Responsive Ads Here

Monday 3 October 2016

Ikan Bilis Goreng Dengan Petai Yang Sangat Sedap






Sambil meng hapdet blog saya melayan halwa telinga dengan mendengar lagu lagu nyanyian Allahyarhamah Datin Rafeah Buang dengan lagu Hatiku Kau Curi dan Sejak Kau Kembali serta lagu Sanisah Huri, Sejak ku Bertemu Pada Mu. 


"Aku sangka kan riang, bila kekasih pulang, 
tetapi kini engkau kembali, ku berjauh hati. 
Alangkah baiknya jika kita tak berjumpa. 
Ku tak sakit hati dan engkau pun tak membenci". 

Ada lagu suka dan ada lagu duka. Maknanya kisah hidup saya tidak semuanya suka. Ada ketika ianya tidak mengembirakan. Itu semua memang lumrah hidup. Namun saya bersyukur dengan segala yang Allah kurniakan selama ini. Berbalik pada lagu lagu pula, setiap bait bait lagu yang saya gemari menpunyai kisah di satu saat dan ketika dalam hidup saya. Saya memang seorang yang jiwang jiwang. Bila dengar lagu lagu sedih seperti Kad Ucapan Mu nyanyian Norshila Amin, boleh sebak syahdu sehingga kini. Pejam celik, tidak lama lagi masuk 29 tahun usia perkahwinan kami tapi terasa seperti baru sahaja. Dah usia usia begini, rasanya bertambah sayang dengan Encik Hubby. Ya lah siapa tak sayang suami kan? Kami telah sama sama memperbaharui azam untuk menghangatkan kembali kasih sayang, memperbaiki hubungan, menambahkan perkongsian dan perbualan mesra. Tidak dinafikan ada ketika perhubungan menjadi sangat dingin bila masing masing sibuk dengan urusan kerja dan bila tiba di rumah, masing masing berehat dengan cara tersendiri. Hubby suka menonton televisyen di ruang tamu, sedang saya suka mendengar kuliah agama di youtube di bilik tidur sambil melayan Instagram. Di sebalik kedinginan, pasti ada yang cuba mengambil kesempatan untuk mendekati. Jadi seorang isteri mestilah alert dan peka kepada sebarang perubahan. Jangan biarkan ianya terjadi dan kena mempertahankan rumahtangga yang telah dibina. Maklumlah zaman sekarang ni, pelbagai dugaan yang ada. Baca kisah yang dikongsi oleh Dr Rubiah di SINI kerana  ianya boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Begitu pantas masa berlalu kerana tidak lama lagi anakanda kami pula akan memulakan hidup baru. Semoga dia juga akan dijaga seperti mana Encik Hubby menjaga saya selama ini. Hubby berjanji untuk bersama dan menjaga saya sehingga ke akhir hayat. Insya Allah Aamiin. 

Masuk bab resepi pula. Untuk membuat ikan bilis goreng seperti ini perlu menggunakan ikan bilis yang berkualiti, barulah sedap. Ikan bilis yang saya gunakan hari ini dibeli di Pasar pagi Kg Melayu Sri Kundang semasa dalam perjalanan balik dari bersarapan lontong. Harga RM6.50 untuk 100 gram. Beli sekali petai yang memang bersaiz kecil. Petai belalang ke apa namanya. Saya singgah di pasar minggu ini untuk mencari telur ayam pencen untuk dibuat Rendang Kacang Panjang dengan Isi Perut Ayam Nismilan. Boleh klik di SINI. Perut ayam di sini merujuk kepada hati, hempedal, telur yang masih dalam perut serta kantung atau sarung telur yang sedap ala ala perut muda lembu. Memang sedap. Nak tahu macam mana sedap nyer, kenalah cuba memasaknya sendiri. Jangan lupa menonton video di Instagram Azie Kitchen. 








Jom layan resepi mudah tetapi sangat sedap ini. Sedap di ratah ratah begitu sahaja pun. Walaupun pedas, tapi sedap dimakan begitu sahaja atau dengan nasi putih panas panas... Gaul gaulkan sambal dengan nasi putih. Hmm sedap sangat...



 
Ikan Bilis Goreng Petai
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis - goreng garing
Petai - goreng 
Air asam jawa pekat
Garam 
Gula - opsyenal

Bahan tumbuk;
8-10 tangkai cili padi
2 ulas bawang putih 
Sedikit belacan

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan air asam jawa pekat dan kacau lagi. 





Bila telah kering, tutup api. Kemudian baru masukkan ikan bilis dan  petai. Kacau rata dan dah siap. 

No comments:

Post a Comment