Responsive Ads Here
Showing posts with label Seafood. Show all posts
Showing posts with label Seafood. Show all posts

Sunday, 16 July 2017







Secara jujur, Saya sebenarnya masih seolah berada di dua dunia. Saya masih belum sepenuhnya menjadi diri saya. Minda dan fikiran masih seolah saya berada di Tanah Suci walaupun fizikal saya telah berada di tanah air. Malam sebelum tidur, saya akan mendengar youtube solat Terawih oleh Imam iman di Masjidil Haram ketika Ramadhan baru ini. Itulah sebabnya saya tak ada mood pun untuk berhari raya atau menghadiri rumah rumah terbuka. Malahan baju raya pun masih belum diambil. Namun begitu, beberapa hari ini, saya sangat sangat gembira dan sangat bersyukur. Tapi saya belum bersedia untuk mengumumkannya. Insya Allah saya akan kongsikan bila tiba masa nya. Haa sebelum itu, saya nak maklumkan bahawa Momen Perkahwinan anakanda saya, Dr Nana akan diterbitkan dalam majalah Nona keluaran bulan Ogos 2017. Hmm jangan lupa dapatkan naskhah anda ya. Sekadar berkongsi detik detik kegembiraan kami sekeluarga dengan pembaca blog Azie Kitchen semua. Lagi pulak, memang ramai yang menulis mesej pada saya meminta dikongsikan gambar gambar dan detik detik perkahwinan Nana. 

OK sekarang kita masuk pula bab resepi. Resepi Sambal Sotong. Hubby ke Pasar Taman Tun Dr Ismail untuk membeli tulang lembu untuk dibuat sup. Jadi saya pesankan sekali, sotong yang bertelur. Bila balik, saya tengok sotong tak menpunyai telur pun. Jadi saya menanya Juita, sotong untuk dimasak apa. Bila Juita mengesyorkan Sambal Tumis, saya pun tak berlengah terus menyediakan Sambal Tumis. Tapi saya membuatnya sedikit kering, tidak seperti Sambal Tumis biasa. Caranya saya masukkan hanya sedikit air sahaja. Jadi sambalnya lebih pekat. Memasak sotong agak leceh sedikit kerana ia akan menghasilkan air yang banyak. Jika dimasak lama untuk mengeringkan air, sotong pula menjadi terlebih masak dan liat. Jadi cara saya ialah, saya akan memasakkan sotong seketika di atas dapur dan kemudian ditos kan airnya. Nak tahu caranya? Kenalah tengok di video yang saya sediakan.




Saya memang suka memasak sambal tumis, tak kira lah apa pun asal sambal tumis kerana ianya mudah dan bahan bahan yang digunakan pun tak banyak. Cuma kena bersabar untuk menumis cili sehingga ianya benar benar garing. Yang lain semua dah ada dalam ingatan. Pendek kata lauk ini memang lauk feveret di rumah kami. 

Jom layan video di Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI. untuk melihat cara penyediaan. Meh kita lihat resepi di bawah ini.  




Sambal Sotong

Bahan bahan:
Sotong secukupnya
1 senduk besar cili kisar
1 biji bawang besar - hiris
2-3 sudu besar gula
Garam
1 keping asam keping

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih

Cara cara:
Sotong dimasukkan dalam kuali dan panaskan atas dapur sehingga air sotong keluar dan toskan. Tujuannya supaya sambal saya tidak berair. 

Panaskan minyak yang agak banyak. Tumis bahan kisar sehingga sedikit wangi dan masukkan cili kisar. Perlahankan api dan tumis sehingga cili benar benar masak dan garing. Ia akan kelihatan sedikit berbuih bila telah garing. 

Masukkan gula terlebih dahulu bagi menjadikan warna sambal yang lebih cantik. Kacau rata. Kemudian baru dituangkan sedikit sahaja air. Masukkan sotong tadi. Kacau rata. 

Masukkan garam dan asam keping. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat kerana sotong tidak boleh dimasak terlalu lama kerana ia akan menjadi liat. 




