Responsive Ads Here

Sunday, 26 March 2017

Cucur Kentang Rangup Luar dan Lembut Di Dalam Yang Sedap





 
Secara jujurnya, sepanjang hari minggu yang lalu, emosi saya sangat terganggu. Berita yang dibaca dari facebook sahabat baik saya bagai menyentap menghiris hati dan perasaan ini. Saya cepat cepat menelefon dia yang sedang berada di Langkawi kerana program LIMA juga business keluarga di sana. Saya melihat beliau seorang periang dan punya segalanya dalam hidup. VIP yang hidup mewah, punya perniagaan yang bagus dan cantik pula. Saya juga envy melihat hidup beliau yang sentiasa membahagiakan kawan kawan. Walaupun beliau tidak dapat hadir di resepsi majlis perkahwinan Nana, kerana bercuti di luar negara, tapi awal awal lagi beliau telah menitip kiriman buat kami sekeluarga. Saya sangat terkejut dan kaku seketika, tiada kata yang mampu diucapkan. Suami yang dikahwini berpuluh tahun lama nya, didapati telah curang. Walaupun bersumpah bagai, namun lelaki curang akan tetap berbohong sehingga segalanya terbongkar. Beliau telah sebulat hati ingin hidup sendiri dan membuang title Datin yang dipegang selama ini. Saya tidak berniat untuk menyinggung sesiapa. Ianya adalah pendapat peribadi saya sendiri yang mungkin berbeza dengan orang lain. Saya tidak anti-poligami tapi saya benci dengan lelaki yang berpoligami tidak mengikut cara caranya seperti yang dilakukan Rasulullah. Sirah Rasulullah tentang kenapa Rasulullah berkahwin ramai pun tak tahu, tapi tahu pula untuk mengikut sunnah Rasulullah. Erti mampu dan erti berlaku adil ditafsirkan sewenang wenangnya. Saya juga tidak suka perempuan yang mendekati suami orang melebihi batas. Saya tidak sesekali sanggup untuk bermadu. Andai suami menpunyai pilihan lain, saya haruslah dilepaskan atau saya sendiri mencari jalan keluar. Saya percaya masih ada kehidupan yang lebih baik, andainya ini berlaku. Saya percaya pada rahmat dan kasih sayang Allah. Perempuan di luar sana, jangan sesekali membuat alasan untuk "bersembang kosong" di WhatsApp dengan suami saya atas apa jua alasan selain urusan kerja. Cerminkan diri sendiri andai anda lebih baik dari saya. Jika tidak, lupakan sahaja. Di sebalik kelembutan, saya adalah seorang yang tegas dan boleh melakukan sesuatu yang pasti anda tidak suka selamanya. Nasihat saya, perempuan mesti berduit dan berharta atas nama sendiri supaya mampu hidup berdikari andai panas tidak sampai ke petang. Pastikan payung sentiasa tersedia di tangan. Saya mohon maaf andai tulisan saya ini tidak dipersetujui. Ianya adalah pendapat peribadi saya yang mungkin berbeza dengan anda.... 

 

 


Lama betul saya tidak menyediakan cucur udang atau cucur ikan bilis untuk hidangan petang. Tiba tiba teringin nak makan cucur bilis tapi di saat akhir, saya tukar dari cucur bilis ke cucur kentang. Cucur yang sedap ialah cucur yang rangup di luar dan lembut di dalam. Antara kaedah untuk menyediakan cucur yang kekal lembut walaupun setelah sejuk adalah dengan memasukkan 1 biji telur, atau menggunakan air panas atau memasukkan 1 sudu kecil minyak masak panas. Ini adalah antara petua untuk bagi menjadikan cucur rangup dan lembut biar pun setelah sejuk. Selain kentang, boleh juga digantikan dengan jagung manis. Hari ini saya dah terlebih rajin kerana saya juga menyediakan Sambal Cuka untuk pencicah Cucur Kentang saya. Hubby kata Sambal Cuka saya tidak pedas, jadi dia tetap mencicah dengan Sos Cili Thai. Kalau mahu pedas, bolehlah letak 1 atau 2 tangkai cili padi. Tapi pada saya, Sambal Cuka itu sudah cukup sedap.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Jangan lupa singgah di Instagram Azie Kitchen untuk video dan juga youtube Azie Kitchen channel untuk video yang lebih panjang.


 
Cucur Kentang Sedap

Bahan-bahan:
250 gram tepung gandum
3 biji bawang merah - dimayang halus
1 biji ubi kentang - kupas dan potong dadu kecil 
Secekak daun kucai - potong pendek
1/2 sudu kecil garam
Secubit gula
1 biji telur
200 ml air - lebih kurang
Sedikit air panas
Minyak untuk menggoreng

Cara cara:
Satukan tepung gandum dengan daun kucai, kentang, gula dan garam. 




Gaul sebati dan masukkan air sedikit demi sedikit dan sebiji telur. Kacau adunan sehingga rata. 




Masukkan sedikit air panas dan kacau adunan. Jangan kacau terlalu sebati supaya tepung tidak tepu. 

Panaskan minyak dan pastikan ianya betul betul panas sebelum digoreng cucur sehingga garing. Jika mahu cantik, gunakan jari untuk masukkan adunan dalam kuali. Jika tidak, boleh juga gunakan sudu. 



Sambal Cuka
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 -3 ulas bawang putih 
2 tangkai cili merah 
1/2 sudu besar garam
2 sudu besar cuka 
1 sudu besar gula - boleh tambah

Cara cara:
Hiris bawang putih dan cili merah sebelum ditumbuk bersama garam sehingga lumat. Masukkan gula dan cuka. 
 



Tekan-tekankan dengan lesung batu supaya kesemua bahan bergaul sebati. Perasakan dan bolehlah dihidangkan.


 

No comments:

Post a Comment