Responsive Ads Here

Sunday, 12 March 2017

Rendang Ayam Cili Padi Nogori Yang Sedap




 


Sebelum kita berkongsi bab resepi, saya ingin kongsikan berkenaan cubaan pecah masuk rumah kami hari Sabtu malam Ahad yang lalu. Taktik penyamun sekarang bila masuk ke kawsan perumahan, akan memberitahu guard di security check point untuk pergi ke rumah VIP yang tinggal dalam kawasan tersebut. Mereka memandu kereta mewah Alphard yang dipandu oleh wanita yang wajah persis wanita dari negara Timur Tengah. Mereka juga melakukan cubaan ini dalam pukul 8.00 - 8.30 malam, bukan lagi pagi hari seperti dahulu. Kami bernasib baik kerana ada jiran jiran yang sangat prihatin antara satu sama lain. Jiran saya yang ketika itu sedang berbasikal bersama isteri beliau, melihat kereta diberhentikan di tepi rumah kami. Apabila jiran kami menghampiri, kereta tersebut dipandu dalam keadaan tergesa gesa dan tidak berhenti melihat kereta yang bergesel kuat dengan tepi jalan. Ianya menambah curiga jiran kami yang mula meninjau sekeliling dan ternampak ada kepala manusia di dalam longkang tepi dinding pagar kami. Jiran kami berpura pura tidak nampak dan berhenti agak jauh untuk terus memerhati dan melaporkan pada security. Penyamun tersebut kemudian melarikan bila melihat guard datang. Mereka bertiga bersenjatakan pisau dan memakai ski mask. Lemah menggigil lutut saya bila mendapat panggilan dari jiran. Saya ketika itu berada di Tropicana Medical Centre (TMC) melawat Dato Salehuddin yang menerima rawatan di situ. Hanya Boy dan Nelly sahaja yang ada di bilik masing masing ketika itu. Saya berkongsi pengalaman ini sebagai peringatan untuk kita semua supaya lebih berhati hati dengan taktik yang digunakan oleh manusia yang bertopengkan iblis ini. Setiap kali keluar dari rumah, saya akan membaca doa yang diajar oleh arwah Bonda iaitu, 

"Bismillahi tawakkaltu 'alallahi walaa haula walaa quwwata illa, billaahil aliyil adzhiim".
(Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya).
 
 
Barang siapa keluar dari rumahnya, lalu membaca zikir di atas, maka malaikat akan berkata kepadanya: �(sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta�ala), dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (dari semua keburukan)�, sehingga setan-setanpun tidak bisa mendekatinya, dan setan yang lain berkata kepada temannya: Bagaimana (mungkin) kamu bisa (mencelakakan) seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta�ala)?� 

Ada ketika saya akan membaca ayat kursi ketika melangkah dari pintu rumah ke pintu pagar sebelum masuk ke kereta. Sebenarnya tiada daya dan kekuatan untuk kita melainkan pertolongan Allah. Jadi saya menyerahkan semuanya pada Allah. Ustaz Ibrahim Muhammad berpesan juga supaya dibaca sebelum tidur 2 ayat (284-286) terakhir Surah Al Baqarah sebagai pendinding rumah di samping doa yang telah saya amalkan di atas. 

Keesokannya ketika pergi mengaji, kami singgah makan di gerai Kelantan sebelah kuaters Kastam Kelana Jaya. Memang dah lama kami tak bersarapan di situ, sejak kemaruk makan pulut dengan kelapa parut dan ikan masin di Restoran Jaya. Ternampak Kak Rokiah, tuan punya gerai yang menjual masakan Nogori yang saya belajar Rendang Cili Padi Nogori di SINI dan di SINI. Saya pergi menegur dan bersembang sembang berkenaan rendang yang diajar. Balik dari mengaji, kami bergegas ke Tropicana Medical Centre kerana YAB Dato Seri Azmin Ali Menteri Besar Selangor akan melawat Dato Salehuddin. Lama juga MB meluangkan masa di situ. Beliau ditemani oleh Setiausaha Politik beliau, CEO dan Pengarah TMC. Masa balik ke rumah saya teringat utnuk memasak Rendang Cili Padi Nogori kerana teringat ada stok ayam yang dah lama tersimpan. Lagi pulak rendang boleh disimpan lama di dalam freezer untuk dimakan oleh anak anak yang memang ada di rumah.




Saya memasak memang ikut gerak hati. Rasa nak tumis, saya tumis. Rasa nak masak bahan kisar terus dengan ayam pun boleh. Begitu juga bahan bahan. Ada kala saya hiris, ada ketika saya kisar semua sekali. Ada juga separuh hiris dan separuh dikisar. Semua ikut gerak hati waktu di dapur. Tiada satu kaedah yang tetap dalam menyediakan Rendang. Tapi saya biasanya suka menghiris sebahagian bawang bawang, jika tidak dalam keadaan tergesa gesa. Tapi hari ini kerana tergesa gesa untuk ke TMC semula, saya kisarkan sahaja semuanya.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Jika suka serdak rendang yang banyak, boleh tambah lagi kuantiti bahan yang digunakan. Tambahkan juga santan. Memasak bukan seperti membuat kuih muih, boleh juga ditambah dan dikurangkan bahan. Jika rasa kurang kerisik, tambah kerisik, rasa kurang masin tambah garam. Begitulah umpamanya.





Rendang Cili Padi Nogori
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam
1 - 1 1/2 kotak santan kotak
2 - 4 batang serai - ketuk
2 sudu besar cili kering kisar - opsyenal untuk cantikkan warna supaya kemerahan
1 keping asam keping
4 keping daun limau purut - opsyenal. Saya letak sebab guna serai 2 sahaja
1 sudu besar kerisik
Garam
Gula
Sedikit serbuk kunyit - jika perlu
Minyak untuk menumis

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
7-10 tangkai cili padi kampung -  boleh tambah
4 hirisan nipis lengkuas

Cara cara:
Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumis bahan kisar, serai dan cili kisar hingga air agak kering sedikit. Masukkan ayam dan masak sehingga ayam kecut.

 

 

Masukkan santan dan air secukupnya. Bila mendidih masukkan asam keping, gula dan garam. Bila hampir terbit minyak, masukkan kerisik. Jika masuk daun limau purut, boleh masukkan ketika ini. Saya memang suka rasa dan bau daun limau purut. Atau boleh juga masukkan daun kunyit.




Masak sehingga rendang hampir kering dan terbit minyak. Bolehlah ditutup api. Sedia untuk dinikmati.


 


No comments:

Post a Comment