turun di Mekah kerana ketika itu, orang Mekah belum kuat keimanan. Ayat ayat yang diturunkan di Madinah, tiada ayat sumpah. Demi Allah, bila malam nampak tenang, demi siang bila nampak cerah, demi lelaki dan perempuan. Tiada manusia yang boleh membuat malam. Matahari dan bulan akan keluar dengan taat dan ikut perintah Allah. Binatang juga diatur, di mana ada yang keluar di siang hari dan ada keluar waktu malam hari. Yang susah untuk ikut perintah Allah adalah manusia yang sombong. Hikmah dijadikan bulan Ramadhan bukan untuk menyusahkan tapi memudahkan manusia menjadi seorang hamba. Jibril buka satu sayap dah gelap kerana ditutupi oleh sayapnya. Malaikat yang menjaga arasy lagi besar. Namun begitu, Malaikat tak sombong seperti manusia. Orang yang bertaqwa ialah orang yang melakukan apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang. Allah hanya menerima ibadah orang yang bertaqwa sahaja. Tapi apa kah Taqwa kita telah diiktiraf dan diterima oleh Allah? Inilah yang perlu kita fikirkan.

Jadi kita kenalah memperbanyak melakukan amalan sunat kerana lagi banyak amalan sunat, lagi banyaklah untung yang kita akan dapat. Kita melakukan amalan sunat, untuk tambah keredhaan Allah, diberi rahmat dan di sayang Allah. Jadi solat terawih kena buat betul betul. Terawih solat istirehat tak perlu baca laju. Amalan wajib pula dibuat sebagai membayar hutang. Kata Rasulullah semua manusia akan binasa kecuali yang banyak ilmu, yang rajin belajar dan yang beramal dengan ikhlas. Kita datang majlis tahlil dan duduk sampai habis lebih baik pahalanya dari solat sunat 1000 rakaat. Bayangkan betapa besarnya ganjaran untuk orang yang menuntut ilmu. Disentuh juga kisah seorang pemuda yahudi beribadah selama 500 tahun dengan taat. Beliau ingin masuk syurga dengan amal ibadah yang dibuat selama 500 tahun. Malaikat hitung dengan amalan yang dia ada, hanya layak sebelah mata jer untuk masuk syurga. Kita pulak dengan amalan yang betul tapi tak betul betul. Jangan sombong dengan ibadah. Jangan pandang orang tak beribadah dengan sombong. Bila laungan azan HAYYA 'ALASH-SHALAAH, kita akan menjawab "LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAH" iaitu, tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah". Ini adalah kerana atas sebab petunjuk Allah kita dapat datang ke surau untuk menunaikan solat. Jadi kena banyak bersyukur kerana Allah telah memilih kita.




Sekarang meh kita masuk bab masakan pula. Bila saya balik dari pejabat, saya ke dapur dan melihat ketiga tiga anak saya sedang di dapur. Saling tolong menolong. Nana menyediakan ikan siakap stim, Juita sedang menyediakan bahan kuah untuk Butter Chicken dan Boy pula sedang menggoreng ayam celup tepung untuk Butter Chicken. Di bulan Ramadhan, memang anak anak rajin ke dapur. Saya pula yang terpaksa mengurangkan aktiviti di dapur. Jalan yang agak jam, sampai rumah dah pukul 6. Lepas berehat sekejap, saya akan bersiap siap untuk ke surau. Saya berbuka bersama rakan jemaah di surau. 

Berbalik pada Butter Chicken, seperti mana kita tahu, masakan Butter Chicken memang mahal jika di order di restoran. Tapi untuk membuatnya tidak lah susah cuma banyak proses seperti menyediakan ayam celup dulu dsb. Tapi saya memang mengesyorkan agar anda semua menyediakan sendiri hidangan ini di rumah. Selain dapat berjimat, juga boleh makan sepuas puasnya. Boleh klik di SINI untuk resepi Butter Chicken yang agak berbeza dengan resepi kali ini. Kedua duanya pun sedap. Bolehlah anda mencuba kedua duanya sekali.  Cuma jika tak tahan pedas, bolehlah gantikan cili padi dengan cili merah. 

Jom layan resepi yang saya gunakan kali ini. Selamat mencuba.. 