Monday, 1 May 2017






Hari ini adalah hari cuti setiap tahun sebagai meraikan Hari pekerja. Bila cuti jatuh pada hari Isnin, sangat terasa cuti yang merehatkan. Saya dan suami ke MKIC untuk melawat Juita yang akan menduduki peperiksaan A Level bermula pada 3 Mei. 2 hari di sana mnenemankan Juita study. Seperti dijangka perjalanan balik yang terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas di Karak sehingga masuk ke Gombak. Semoga Juita dan rakan rakan dipermudahkan untuk menghadapi peperiksaan A Level dan lulus dengan cemerlang. Aamiin. OK kita tinggalkan dulu bab perjalanan saya di cuti panjang. Sekarang kita masuk sedikit bab pesanan dan peringatan buat kita semua. Bila kita melakukan sesuatu amalan dengan berilmu kita akan mendapat ganjaran yang lebih. Itulah pentingnya untuk kita menghadiri majlis ilmu. Ianya adalah taman syurga. Jika taman syurga di dunia, tidak kita kunjungi, apakah kita layak untuk mendapat syurga di akhirat kelak? Contoh yang saya ingin kongsikan ialah solat Dhuha yang merupakan solat sunat yang ramai sekali melakukannya. Namun jika kita tahu waktu yang paling afdhal untuk melakukannya, kita akan mendapat pahala yang lebih. Waktu seperti yang diajar oleh Rasulullah. Walaupun waktu solat Dhuha adalah pagi kira kira matahari tinggi segalah dan berakhir kira kira 15-30 minit sebelum solat Zohor, namun waktu paling afdhal adalah waktu di mana anak unta beralih tempat iaitu kira kira dalam pukul 10.00 ke 10.30 - 11.00 pagi. Semoga kita dapat melakukannya dengan istiqamah dan mencari yang lebih afdhal. Harap ianya memberi manafaat. 

Saya dan keluarga memang suka makan sotong celup tepung. Tapi kalau order sotong celup tepung di restoran, kena tengok dulu. Kerana silap silap bukan dapat sotong celup tepung tapi dapat cekodok sotong. Hahaha. Cara nak buat sotong celup tepung ni, kena tahu teknik supaya tepung melekat dengan elok di sotong. Pertama sotong kena betul betul kering. Dilap dengan tisu dapur. Kemudian, sotong dicelup dalam telur kuning, sebelum disalut dengan tepung. Setelah diangkat dari kuali, sotong mesti ditos dan kalau boleh masukkan dalam bekas yang dilapik tisu dapur dulu. Kalau kita makan di restoran besar, memang sotongnya bersalut cantik. Sotong celup tepung hari ini, disediakan Nana dengan dibantu Alain. Saya cuma menengok dan menasihat apa apa yang patut sahaja. Boleh klik di SINI untuk entri sebelum ini.

Jom layan resepi dan cara menyediakan sotong celup tepung yang mudah dan sedap di bawah ini. 





Sotong Celup Tepung
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Sotong - lap dengan tisu dapur hingga kering
Telur
Tepung gandum
Tepung serbaguna
Minyak untuk menggoreng

Cara cara:
Sotong yang dihiris dilap dengan tisu dapur sehingga benar benar kering. Celup sotong di dalam telur. Kemudian masukkan ke dalam tepung gandum.




Selepas itu, dicelup pula ke dalam tepung serba guna. Sedia untuk digoreng.





Goreng di dalam minyak yang agak banyak dan betul betul panas sehingga berwarna keemasan. Jangan digoreng terlalu lama kerana ianya akan menyebabkan sotong menjadi liat dan keras. Angkat dan tos atas tisu dapur. Sedia untuk dihidangkan...





Tuesday, 18 April 2017






Sebenarnya hari ini adalah hari jadi saya. Telah setahun lagi usia meningkat. Walaupun kita biasa mendengar yang umur hanyalah sekadar angka, tapi saya melihatnya sebagai baki umur yang kian pendek. Semoga Allah menunjukkan saya dan kita semua petunjuk dan hidayahNya. Berbalik pada hari jadi saya, memang sangat terharu dengan ingatan rakan rakan pejabat khasnya Radzuan yang kami panggil dengan Wan kerana telah membelikan kek sempena hari jadi saya. Beliau memang sangat prihatin dan selalu cuba mengembirakan hati kawan kawan. Itu sebab Wan disenangi oleh ramai rakan sepejabat. Terima kasih tidak terhingga. Malam tadi, Hubby juga membuat kejutan dengan memberikan hadiah brooch yang sangat cantik. Sebetulnya telah agak lama kami tidak mengamalkan pemberian hadiah. Sekadar ucapan hari jadi dan keesokannya, keluar makan malam dengan semua anak anak. Itulah sampai saya bertanya siapa yang beri hadiah ini. Yang sebetulnya saya pun terlupa akan hari jadi sendiri.






