Responsive Ads Here

Thursday 27 April 2017






Satu kelemahan saya dari dulu hingga sekarang ialah tidak dapat membuat keputusan sendiri dalam bab berfesyen. Saya perlukan input dari orang lain. Itu sebab bila ke Jakel, saya perlukan sales assistant yang boleh memberi input akan sesuatu design atau corak. Saya akan mendengar apa yang diperkatakan sehingga ianya dapat menyakinkan saya akan sesuatu pilihan. Kakak saya, Cikgu Asiah yang baru bersara awal baru baru ini memang sejak zaman remaja seorang yang anggun dalam berfesyen. Kakak saya memang sangat cantik semasa remaja, malahan sehingga kini masih terserlah keanggunannya. Menpunyai citarasa tinggi. Dia adalah idola saya di mana dalam segala segi saya ingin mengikutnya. Sehingga set pinggan pertama saya juga adalah mengikut corak set pinggan Arcopal di rumah kakak. Baju baju dia pantang ada di rumah, sayalah yang akan mengebasnya. Seronok bila dapat bergaya dengan baju kakak. Semasa mendaftar masuk ke universiti, beberapa helai baju kakak juga saya rembat sebagai pakaian saya ke kuliah. Bukan sahaja pakaian tetapi bab rambut, dia yang memotong sendiri rambut saya menyebabkan saya tidak reti untuk memilih fesyen rambut sendiri.

Kakak saya juga sangat pandai di sekolah, aktif bersukan dan pandai memasak. Minat memasak dalam diri saya pun dipupuk secara tidak langsung apabila biasa menemani dia mencuba pelbagai resepi masakan dan kuih muih. Masih ingat lagi dia menyediakan sejenis kuih Raya yang sangat femes di Bukit Piatu Melaka. Ketika itu, dia belajar di Sekolah Menengah Teknik di sana. Katanya masyarakat di sana berlumba lumba untuk menghasilkan kuih yang dicanai nipis. Sejak dari Tingkatan Satu, beliau telah memasuki sekolah aliran Inggeris berasrama Sekolah Menengah Zainab yang merupakan sekolah elit di Kelantan untuk pelajar perempuan. Dialah kebanggaan dan kesayangan kami sekeluarga. Berbalik pada fesyen, sehingga kini saya mengakui yang saya tidak menpunyai citarasa sendiri dalam berfesyen. Taste yang ada pada kakak saya kini ada pada Nellisa, anak saya yang kedua di mana beliau yang memilih corak dan rekaan pakaian saya. Apa yang lihat tidak cantik pada mulanya, tapi bila dipilih oleh beliau, saya akan melihat keunikannya. Saya cuma tahu mahukan sesuatu yang berkualiti tinggi yang dilihat dari harga yang mahal. Sedangkan kakak saya memilih yang cantik dengan harga murah. Amat ketara berbeza dengan saya. Jadi kakak saya bila bershopping, akan menghabiskan masa yang lama dan terkenal di kalangan keluarga kami. Pendek kata penat betis kalau mengikut dia bershopping. Cukup setakat ini kisah kakak saya. Sekarang kita masuk sedikit bab masakan.

Hari ini saya mahu kongsikan Sup Daging yang disedikan Nana. Selain sup daging, kami juga memasak Ikan Siakap 3 Rasa yang sangat mudah dan sedap. Boleh klik di SINI. Sup seperti ini sedap juga menggunakan ayam tapi kalau ayam, tak perlulah dimasak dalam pressure cooker. Hahaha ini pesanan untuk anak anak yang baru belajar memasak lah. Nana pandai merasa masakan menyebabkan apa yang disediakan sedap dan secukup rasa. Kelebihan ini, tidak ramai yang miliki. Kadang kadang kena rasa berulang kali bagi menentukan samada sudah cukup asam garam sesuatu masakan.

Jom layan resepi yang mudah tapi sangat membangkitkan selera terutama di kala badan tidak berapa sihat. Saya dijangkiti virus influenza yang menyebabkan saya demam dan tidak sihat agak lama. Menurut doktor, ianya boleh memakan masa sehingga 6 minggu mengikut ketahanan badan masing masing. Jadi bila dapat menghirup kuah sup seperti ini, memang nyaman sekali rasanya.





Sup Daging
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Daging
1-2 biji ubi kentang - potong kecil
1 batang karot
Daun sup
Bawang goreng
Limau kasturi
Garam
Ajino-moto

Bahan Penumis:
5 ulas bawang merah - tumbuk kasar
3 ulas bawang putih - tumbuk kasar
1 inci halia - tumbuk kasar
1 sup bunjut
Kulit kayu manis, bunga lawang

Cara cara:
Rebus daging menggunakan pressure cooker.

Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis semua bahan tumis sehingga wangi. Masukkan sedikit air dan kemudian masukkan ubi kentang dan karot. Masak sehingga ubi kentang lembut.

