Responsive Ads Here

Tuesday, 6 June 2017

Butter Chicken Yang Sedap Kegemaran Anak Anak







Kali ini saya ingin kongsikan sedikit petikan yang saya catat dari Kuliah Subuh di Surau Ad Dhuha oleh Ustaz Dr Zainuddin. Dalam surah Al-Layl ada huruf sumpah. Lepas sumpah, baru Allah cerita. Berbeza dengaan sumpah hamba di mana kita akan cerita dulu, baru bersumpah. Allah bersumpah dulu. Kebanyakan ayat yang ada sumpah turun di Mekah kerana ketika itu, orang Mekah belum kuat keimanan. Ayat ayat yang diturunkan di Madinah, tiada ayat sumpah. Demi Allah, bila malam nampak tenang, demi siang bila nampak cerah, demi lelaki dan perempuan. Tiada manusia yang boleh membuat malam. Matahari dan bulan akan keluar dengan taat dan ikut perintah Allah. Binatang juga diatur, di mana ada yang keluar di siang hari dan ada keluar waktu malam hari. Yang susah untuk ikut perintah Allah adalah manusia yang sombong. Hikmah dijadikan bulan Ramadhan bukan untuk menyusahkan tapi memudahkan manusia menjadi seorang hamba. Jibril buka satu sayap dah gelap kerana ditutupi oleh sayapnya. Malaikat yang menjaga arasy lagi besar. Namun begitu, Malaikat tak sombong seperti manusia. Orang yang bertaqwa ialah orang yang melakukan apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang. Allah hanya menerima ibadah orang yang bertaqwa sahaja. Tapi apa kah Taqwa kita telah diiktiraf dan diterima oleh Allah? Inilah yang perlu kita fikirkan.

Jadi kita kenalah memperbanyak melakukan amalan sunat kerana lagi banyak amalan sunat, lagi banyaklah untung yang kita akan dapat. Kita melakukan amalan sunat, untuk tambah keredhaan Allah, diberi rahmat dan di sayang Allah. Jadi solat terawih kena buat betul betul. Terawih solat istirehat tak perlu baca laju. Amalan wajib pula dibuat sebagai membayar hutang. Kata Rasulullah semua manusia akan binasa kecuali yang banyak ilmu, yang rajin belajar dan yang beramal dengan ikhlas. Kita datang majlis tahlil dan duduk sampai habis lebih baik pahalanya dari solat sunat 1000 rakaat. Bayangkan betapa besarnya ganjaran untuk orang yang menuntut ilmu. Disentuh juga kisah seorang pemuda yahudi beribadah selama 500 tahun dengan taat. Beliau ingin masuk syurga dengan amal ibadah yang dibuat selama 500 tahun. Malaikat hitung dengan amalan yang dia ada, hanya layak sebelah mata jer untuk masuk syurga. Kita pulak dengan amalan yang betul tapi tak betul betul. Jangan sombong dengan ibadah. Jangan pandang orang tak beribadah dengan sombong. Bila laungan azan HAYYA 'ALASH-SHALAAH, kita akan menjawab "LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAH" iaitu, tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah". Ini adalah kerana atas sebab petunjuk Allah kita dapat datang ke surau untuk menunaikan solat. Jadi kena banyak bersyukur kerana Allah telah memilih kita.




Sekarang meh kita masuk bab masakan pula. Bila saya balik dari pejabat, saya ke dapur dan melihat ketiga tiga anak saya sedang di dapur. Saling tolong menolong. Nana menyediakan ikan siakap stim, Juita sedang menyediakan bahan kuah untuk Butter Chicken dan Boy pula sedang menggoreng ayam celup tepung untuk Butter Chicken. Di bulan Ramadhan, memang anak anak rajin ke dapur. Saya pula yang terpaksa mengurangkan aktiviti di dapur. Jalan yang agak jam, sampai rumah dah pukul 6. Lepas berehat sekejap, saya akan bersiap siap untuk ke surau. Saya berbuka bersama rakan jemaah di surau. 

Berbalik pada Butter Chicken, seperti mana kita tahu, masakan Butter Chicken memang mahal jika di order di restoran. Tapi untuk membuatnya tidak lah susah cuma banyak proses seperti menyediakan ayam celup dulu dsb. Tapi saya memang mengesyorkan agar anda semua menyediakan sendiri hidangan ini di rumah. Selain dapat berjimat, juga boleh makan sepuas puasnya. Boleh klik di SINI untuk resepi Butter Chicken yang agak berbeza dengan resepi kali ini. Kedua duanya pun sedap. Bolehlah anda mencuba kedua duanya sekali.  Cuma jika tak tahan pedas, bolehlah gantikan cili padi dengan cili merah. 

Jom layan resepi yang saya gunakan kali ini. Selamat mencuba.. 





Butter Chicken
Oleh: Azie Kitchen

Bahan A:
Ayam - bahagian isi
Tepung segera 
Telur

Bahan B:
5 sudu besar mentega
4 ulas bawang putih - cincang
5 tangkai cili padi - hiris (boleh ganti cili merah)
1-2 tangkai daun kari
1 tin susu cair - bergantung pada kuantiti ayam
1 sudu besar tepung jagung - bancuh dg sedikit air - opsyenal
Garam
Gula


Cara cara:
Ayam dicelup ke dalam telur dan golek dalam tepung. Ikut arahan di kotak pengbungkusan. Panaskan minyak dan goreng ayam yang telah dicelup tepung hingga garing. Angkat dan ketepikan.





Panaskan kuali dan masukkan mentega dan tumis bawang putih dan cili padi sehingga kekuningan dan naik bau. Masukkan susu cair dan kacau dengan api perlahan. 

Masukkan daun kari, garam dan gula secukup rasa. Jika suka pekat, masukkan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air. 





Masukkan ayam yang digoreng tadi ke dalam kuah dan kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.




No comments:

Post a Comment