Sebelum masuk bab resepi, jom kita baca tazkirah Zohor Ustaz Najhan kitab Ayyuhal Walad iaitu Nasihat Imam Ghazali ke 20 iaitu Ikhlas. Apa erti ikhlas? Ikhlas ialah segala amalan mu hanya untuk Allah. Dan hati tak rasa senang bila menerima pujian dan tak terkesan dengan kecaman mereka. Perbetulkan hati kita kerana hati tempat pandangan Allah pada seseorang. Allah hanya pandang hati manusia. Bukan jasad dan anggota badan manusia. Kena kukuhkan hati iaitu dasar hati. Dasar yang betul dan jernih. Ikhlas ialah bila engkau jadikan semua amalan mu hanya untuk Allah. Khasnya ibadah. Hati engkau tak terasa apa apa bila dipuji atau dicela. Hati tak terkesan dengan apa apa pujian atau celaan manusia. Malahan kita tak suka orang puji. Dan tak rasa hina atau kecil hati bila dicerca. Bila kita tahu samada kita buat sesuatu untuk Allah? Ianya bila kita dapat respon dari orang lain. Ketika itulah, kita akan tahu keikhlasan kita yang sebenar.

Sekarang kita ubah ke topik masakan pula. Saya teringat yang sekarang ini tengah bulan penuh atau bulan mengambang. Jadi ketam akan berisi padat. Sempat lagi pesan supaya hanya membeli ketam betina. Ketam betina mempunyai bentuk seperti tiga segi bawah perut yang agak lebar. Jom layan resepi Masak Lemak Ketam saya pada hari ini. Masak Lemak mesti berkuah pekat, barulah sedap. 



Masak Lemak Cili Padi Ketam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 ekor ketam betina
6 tangkai cili padi kampung
2 inci kunyit hidup
Garam
Daun kunyit - hiris
1 kotak santan kotak

Cara cara:
Cili padi dan kunyit dihiris kecil dan ditumbuk lumat. Masukkan garam untuk memudahkan bahan tumbuk menjadi lumat.




Masukkan bahan tumbuk dalam kuali dan nyalakan api. Dikacau seketika sebelum dimasukkan santan dan air bagi menjadikan santan cair. Bila santan hampir mendidih, masukkan ketam.




Setelah ketam masak, masukkan pula santan pekat. Akhir sekali, masukkan daun kunyit.




Nota:
Untuk masakan udang atau ketam, saya tak letak asam keping.




Tuesday, 4 April 2017



 
Sedikit pesanan dari petikan Tazkirah Zohor oleh Ustaz Nushi di mana kalau kita merebut kekayaan pastikan ia tidak menjadi penyebab yang kita jauh dari Allah. Sebaliknya jadikan kekayaan itu, mendekatkan kita dengan Allah. Contoh, dengan kekayaan yang dimiliki, kita memperbanyakkan bersedekah, berwakaf dsb. Kata Nabi Muhammad SAW, sesunguhnya dunia ini adalah seperti sesuatu yang manis. Benda benda manis memang kita perlukan tapi tak boleh berlebihan. Jika berlebihan akan memudarat dan mendatangkan pelbagai penyakit. Begitulah perumpamaannya, dunia diperlukan tapi tak boleh berlebihan. Matlamat hidup kita adalah akhirat. Ingatkan yang umur kita tak panjang. Kita pasti akan mati. Entah kenapa kebelakangan ini, semangat saya seperti merudum jatuh. Perasaan saya sangat berjauh hati dengan seseorang. Bila saya berdukacita, lagi saya akan habiskan masa dengan mendengar kuliah ustaz ustaz seperti Ustaz Jafri, Ustaz Wadi Anuar di youtube, juga saya akan membaca buku sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadhan. Saya cuba mengamalkan sebanyaknya apa yang dipelajari terutama zikir zikir mudah kerana setiap lafaz zikir akan memberikan pahala yang besar pada timbangan mizan. Ustaz berpesan supaya mengamalkannya supaya kita tidak menjadi orang yang menyesal. Kerana tiada kematian lagi selepas hari kiamat. Samada kita kekal di syurga atau kekal di neraka. Jadi setiap hari kita haruslah berdoa sebanyak 3 kali agar diberikan syurga tanpa hisab, nescaya syurga akan berdoa agar kita diberikan syurga. Kita juga berdoa supaya diberi perlindungan dari neraka sebanyak 3 kali, supaya neraka berdoa kepada Allah agar kita dijauhkan dari neraka. Itulah sedikit perkongsian dari saya dan semoga ianya bermanafaat buat kita semua.
  



