Responsive Ads Here

Wednesday, 15 February 2017

Masak Lemak Cili Padi Telur Itik Yang Sangat Sedap






Kalau ke bazar Ramadhan membeli juadah berbuka, pasti lauk masak lemak telur itik yang menambat selera saya. Beli sebiji pun cukup kerana yang lain semua tak berapa gemar makan telur itik. Saya memang pantang nampak telur itik masak lemak, memang akan pilih lauk ni tanpa jemu jemu. Sama gak dengan telur masin. Semua nya pantang tengok. Walaupun dah kenyang, tapi selera sentiasa terbuka.



Teringat zaman kanak kanak dulu, kedua ibubapa banyak membela ayam dan itik. Ada reban ayam dan reban itik di belakang rumah. Ya lah nasi yang tak habis atau hampas kelapa selepas diperah santan, dicampak dari jendela jer. Ayam itik datang berduyun duyun. Tak membazir lah. Bila malas buat kerja rumah, pernah saya masuk menyorok dalam reban ayam. Reban ayam siap ada bumbung, ada tangga dan pintu. Ada dinding kayu lagi. Semua hasil kerja tangan arwah ayahanda saya sendiri. Berbalik pada itik, yang paling seronok bab mengutip telur itik. Kadang kadang itik bertelur luar reban, kena pusing keliling cari telurnya. Telur telur ni selain digoreng, juga dibuat telur jeruk atau orang sini panggil telur masin. Masuk satu batch, ditanda pada telur dengan menggunakan arang kayu api. Masa tu, kami memasak menggunakan dapur kayu. Tiap petang, saya kena cari kayu api untuk dibuat bekalan pada hari hari hujan. Masuk telur batch kedua ditanda dengan tanda lain pula seperti pangkah untuk membezakan antara telur masin yang telah lama dengan yang baru dijeruk. Saya nak kongsikan petua untuk menjadikan telur masin kita lebih sedap dan gebu. Nak tahu taaak. Haa caranya ialah dengan menjemur dulu telur selama 1 hingga 2 hari sebelum dijeruk. Cuba jangan tak cuba. Lepas tu sharekan hasilnya dengan saya di sini. Bagi setiap 1 biji telur, gunakan 1 sudu besar garam kasar. Masak garam dengan air dan tuang dalam bekas telur. Biarkan selama 10 hari. Sedia untuk direbus dan dijadikan lauk. Boleh dikeluarkan telur masin dan simpan dalam peti ais. Atau jika suka, boleh rebus semua sekali dan simpan dalam peti ais. Nak makan, tinggal rendam dalam air panas jer. 

Bila stok telur itik banyak, arwah Bonda akan menggunakannya untuk dibuat kuih muih seperti kuih bahulu. Berbeza dengan telur ayam yang kebanyakannya telur akan diram. Ayam akan mengeram atas telur. Kelakar pulak bila ingat zaman dulu, selepas sahaja ayam bertelur, cepat cepat ambil telur yang masih panas dan digosok gosok ke muka. Konon petua nak bagi muka cantik. Entah dari mana dapat petua begitu. Saya memang suka mengintai ayam bertelur. Nampak dari mula hingga telur keluar dari bontot ayam. Hahaha memang itulah permainan anak kampung macam saya.

Jom layan resepi masak lemak telur itik yang semua orang pun pandai menyediakannya. Cuma sedikit tips bagi mereka yang baru berjinak jinak ke dapur. Masak lemak ni stail Negeri Sembilan. Memang sangat sedap, masak lemak telur itik ni sehingga saya makan menambah nambah. Kuahnya yang lemak dan pekat sedap bila digaul gaul dengan nasi putih panas panas. Fuh tak pandang kiri kanan. Kalau masak lemak biasa, saya suka letakkan sedikit bawang merah. Klik di SINI untuk resepi telur itik masak lemak kuning. Juga jangan lupa layan dan follow youtube Azie Kitchen channel untuk video masakan. Jom layan....




Masak Lemak Cili Padi Telur Itik

Bahan bahan:
4-6 biji telur itik
Segenggam cili padi - ikut pedas disukai
1 inci kunyit hidup
1 keping asam keping 
Sedikit garam
1 kotak santan kotak
1 helai daun kunyit - hiris halus

Cara cara:
Tumbuk cili padi dan kunyit hidup. Masak bahan tumbuk dengan air dan sedikit santan supaya jadi santan cair dan masak hingga mengelegak.

Pecahkan telur dalam mangkuk kecil. Masukkan telur itik satu persatu hingga telur agak mengeras sedikit sebelum dimasukkan yang lain. Pastikan telur dijarakkan antara satu dengan yang lain. Masak sehingga telur keras, baru boleh dikacau.



Bila telur masak, perlahankan api. Tuang pati santan atau santan pekat, masukkan sedikit garam dan asam keping.




Kacau seketika tapi jangan sampai mendidih, masukkan juga daun kunyit, jika suka. Kalau saya, tak ada daun kunyit, memang tak sempurnalah masak lemak telur itik. Bolehlah dipadamkan api. Saya suka menggaulkan nasi putih dengan kuah lemak yang agak pekat.


Nota:
Boleh juga direbus telur berasingan. Masakkan air dan tuang sedikit cuka. Bila air mendidih, tuangkan telur sebiji demi sebiji. Jika telur putih merebak, dengan menggunakan sudu, cedukkan telur putih ke arah telur kuning. Telur akan cantik bulat bulat dan tidak pecah. Lepas tu, masukkan telur yang telah masak ke dalam kuah lemak yang sedang mendidih di atas.

Sedap juga dimasukkan belimbing buluh dan daun asam gelugur.

No comments:

Post a Comment