Berkali kali kita mendengar ungkapan, bila kita menyayangi Allah, Allah akan menyayangi dan menjaga kita. Tapi bila kita menyayangi manusia, suatu ketika kita akan disakiti. Namun kita jarang mengambil pengajaran dari ungkapan ini. Kita masih menyayangi manusia secara berlebihan. Begitu juga dengan saya. Walaupun hati dihancur dan dirobek berkali kali, kita masih tidak mahu mengambil iktibar. Saya percaya di sebalik apa sahaja ujian, pasti ada hikmahnya. Yang pasti, cinta, kasih dan sayang tidak boleh dipaksa. Kita tidak boleh memaksa diri sendiri untuk menyintai, juga meminta diri dicintai. Saya harus belajar menerima hakikat ini dan move on. Sepanjang hidup, saya merasakan mereka yang ikhlas menyayangi saya adalah kedua ibubapa. Mereka menyayangi diri ini tanpa syarat. Melangkaui dunia yang fana ini. Berlalu kisah di taman, bak mimpi diganggu siang, disebut diingat jangan, tak guna dikenang-kenang. Lagu nyanyian Allahyarhamah Datin Rafeah Buang yang sangat menusuk kalbu. Jika diberi peluang, saya ingin memulakan episod yang baru. Memulakan buku baru...
Bercakap mengenai resepi ini, pada saya inilah yang terbaik kerana ianya telah diolah berdasarkan percubaan demi percubaan dan gandingan bebrapa resepi. Boleh klik di SINI untuk melihat entri lepas yang menggunakan resepi yang sama. Seperti biasa, saya ada menyediakan video penyediaan ayam masak merah ini. Jadi selepas tengok video, boleh rujuk resepi di blog.
Jom kita layan resepi dulu. Resepi yang menjadi pilihan saya dan anak anak dalam menyediakan ayam masak merah...
Ayam Masak Merah
Bahan bahan:
1 ekor ayam - lumur garam kunyit
2 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar - hiris
2 batang serai - ketuk
1 mangkuk kecil sos cili jenama Kimball
2 sudu besar gula atau secukup rasa
1 sudu kecil garam
Minyak - untuk menumis
Bahan kisar:
25-30 tangkai cili kering - 5 sudu besar cili kisar
2 biji bawang besar - saiz besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia
Bahan lain - opsyenal:
1 biji bawang besar - hiris bulat
1 tin kecil kacang peas
1/4 tin susu cair
Daun ketumbar - tabur
Cara cara:
Ayam digoreng 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak yang banyak dan tumis bawang besar hiris, serai, kulit kayu manis, bunga lawang sehingga wangi. Masukkan bahan bahan kisar dan tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar garing dan pecah minyak.
Masukkan cili sos, garam, gula dan serbuk perasa. Masukkan juga sedikit air. Kacau rata dan biarkan ianya mendidih serta pecah minyak.
Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau rata sehingga ayam masak dan kuah pecah minyak. Masukkan susu cair, kacang peas dan bawang besar hiris bulat. Siap dan bolehlah ditutup api.
Tabur daun ketumbar sebagai hiasan, jika suka sebelum dihidangkan.
No comments:
Post a Comment