Kalau ikutkan hari ini, saya memang tiada plan untuk memasak tetapi Nana menghantar mesej WhatsApp menanyakan kalau mahu memasak untuk makan malam. Kalau hendak memasak, dia menyuruh saya singgah di kedai runcit membeli daging untuk dibuat sup dan ikan selar kuning untuk digoreng. Ikan jenis kecil di kedai runcit semua nampak tak segar. Yang nampak segar hanyalah ikan siakap.  Jadi saya beli seekor dengan harga RM15.00. Bila ikan siakap, terfikir di hati tak kan lah nak goreng garam kunyit jer. Kalau ikut Nana, dia hendak goreng sahaja. Jadi bila saya buat keputusan untuk memasak Ikan Siakap 3 Rasa, terpaksa lah saya sendiri yang memasaknya. Hmm hajat hati nak berehat sebelum solat Maghrib terpaksa dilupakan. Saya pun mula lah menengok resepi mana yang hendak digunakan. Samada mengikut entri saya sebelum ini di SINI dan SINI atau memasak Ikan Sweet Sour di SINI. Tetapi bila dilihat di blog Sajian Dapur Bonda di SINI,  nampak macam lebih ringkas dan mudah. Cuma hiris hiris dan tumis jer. Jadi saya pun terus salin resepi. Banyak bahan yang tak dimasukkan kerana tiada stok. Jadi saya masak main letak jer ikut apa yang ada di dapur. Tapi serious sangat sedap Ikan Masak 3 Rasa ini, lebih lebih lagi saya menggunakan ikan siakap yang sangat segar. Seronok melihat Hubby meratah kepala dan ekor ikan. Manakala Alain pula meratah bahagian perut ikan. Kiranya seekor ikan ini, sesuai untuk hidangan kami seramai 6 orang.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Sangat berbaloi memasaknya sendiri. Maklum kalau ikan seperti yang saya masak hari ini, harganya pasti tidak kurang dari RM70-80 jika dimakan di restoran atau kedai makan. Sangat menjimatkan jika dimasak sendiri lebih lebih lagi kalau ramai anak anak di rumah. Jadi tunggu apa lagi? Selamat mencuba semua....




Ikan Siakap Masak 3 Rasa

Untuk Ikan:
1 ekor ikan siakap - kelar dan lumur garam kunyit
Tepung jagung - dilumur pada ikan
Minyak - untuk menggoreng ikan

Bahan Menumis:
4 ulas bawang putih - ketuk
6 tangkai cili padi - dipotong kecil
1 inci halia - dihiris halus
1 batang serai - ketuk

Bahan Sos:
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan - tak letak
Sedikit minyak bijan - opsyenal

Bahan bahan Lain:
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 biji tomato - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala - dipotong dadu - opsyenal
Kiub nenas dalam tin - opsyenal
3-4 helai daun limau purut - buang tulang
Daun sup/daun bawang - untuk hiasan
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Ajino-moto secukup rasa

 
Cara cara:
Ikan dibersih dan ditoskan. Lumur dengan garam kunyit. Biarkan seketika. Bila hampir hendak digoreng, lumur dengan tepung jagung termasuk bahagian dalam perut ikan.




Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas, barulah dimasukkan ikan tadi. Goreng dengan minyak terendam ikan tersebut. Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan. Saya tidak goreng terendam kerana nak jimat minyak.

Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan bahan menumis iaitu bawang putih, halia, cili padi dan serai.  Setelah bawang putih kekuningan, masukkan bahan sos iaitu sos cili, sos tomato, sos tiram,  sos ikan dan 3 sudu jus nanas di dalam tin serta daun limau purut. Kacau sebentar.





Akhir sekali, dimasukkan bahan bahan lain iaitu bawang besar, tomato yang dipotong dadu, nenas dan cili benggala. Masukkan sedikit air. Sesuaikan rasa garam, gula dan ajinomoto secukup rasa.





Biarkan kuah mereneh seketika. Setelah kuah agak pekat berkilat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi.  Taburkan daun sup/daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.


 

Selamat mencuba....
 