Butter Chicken
Oleh: Azie Kitchen

Bahan A:
Ayam - bahagian isi
Tepung segera 
Telur

Bahan B:
5 sudu besar mentega
4 ulas bawang putih - cincang
5 tangkai cili padi - hiris (boleh ganti cili merah)
1-2 tangkai daun kari
1 tin susu cair - bergantung pada kuantiti ayam
1 sudu besar tepung jagung - bancuh dg sedikit air - opsyenal
Garam
Gula


Cara cara:
Ayam dicelup ke dalam telur dan golek dalam tepung. Ikut arahan di kotak pengbungkusan. Panaskan minyak dan goreng ayam yang telah dicelup tepung hingga garing. Angkat dan ketepikan.





Panaskan kuali dan masukkan mentega dan tumis bawang putih dan cili padi sehingga kekuningan dan naik bau. Masukkan susu cair dan kacau dengan api perlahan. 

Masukkan daun kari, garam dan gula secukup rasa. Jika suka pekat, masukkan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air. 





Masukkan ayam yang digoreng tadi ke dalam kuah dan kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.




Saturday, 3 June 2017






Saya nak sambung petikan dari kuliah zohor oleh Ustaz Dr Mohd Azmi Mat Sah. Disebutkan Nabi mengamin doa malaikat Jibril sebanyak 3 kali. Sebenarnya perkara ini telah banyak kali ditulis dan tapi berapa ramai antara kita yang mengamalkannya. Jadi saya akan tulis di sini berdasarkan kupasan Ustaz. Amin yang pertama ialah celaka orang yang mendapat Ramadhan tapi dosa tak diampun. Antara 1 Ramadhan dengan 1 Ramadhan yang lain, Allah akan ampunkan dosa kita. Risau kot mati tak sempat memasuki bulan Ramadhan. Bila masuk sahaja waktu Maghrib, kena syukur sangat sangat kerana aku dah masuk bulan Ramadhan. Allah nak bagi keampunan dalam Ramadhan pada kita dengan setiap hari dicurahkan rahmat. 11 bulan kita tak pernah tunggu azan Maghrib tapi bulan Ramadhan, kita akan tunggu azan Maghrib. Ramadhan mendidik kita menjadi orang bertaqwa. Ramadhan akan tentukan kekuatan kita untuk 11 bulan akan datang. Ada orang sanggup berhutang untuk tempoh berpuluh tahun, seolah confirm yang dia akan hidup hingga hutang habis dibayar. Dengan Ramadhan, bila kita rajin bersedekah, Allah akan selesaikan masalah hutang. Allah akan tunjuk cara untuk menyelesai hutang. Lagi satu ustaz pesan supaya kita mengamalkan doa dalam Al Quran yang Allah ajar. Doa sendiri boleh tapi ambil didalam Al Quran. Juga amalkan doa yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat. Bulan Ramadhan perbanyakkan membaca doa "Allahumma Inni Asluka Ridha Kawal Jannah Wana �uuzubikamin sakhotikawannar". Keluarkan suara dalam berdoa akan dapat pahala sedekah. Dengan Allah, kita minta direct jer tapi ayat dan cara berdoa kenalah betul. Minta yang besar besar kerana Allah Maha Kaya. Mohon dengan Allah supaya ampunkan dosa kita. Amin Rasulullah yang kedua ialah celaka orang ada ibu masih hidup tapi tak dapat syurga kerana tidak berbakti kepada kedua ibubapa. Ada dua jalan ke syurga. Iaitu jalan ibu dan jalan ayah. Redha Allah bergantung pada redha ibubapa. Redha suami akan dapat redha Allah. Anak anak taat pada ibubapa, syurga lah balasannya. Ibubapa adalah bonus untuk anak anak masuk syurga. Mencari redha, apa yang dikatakan redha? Redha adalah bermaksud make them happy. Apa apa yang mereka suka. Amin yang ketiga ialah celaka bila sebut nama aku, tapi tidak berselawat kepada ku. Selawat akan menjadikan kita seorang yang hebat dunia dan akhirat. Jadi jangan lupa berselawat ketika solat terawih. 