Setelah daging empuk, tuang bahan yang ditumis ke dalam daging yang direbus. Masukkan garam, sedikit ajino-moto dan sesuaikan rasa.

Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng, daun sup serta sedikit air limau kasturi.


Saturday 22 April 2017





Setiap biasa setiap kali menjelang hari jadi kami dan anak anak, kami hanya meraikan secara simple dengan keluar makan malam di restoran pilihan sahaja. Tiada hadiah mahu pun percutian, saya lebih selesa dengan sesuatu yang simple tetapi diraikan bersama keluarga yang saya sayangi. Jadi hari jadi saya tahun ini juga sama, hanya diraikan dengan suami dan anak anak sahaja dengan makan malam.  



Tahun ini kami telah menpunyai menantu, jadi harijadi saya kali ini turut disertai oleh anggota baru dalam keluarga kami. Juita dan Nelly sahaja tidak ada kerana masing masing berada di luar kawasan. Yang ada di rumah sekarang ialah Boy, Aween, Nana dan Alain. Nana setiap hujung minggu akan mengunjungi rumah mertua beliau di Putra Jaya.




Restoran pilihan saya ialah Tony Romas kerana saya suka Baked Salmon dan juga Beef Ribs. Tapi malam tadi Boy telah memesan untuk saya Lamb Ribs dan salmon. Birthday girl dapat pula hadiah dessert dari Tony Romas. 




Memang sedap tetapi seperti biasalah usia seperti saya ini, walau sedap macam mana sekali pun, hanya mampu makan sedikit sahaja. Sekadar merasa. Anak saya yang lain memesan Chicken Tender, Beef Ribs dan Hubby memilih burger.



Thursday 20 April 2017





Saya memang penggemar tegar telur masin terutama bahagian telur kuning. Adoi bahagian yang memang tinggi kolesterolnya. Jika makan di hotel, saya akan ke bahagian poridge yang diletakkan telur masin sebagai lauk untuk nasi air. Sejak kecil memang keluarga saya menyediakan sendiri telur masin menggunakan telur yang dikutip segar dari reban itik belakang rumah. Kami menggunakan bekas kaca besar untuk membuat telur masin. Telur dimasuk berperingkat peringkat bagi memastikan telur tidak masin secara serentak. Setiap batch telur ditandakan dengan tanda berbeza. Zaman dulu, saya guna arang untuk menanda pada telur. Bila pindah ke KL, saya pernah juga menyediakan telur masin sendiri menggunakan telur yang dibekalkan kakak dari kampung.  







Zaman dulu, saya jarang merebus telur masin. Bila nak makan telur masin, saya akan basuh dan masukkan dalam periuk nasi ketika airnya hampir kering. Maklum ketika itu, masak nasi secara manual menggunakan dapur kayu. Tapi sekarang dah guna periuk elektrik, boleh jer telur dimasukkan terus sewaktu memasak nasi. Saya juga ada baca petua, yang telur masin boleh direbus sekali gus dan disimpan dalam peti ais. Bila nak makan, rendamkan seketika dalam air panas. Atau boleh juga telur masin yang belum direbus disimpan dalam peti ais. Ianya dapat mengelak telur kita menjadi terlebih masin jika dibiar lama terendam dalam air garam. 

Jom layan cara saya menyediakan telur masin. Ianya menggunakan telur itik segar yang saya beli dari Restoran Mabiq di SINI.




Telur Masin Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 biji telur itik - bersihkan
5 sudu besar garam kasar - 1 sudu bagi setiap biji telur
1 liter air atau secukupnya

Cara cara:
Masak garam dengan air sehingga garam hancur dan biarkan ianya sejuk. Setelah sejuk, dituang air garam ke dalam bekas yang telah dimasukkan telur sehingga telur tenggelam. Biarkan selama 10 hari, telur masin sedia untuk digunakan. 

Nota:
Bagi setiap 1 biji guna 1 sudu besar garam kasar. 

Jemur dulu telur dalam 1-2 hari supaya telur masin yang terhasil lebih sedap dan gebu. 

Jika ingin memasukkan telur itik yang baru dalam bekas tersebut, tandakan telur yang baru seperti tanda X bagi menandakan batch telur yang kedua. Petua ini hanya jika menggunakan bekas yang sama. 






Tuesday 18 April 2017






Sebenarnya hari ini adalah hari jadi saya. Telah setahun lagi usia meningkat. Walaupun kita biasa mendengar yang umur hanyalah sekadar angka, tapi saya melihatnya sebagai baki umur yang kian pendek. Semoga Allah menunjukkan saya dan kita semua petunjuk dan hidayahNya. Berbalik pada hari jadi saya, memang sangat terharu dengan ingatan rakan rakan pejabat khasnya Radzuan yang kami panggil dengan Wan kerana telah membelikan kek sempena hari jadi saya. Beliau memang sangat prihatin dan selalu cuba mengembirakan hati kawan kawan. Itu sebab Wan disenangi oleh ramai rakan sepejabat. Terima kasih tidak terhingga. Malam tadi, Hubby juga membuat kejutan dengan memberikan hadiah brooch yang sangat cantik. Sebetulnya telah agak lama kami tidak mengamalkan pemberian hadiah. Sekadar ucapan hari jadi dan keesokannya, keluar makan malam dengan semua anak anak. Itulah sampai saya bertanya siapa yang beri hadiah ini. Yang sebetulnya saya pun terlupa akan hari jadi sendiri.