Wednesday, 8 March 2017





Hari ini saya ingin kongsikan petikan dari tazkirah Zohor bab hadis pilihan oleh Ustaz Ibrahim Muhammad. Kita tidak maksum, jadi sering terjebak dalam dosa. Sebaik baik orang yang melakukan dosa ialah orang yang bertaubat. Di sisi Allah, orang yang bertaubat adalah seperti orang yang tak ada dosa. Apabila bertaubat, hendaklah kita melakukan 3 perkara;

1. Lakukan dengan hati. Iaitu mesti ada rasa menyesal. Bila terdetik rasa menyesal atas dosa lalu, itulah taubat. Jangan
 sesekali bangga dengan dosa yang telah dilakukan. Ianya tidak akan diampunkan oleh Allah. Setiap umat aku diampun kecuali orang yang bercerita dosa lama atau dosa baru. Cerita untuk berbangga. Kalau cerita untuk dijadikan pengajaran, lain. Allah dah sembunyi dosa kita. Kita pulak yang menghebahkan.

2. Lafaz dengan lidah. Hadis riwayat Abu Daud. Lafaz iatu Rasulullah mengajar supaya banyakkan beristighfar.

3. Mesti dizahir dengan perbuatan iaitu melakukan 3 perkara. Pertama, melazimi amalan soleh secara bersungguh sungguh. Kedua, mesti meninggalkan kawan kawan yang buruk agamanya. Jangan bergaul dengan orang yang fasik. Cari kawan yang beriman. Jangan bersahabat kecuali dengan orang beriman. Hadis riwayat Abu Daud, seseorang berada atas agama teman rapatnya. Teman rapat tak selesai di dunia tapi akan di bawa ke akhirat. Firman Allah, teman rapat pada hari itu sebahagian mereka menjadi musuh atas sebahagian yang lain kecuali orang yang bertaqwa apabila bersaksi di hadapan Allah. Ketiga, meninggalkan tempat yang menarik pada maksiat seperti tempat yang menjadikan kita laghaa. Contoh tempat hiburan, shopping dsb. Semoga perkongsian ini dapat memberi manafaat pada kita semua. Maklumlah kita semakin hari semakin berusia, pergerakan kita mula ketara terbatas. Ramai juga kawan kawan yang telah meninggal. Jadi kita guna masa yang ada untuk membuat sebanyaknya amalan dan kebaikan. 



Jom beralih pulak bab resepi. Ketika ke Pasar Taman Tun untuk mencari ikan tenggiri untuk dibuat sup fish ball, boleh klik di SINI. Seperti biasa, saya akan mencari sotong bertelur. Saya ditawarkan oleh penjual ikan di situ, sebungkus sotong kecil yang bertelur yang telah dipilih dan dibuang dakwat hitam. Kata beliau ianya untuk dibawa balik, untuk dimakan keluarga sendiri. Agaknya dia kesiankan saya yang nampak hampa bila diberitahu sotong bertelur telah habis. Itulah dia menawarkan sotong ini pada saya. Sotong ni kecil kecil jer saiznya. Sepanjang ibu jari sahaja. Kata penjual tu lagi, cuma letak garam kunyit dan goreng. Saya pun bersetuju dan terus membayar. Kebetulan Nana dan Alain ada di rumah, jadi saya terus memasak Sotong Goreng Kunyit untuk hidangan tengahari.

Saya sebenarnya seorang yang simple. Selera saya juga simple. Yang ringkas bahan bahannya lagi kena dan ngam dengan tekak saya. Agaknya dah terbiasa dengan masakan seperti ini sejak kecil. Kalau dulu dulu, arwah Bonda suka memasak goreng kunyit sahaja. Tak kiralah ayam, atau udang atau sotong. Semuanya goreng garam kunyit dan dicampakkan cili hidup dan bawang besar hiris. Tapi sedaap sangat.

Jom layan bahan yang saya gunakan. Ala ala pejam mata, dah siap gitew. Lagi pulak, sotong tak boleh dimasak lama kerana ianya akan menjadi liat... Hahaha resepi macam ni pun nak kongsi dalam blog ke? Tak apalah, anggaplah saya tak ada modal atau kekeringan idea. Lagi pulak, comel sangat sotong ni, tak pernah lagi makan sotong seperti ini. Di samping itu, saya nak selitkan bab tazkirah di atas tu. Jangan pandang kecil pada pahala yang kecil kan... Jangan juga pandang ringan pada dosa yang kecil, kerana ianya boleh membawa seseorang ke neraka.