Bulan Ramadhan ni, saya lebih suka berbuka dengan suatu yang lebih simple seperti kuah kicap, kuah seperti sayur air atau masak lemak yang simple. Tidak terlalu berempah. Telah bertahun tahun saya tidak berbuka puasa secara buffet di luar, apalagi di hotel hotel. Kalau berbuka puasa di luar pun, hanya kawasan berdekatan dengan rumah supaya saya masih boleh ke surau selepas berbuka. Itu pun sebab saya mahu mengembirakan suami dan anak anak sahaja. Jika tidak saya suka berbuka puasa di surau sahaja bersama sama rakan jemaah. Saya rasa membazir makan di buffet, makanan banyak yang nampak sedap tapi sebenarnya tidak mampu pun untuk kita nikmati keenakannya. Ia nya terjadi sebab terlalu banyak makanan yang dimakan dalam masa yang sama. Bila menyebut masakan stim yang pasti terbayang adalah ikan siakap. Boleh juga guna ikan lain seperti kerapu, bawal tapi ikan siakap paling sinonim dengan masakan stim. Yang paling paling utama ialah mendapatkan ikan yang segar supaya terasa kemanisannya. Masakan stim tidak hanyir. 

Jom layan resepi yang digunakan hari ini...




Ikan Siakap Stim

Bahan bahan:
1 ekor ikan Siakap - kelar
Daun ketumbar - tabur
1 biji imau nipis - hiris hiasan

Bahan Kuah:
1/2 biji bawang besar -hiris
3 ulas bawang putih - hiris
2-3 tangkai cili padi - hiris
3 helai daun limau purut - carik
1 biji limau nipis - ambil jus
1-2 batang serai - potong serong
1 inci halia - hiris
1 sudu besar sos ikan
1/2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu besar kicap
Garam 
Gula

Cara cara:
Masukkan sedikit dari bawang, halia dan serai untuk disumbat ke dalam perut ikan dan kukus selama 15-20 minit atau sehingga ikan masak. 

Tuang bahan bahan kuah ke atas ikan dan kukus beberapa minit lagi. 

Angkat dan taburkan daun ketumbar dan hias dengan hirisan limau nipis. 






Thursday, 1 June 2017






Kuliah Zohor Ustaz Dr Mohd Azmi Mat Sah kita harus bersyukur kerana dijadikan orang beriman, sebagai seorang Islam dan syukur kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Alam diciptakan kerana adanya Rasulullah. Adanya Ramadhan juga kerana adanya Rasulullah.Maka seharusnya kita memperbanyakkan bersyukur. Ustaz memulakan dengan menyebut di hari hari dan minggu pertama Ramadhan, orang penuh di masjid dan surau. Kenapa jadi begini? Ramai orang tertipu dengan syaitan. Kita berlumba lumba untuk melakukan amalan sunat. Sedang amalan fardhu lagi besar. Meeka yang ramai memenuhi masjid kerana nak solat terawih atau kerana nak solat Isyak. Kalau kerana Isyak, kita tengok selepas raya. Masih ramai tak orang solat di masjid. Mudah mudahan dengan berkat Ramadhan, orang akan ramai di masjid. Bila anak puasa, ibubapa akan memberi ganjaran hadiah tapi bab solat kita tak pula bagi hadiah. Sedang solat anak anak di suruh solat sejak umur 7 tahun. Ibubapa boleh bertolak ansur dengan solat. Inilah kesilapan dalam mendidik. Bersungguh sungguh mendidik anak berpuasa tapi tak memberatkan didikan solat. 

Ustaz juga mengupas berkenaan perbezaan amalan di bulan Ramadhan dengan hari biasa di mana amalan sunat diberi pahala wajib. Di bulan Ramadhan, 70 rakaat solat sunat baru sama dengan 1 solat fardhu. Kalau kit amelakukan solat terawih 8 rakaat di surau, balik sambung solat terawih di rumah. Ianya boleh dilakukan sehingga masuk azan Subuh. Jadikan solat terawih itu sebagai Qiamullail. Orang mukmin bila berada dalam masjid umpama ikan di dalam air. Ikan bila berada dalam air akan berenang renang dengan tenang. Kalau ikan keluar dari air, tanda ikan nak mati. Manakala orang munafik pula, bila berada dalam masjid umpama burung dalam sangkar yang tak tahan macam cacing kepanasan. Cepat jer nak keluar hingga tak sempat nak berzikir pun selepas solat. Suedang ustaz pesan supaya selepas solat, jangan lupa beristighfar. Kalau nak tahu macam mana orang dulu dengan Al Quran. Umpama orang sekarang dengan hand phone yang tak boleh berenggang.