Sotong Goreng Kunyit
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Sotong secukupnya
Serbuk kunyit
Garam
1 biji bawang besar Holland - hiris
1 tangkai cili merah - hiris

Cara cara:
Lumur garam dan serbuk kunyit pada sotong. Biarkan seketika. 

Panaskan minyak dan goreng sehingga agak masak dan terbit minyak.



Masukkan bawang besar dan cili yang telah dihiris. Kacau sehingga layu dan sedia untuk diangkat dan dihidangkan panas panas.

Sunday, 22 January 2017






Teringat waktu saya baru baru mula bekerja, setiap pagi saya akan berkejar untuk membeli nasi lemak yang dijual di atas van kecil di hadapan pagar bangunan pejabat saya. Namun saya selalu kehampaan bila lauk kesukaan saya iaitu kerang digoreng dengan kacang panjang selalu kehabisan. Walaupun dah hampir 30 tahun berlalu, saya masih teringat ingat akan kesedapannya.

Dari situ, saya mula mereka resepi sendiri. Bila memasak sayuran, yang penting jangan terlebih masak dan mesti adanya serbuk lada hitam. Seperti serbuk lada putih, serbuk lada hitam kegemaran saya juga adalah AJI-SHIO� black pepper. Saya sukakan perisa lada hitamnya yang sangat mantap dengan kandungan garam serta MSG. Ianya mengbangkitkan aroma kepedasan lada hitam yang boleh menambahkan kelazatan apa apa jenis masakan. Saya akan memasukkan serbuk lada hitam sebagai topping sebelum dipadamkan api.




Selain itu, kerang mestilah menggunakan kerang segar yang direbus sendiri. Rebus kerang tak perlu menggunakan air. Selepas kerang dibersihkan, masukkan kerang ke dalam kuali dan nyalakan api. Tutup kuali dan biarkan seketika sebelum dibuka penutup dan dikacau rata. Bila kerang dah terbuka, bolehlah padamkan api. Sedia untuk dikopek isinya. Kebersihan dan kesegaran isi kerang lebih terjamin jika disediakan sendiri.




Jom kita layan cara menyediakan Kerang Goreng Dengan Kacang Panjang. Bahan bahannya ringkas dan cepat disediakan. Sebagai wanita berkerjaya, saya suka sesuatu resepi yang ringkas tetapi sedap di makan. Meh layan resepinya di bawah ini. Selamat mencuba.



Kerang Goreng Kacang Panjang Dengan Serbuk Lada Hitam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/2 mangkuk isi kerang
Secekak kacang panjang
4 ulas bawang putih - hiris
1 tangkai cili merah - hiris
Serbuk lada hitam AJI-SHIO� black pepper secukupnya
Garam secukupnya

Cara cara:
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga kekuningan. Masukkan isi kerang dan kacau seketika.



Masukkan pula kacang panjang dan kacau rata sehingga kacang menjadi lembut. Nota: jangan terlebih masak, nanti hilang keranggupannya.
Masukkan serbuk lada hitam AJI-SHIO� black pepper dan garam secukup rasa. Akhir sekali, taburkan cili merah hiris. Sesuaikan rasa. Sedia untuk dihidangkan.





Wednesday, 11 January 2017





Telah lama saya tidak kongsikan petikan ilmu yang saya dapat dari kuliah zohor yang saya hadiri. Hari ini saya nak kongsikan sedikit petikan dari kuliah Ustaz Salehuddin Abdul Ghani mengenai ujian dan musibah. Tidak ada orang yang tidak ada masalah. Cuma yang berbeza ialah orang mukmin akan menerima ujian sebagai teguran dari Allah. Ada hikmah yang tersembunyi seperti antaranya ialah Allah hendak menghapuskan dosanya. Itu yang patut kita fikirkan bila ditimpa musibah. Para Nabi dan sahabat juga tidak ketinggalan diuji. Hendaklah kita redha dan sabar. Manakala orang tidak beriman bila ditimpa ujian akan melatah dan mudah berputus asa. Dosa orang mukmin akan dihapuskan dengan ujian, hatta sekecil ujian terkena duri. Dosa akan jatuh umpama daun daun yang jatuh berguguran. Musibah bagi orang mukmin adalah satu kebaikan. Hmm peringatan buat saya sendiri juga. Sekarang, kita masuk bab resepi pulak.

Sebenarnya saya jarang sekali memasak kerang. Mungkin sebab saya malas nak mengopek kerang. Hahaha.  Lagi pulak, harga kerang agak mahal sekilo RM10 dan dapat isinya tak sampai pun satu mangkuk. Yang lain juga kerana saya allergik dengan kerang atau apa apa makanan laut yang bercengkerang. Tapi anak saya, Aween memang peminat kerang. Kalau makan di mana mana restoran, pasti diminta kerang rebus atau kerang bakar. Berbeza pula dengan Nana yang memang tak makan kerang langsung.

Hari ini, saya nak kongsikan sikit yang kerang, kalau boleh jangan direbus. Nanti ia menjadi terlalu masak dan tak sedap. Sebaliknya selepas dibasuh bersih, terus masukkan ke dalam kuali. Tanpa air. Nyalakan api dan tutup kuali tadi. Selepas beberapa minit, buka penutup dan kacau rata. Setelah kerang mula terbuka, bolehlah padamkan api dan sedia untuk dikopek isinya. Kalau boleh, jangan beli isi kerang yang telah dikopek. Kita tak tahu kebersihannya. Ada ketika, ianya berbau hanyir.

Jom kita layan resepi dan cara saya menyediakan sambal kerang hari ini. Ingat nak memasak Rendang Kerang tapi terlalu sedikit isi kerang yang ada. Insya Allah lain kali...




Kerang Sambal Tumis
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 mangkuk isi kerang
2 sudu besar cili kisar
5-6 ulas bawang merah
3-4 ulas bawang putih
Gula
Garam
1/4 keping asam keping
1/2 biji bawang besar Holland - opsyenal

Cara cara:
Tumbuk bawang merah dan bawang putih. Panaskan minyak yang agak banyak supaya bahan tumis cepat garing. Tumis bawang seketika sebelum dimasukkan cili kisar.

Tumis cili kisar dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak. Setelah cili masak, masukkan gula. Kacau rata sebelum dimasukkan kerang.




Oleh kerana kerang telah masak, masakkan kerang seketika sahaja. Masukkan sedikit air dan garam. Kacau sehingga sambal pecah minyak.



Jika suka, boleh juga masukkan bawang besar yang telah dihiris. Kacau sehingga bawang layu, bolehlah tutup api.

Thursday, 5 January 2017






Harap belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017 kepada semua pembaca blog Azie Kitchen. Saya nak kongsikan resepi pertama di tahun baru ini dengan resepi yang sangat istimewa dan telah lama saya ingin menyediakannya. Tapi dek kesibukan masa untuk ke pasar Taman Tun Dr Ismail, ianya telah begitu lama tertangguh. Saya memang penggemar makanan ala Chinese seperti nasi goreng Chinese style dan sup terutama clear sup, ala ala Chinese style. Bahan yang sinonim dengan masakan Chinese style adalah serbuk lada putih. 

Saya masih ingat masakan pertama yang saya masak sewaktu berpindah ke rumah di USJ adalah nasi goreng China. Semua bahan dimasak main campak campak sahaja tapi memang sedap menjadikan ianya satu nostalgia hingga kini. Kalau tak silap, itulah kali pertama saya menggunakan serbuk lada putih di dalam menyediakan nasi goreng. Sebelum itu, memang tak pernah guna dan tak pernah melihat arwah Bonda menggunakannya dalam masakan.  Sejak itu, serbuk lada putih telah menjadi rempah bahan masakan yang wajib ada di dapur rumah kami. 

Hari ini meh saya nak tunjukkan cara menyediakan sup fish ball yang sangat sedap. Bahan wajib ada, ialah serbuk lada putih. Serbuk lada putih pilihan saya adalah dari keluaran AJI-SHIO� Pepper. Serbuk lada putih AJI-SHIO� Pepper mampu menjadikan masakan lebih enak kerana kandungan perisa tambahan garam dan MSG di dalamnya. Aroma serbuk lada putih lebih terasa. Saya menggunakan serbuk lada putih dengan pelbagai cara dalam masakan saya kerana saya amat menggemari rasanya. Antaranya ialah sebagai bahan perisa yang ditabur sebagai topping atas masakan seperti nasi goreng, boleh diguna dalam masakan bergoreng, dimasukkan dalam kuah sup dan juga sebagai bahan perapan atau marinade.