Walaupun saya berbuka puasa di surau, tapi saya tak risau kerana Nana menyediakan pelbagai lauk pauk untuk berbuka. Kebetulan Alain juga rajin menolong dia di dapur. Boleh klik di SINI untuk melihat entri lepas menggunakan resepi yang sama mengikut cara yang diajar oleh Cikgu Asmat. Resepi ini telah bertahun tahun lamanya saya simpan. Masa tu, cikgu Asmat memasak Ayam Percik di rumah Kak Hasnah atas permintaan kami. Teringat ayam percik cikgu Asmat yang dijual di Bazar Ramadhan di Pasar Jelawat, memang sedap. Tak pasti kalau dia masih berniaga di Bazar Ramadhan. Maklum dah lama saya tak balik kampung sebelum raya. Jika suka, ayam percik Kelantan yang berwarna putih, boleh klik di SINI. OK lah bulan Ramadhan ni, tak larat nak menulis banyak banyak.

Jom layan resepi ayam percik Kelantan yang sangat sedap dan agak sukar ditemui di sini. Kalau adapun dijual, ianya tidak rasa seperti ayam percik original dari Kelantan....





Ayam Percik Kelantan

Bahan bahan:
1/2 ekor ayam - potong 2 atau yang disukai
Garam secukupnya
Gula - guna dalam 2 sudu besar kena ada rasa sikit manis
1/4 keping asam keping - letak sekejap dan dikeluarkan takut terlebih masam
2 kotak santan kotak - kalau guna santan pekat perah, lagi sedap

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang serai - guna separuh jer (boleh juga diketuk sahaja)
3 - 4 tangkai cili kering

Cara cara:
Kisar semua bahan kisar bersama sedikit santan pekat. Masukkan gula, garam dan air asam jawa/asam keping. Tuang separuh dari bahan kisar atas ayam dan rebus. 

Setelah ayam masak, keluarkan dan bolehlah ayam dibakar. Nota: Resepi tradisional ayam yang diperap dengan garam dan bawang putih dikukus seketika sebelum dibakar. 

Separuh lagi bahan kuah dimasak atas dapur dengan api perlahan sambil terus dikacau. Masak sehingga kuah pekat. 

Masukkan asam keping, garam dan gula. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 

Ayam rebus dibakar dan bila ayam mulai sedikit keperangan, lumur bahan kuah merata rata dan bakar lagi seketika. Terbalikkan ayam dan dilumur bahan kuah lagi secara berulang ulang di kedua dua belah.

Bolehlah diangkat untuk dihidangkan.

Nota:
Jika suka kuah untuk dicicah, bolehlah ketepikan sedikit kuah percik. Sebab versi original Kelantan, kuah percik memang melekat di ayam atau ikan.






Monday, 29 May 2017







Kuliah Subuh Ustaz Basri di Surau Ad Dhuha surah Al Mulk. Saya tidak menulis berkenaan tafsir tapi hanya ingin kongsikan antara petikan yang sempat saya catat semasa kuliah tersebut yang sangat memberi motivasi pada saya, iaitu kelebihan surah Al Mulk yang menjadi peguambela kita dan juga bab rezeki. Ustaz menyebut 2 hadis berkaitan surah Al Mulk di mana Rasulullah Shallallahu �Alaihi Wasallam bersabda: �Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.� Ulama berkata: �Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.� Surah Al Mulk hendaklah dibaca secara istiqamah dengan menjadikan membacanya sebagai amalan kehidupan seharian. Ulama berkata: �Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu �Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.� Surah ini ditutup dengan suatu pernyataan yang harus kita renungi bersama: �Katakanlah (Muhammad), Terangkanlah kepadaku, jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?� Bayangkan bagaimana jika ini berlaku? Berapa lama manusia boleh bertahan tanpa air? Dulu saya selalu mendengar arwah Bonda membaca surah ini. Arwah memang menghafal banyak surah surah dan doa doa semasa berbelas tahun tinggal di Pondok Pasir Tumbuh. Hahaha dah melencong sikit ya. 

Sambung lagi dari kuliah tadi di mana Allah sebut tentang rezeki yang kita semua dok risau. Allah boleh bagi rezeki pada siapa yang Allah kehendaki. Dengan mengingati bahawa kuasa mutlak ada pada Allah, akan menjadikan kita orang yang senang dan tenang menjadi hamba Allah. Ini adalah kerana kita yakin semua berlaku dengan ketetapan yang ada pada Allah. Kita tak perlu risau kerana yang menentukan rezeki kita adalah Allah semata, bukan boss. Allah memberi motivasi supaya kita tidak risau akan apa yang Allah akan beri pada kita. Perkara paling penting pada orang Islam ialah untuk memikirkan perkara yang jauh sehingga akhirat. Fikir akan kehidupan selepas mati. Mati adalah suatu yang sangat memberi motivasi bukan melemahkan. Dengan mengingati mati, kita akan menggunakan harta yang ada ke jalan sebaiknya. Harta yang ditinggal pada anak isteri tak boleh memberi manafaat bila kita mati. Itulah sebab orang yang mati meminta satu saat untuk balik ke dunia bagi memberi sedekah semua harta yang ada. 