Untuk hari ini, saya menggunakannya sebagai bahan perapan dalam fish ball sendiri dan juga sebagai perisa di dalam kuah sup. Jika boleh kita guna fish ball yang dibuat sendiri menggunakan isi ikan segar seperti tenggiri atau ikan kembung yang saya tunjukkan dalam gambar gambar di bawah. Untuk melihat dengan lebih jelas, kenalah singgah ke Instagram Azie Kitchen kerana saya ada menyediakan video step by step. Kena tengok step hempas menghempas semasa menguli dan macam mana nak menjadikan fish ball kita lebih bouncy atau melantul. Ada cara nyer tau.  

Jom layan resepi Sup Bebola Ikan Azie Kitchen di bawah ini. Bagi menjimatkan masa, saya minta ikan tenggiri dipotong fillet. Cara yang saya tunjukkan di bawah adalah cara manual kerana saya tidak punya food processor. Jika anda menpunyainya, lagi cepat disiapkan. Cuma perlu digaul dan diuli sahaja. Selamat mencuba. 



Sup Bebola Ikan Azie Kitchen

Bahan Sup:
Bebola ikan secukupnya
1 sup bunjut/1 sudu besar serbuk sup
2-3 biji ubi kentang - potong kecil
Daun sup/daun bawang - hiris
6 - 8 ulas bawang merah - hiris nipis dan goreng garing hingga keperangan
Minyak jagung
Daun sup/daun bawang

Bahan Bebola Ikan:
2 ekor ikan tenggiri saiz sederhana - ambik isi 
1 sudu kecil garam 
1 sudu kecil serbuk lada putih AJI-SHIO�
1 sudu besar tepung jagung
Air secukupnya

Cara cara:
Potong ikan untuk mendapatkan 2 keping fillet. Dengan menggunakan sudu, kikis isi ikan yang masih melekat di tulang dan kulit ikan. Masukkan isi ikan ke dalam mangkuk. Masukkan garam ke dalam sedikit air dan ketepikan.
 
 



Letak semua isi ikan atas papan pemotong plastik. Dengan menggunakan belakang pisau pemotong yang besar, hancurkan isi ikan. Isi ikan akan menjadi melekat lekat apabila ianya dihancurkan. Jadi tuangkan sedikit demi sedikit air bercampur garam di atas tadi untuk menjadikan ianya kurang melekat.




Setelah isi ikan dihancurkan dengan rata, masukkan serbuk lada putih, garam dan tepung jagung. Gaul rata. Kepal semua isi ikan dan mula menguli dengan cara dihempas dan uli berulang ulang kali pada papan pemotong plastik. Inilah rahsia untuk menjadikan fishball yang bouncy atau memantul seperti bola. 




Setelah selesai, masukkan sedikit air sekadar untuk mencair tepung jagung. Tuang air tepung jagung ke atas isi ikan yang diuli tadi. Uli lagi sehingga rata dan menjadi lembut dan licin. Basahkan tangan dengan sedikit air dan lap di permukaan adunan tadi. Adunan akan menjadi licin dan berkilat.
 


Boleh dirasakan dahulu dengan mencubit adunan dan masukkan ke dalam air mendidih. Apabila ianya timbul di permukaan, angkat dan bolehlah di rasa terlebih dahulu. Jika kurang, tambahkan garam atau serbuk lada putih hingga secukup rasa.

Ambil 1 sudu besar adunan dan dibulat bulatkan. Sedia untuk dimasukkan dalam kuah sup.

Cara cara membuat Sup:
Masakkan air secukupnya dengan sup bunjut atau rempah sup serbuk. Masukkan ubi kentang dan bebola ikan. Masak sehingga kentang lembut dan bebola ikan masak iaitu bila ia timbul di permukaan. 

Sementara itu, panaskan minyak jagung dalam kuali dan tumis bawang merah dihiris sehingga keperangan. Tuang bawang goreng bersama minyaknya sekali ke dalam periuk sup. Akhir sekali, taburkan daun sup. Masukkan sedikit lagi serbuk lada putih AJI-SHIO� atau serbuk lada hitam AJI-SHIO� black pepper ke dalam kuah sup bagi menambah perisa sup. 
 


Sedia untuk diangkat dan dihidangkan panas panas. Sedap dimakan begitu sahaja atau boleh juga dimakan dengan nasi putih atau dimakan dengan mee hoon yang telah dicelur.