Allah menyebut siapa paling baik amalannya. Bukan paling banyak amalannya. Contoh, Bagaimana untuk jadikan Ramadhan ini lebih baik dari sebelum nya. Contoh baca Al Quran dengan tafsir sekali. Kalau tahun sebelumnya hanya baca Al Quran sahaja, tahun ini kita lakukan sedikit peningkatan. Jika sebelum ini tidak sempat khatam, tahun ini cuba dengan cara membaca 5 helai dari setiap waktu solat sebagai strategi untuk kita khatam Al Quran. Cari masjid yang imam terawihnya yang boleh memberikan satu perasaan dalam solat kita, bukan masjid yang membuat solat terawih 8 atau 20 rakaat. Begitu juga bila ada ilmu, kita tahu apa yang dikatakan terbaik. Contoh, strategi dengan melewatkan bersahur dan paling cepat berbuka akan memberikan pahala yang lebih pada kita. Nabi Muhammad SAW menyebut dunia, hanyalah jambatan bagi akhirat. Anggaplah dunia tak ada apa. ianya hanya jambatan untuk dilalui sahaja, bukan untuk tempat tinggal. Dunia hanya tempat bercucuk tanam. Kita memerlukan teknik dan strategi untuk menjadi seorang yang paling baik amalannya. Setakat ini dahulu, semga bermanafaat dan jika masih belum mengamalkan membaca surah Al Mulk sebelum tidur, jom amalkannya hari ini juga..

Berkenaan masakan pula, saya hanya meminta Hubby membeli sedikit sahaja udang untuk dimasukkan dalam sayur goreng campur. Tapi bila dibuka plastik yang dibawa balik, ooh banyak lah juga. Memang udang segar boleh disimpan tapi bila dah disimpan tu, rasanya dah lain. Hubby mencadangkan supaya saya menyediakan Sambal Tumis Udang. Saya suka sangat jika diberitahu apa perlu dimasak. Tak payah pening pening kepala nak fikir apa nak dimasak. Pada mulanya Hubby mencadangkan supaya saya memasak lemak udang. Tapi bila diberitahu yang saya telah memasak lemak ayam, dicadangkan supaya saya menyediakan Sambal Tumis. Sambal Tumis memang win di rumah ini, selain dari Paru Goreng Berlada. Kalau ke Bazar Ramadhan, Hubby dan anak anak akan mencari Paru Goreng Berlada.



Cara saya menyediakan sambal tumis mungkin berbeza sedikit dengan orang lain kerana saya menggoreng udang terlebih dahulu. Ini adalah cara keluarga mertua saya bila menyediakan sambal tumis udang. Walaupun udang adalah makanan laut yang manis namun saya terasa sedikit hanyir jika udang terus dimasukkan ke dalam sambal. Jika dimasak lama, udang pula akan menjadi kecut dan tak cantik. Jom layan resepi mudah cara saya menyediakan Sambal Tumis. Apa apa pun sambal yang sedap, mesti ada sedikit manis berbanding masin dan masam.




Sambal Tumis Udang

Bahan bahan:
Udang
1/2 mangkuk cili kering kisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 sudu besar gula pasir
1 sudu kecil garam 
1/2 keping asam keping 
Sedikit serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang seketika, angkat dan ketepikan. Jangan lama lama, cukup sekadar bertukar warna.Menggunakan kuali yang sama, tambah lagi minyak masak secukupnya, tumis bawang besar dan bawang putih yang dikisar sehingga agak agak masak. 

Masukkan pula cili kering dan tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak. Memang menumis memakan masa yang lama.

Masukkan satu sudu gula terlebih dahulu, kacau seketika. Tujuan saya memasukkan gula adalah untuk menjadikan sambal berwarna cantik. Kemudian masukkan sedikit air, garam, gula dan asam keping. 

Dan akhir sekali, masukkan udang dan biarkan seketika. Kemudian tabur sedikit serbuk perasa, jika suka. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.



Selamat berbuka puasa kepada semua.