Sebelum masuk bab resepi, jom kita baca tazkirah Zohor Ustaz Najhan kitab Ayyuhal Walad iaitu Nasihat Imam Ghazali ke 20 iaitu Ikhlas. Apa erti ikhlas? Ikhlas ialah segala amalan mu hanya untuk Allah. Dan hati tak rasa senang bila menerima pujian dan tak terkesan dengan kecaman mereka. Perbetulkan hati kita kerana hati tempat pandangan Allah pada seseorang. Allah hanya pandang hati manusia. Bukan jasad dan anggota badan manusia. Kena kukuhkan hati iaitu dasar hati. Dasar yang betul dan jernih. Ikhlas ialah bila engkau jadikan semua amalan mu hanya untuk Allah. Khasnya ibadah. Hati engkau tak terasa apa apa bila dipuji atau dicela. Hati tak terkesan dengan apa apa pujian atau celaan manusia. Malahan kita tak suka orang puji. Dan tak rasa hina atau kecil hati bila dicerca. Bila kita tahu samada kita buat sesuatu untuk Allah? Ianya bila kita dapat respon dari orang lain. Ketika itulah, kita akan tahu keikhlasan kita yang sebenar.

Sekarang kita ubah ke topik masakan pula. Saya teringat yang sekarang ini tengah bulan penuh atau bulan mengambang. Jadi ketam akan berisi padat. Sempat lagi pesan supaya hanya membeli ketam betina. Ketam betina mempunyai bentuk seperti tiga segi bawah perut yang agak lebar. Jom layan resepi Masak Lemak Ketam saya pada hari ini. Masak Lemak mesti berkuah pekat, barulah sedap. 



Masak Lemak Cili Padi Ketam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 ekor ketam betina
6 tangkai cili padi kampung
2 inci kunyit hidup
Garam
Daun kunyit - hiris
1 kotak santan kotak

Cara cara:
Cili padi dan kunyit dihiris kecil dan ditumbuk lumat. Masukkan garam untuk memudahkan bahan tumbuk menjadi lumat.




Masukkan bahan tumbuk dalam kuali dan nyalakan api. Dikacau seketika sebelum dimasukkan santan dan air bagi menjadikan santan cair. Bila santan hampir mendidih, masukkan ketam.




Setelah ketam masak, masukkan pula santan pekat. Akhir sekali, masukkan daun kunyit.




Nota:
Untuk masakan udang atau ketam, saya tak letak asam keping.




Thursday 13 April 2017




Tazkirah Zohor Ustaz Najhan kitab Ayyuhal Walad iaitu Nasihat Imam Ghazali ke 19. Makna tawakkal. Bahawa engkau memantapkan iktikad dan janji Allah bahawa apa yang ditakdir atas kamu pasti akan sampai pada kamu walaupun seluruh makhluk berusaha menghalangnya. Jika ia bukan ditakdir untuk kamu, nescaya tak akan sampai walaupun seluruh makhluk mahu menyampaikannya pada engkau. Apakah yang dijelaskan dari maksud tawakkal. Maksud lain adalah bergantung pada Allah. Penyerahan diri pada Allah. Penyerahan diri adalah kewajipan setiap orang beriman. Adanya tanggungjawab dan musabab yang kita kena buat. Kena berdoa pada Allah. Kita kena serah diri pada pentadbir alam ini yang bijaksana. Peranan kita sebagai makhluk, ada peranan dan usaha yang kena buat. Bukan sekadar bertawakkal sahaja. Ada juga musabab seperti penyempuhan dari sakit adalah ubat, rezeki musabab adalah usaha. Allah telah nyata dalam Al Quran sifat orang beriman ialah orang bertawakkal. Bukan bawah kuasa kudrat kita tapi semuanya termasuk diri kita adalah di atas pentadbiran Allah. Semua dalam pengetahuan Allah. Orang bertawakkal amat dikasihi Allah. Semuanya bergantung pada Allah. Kudrat dan keupayaan kita terbatas. Allah jua yang mengatur segala sesuatu. Jadi kita kena kukuhkan akidah kita akan segala janji Allah. Segala janji Allah disebalik usaha manusia, dijanjikan akan dapat apa yang dia usahakan atau akan dapat apa yang didoakan. Sifat tawakkal adalah sifat hati. Segala apa yang ditakdir oleh Allah pasti sampai pada mu walaupun seluruh makhluk cuba menghalang. Begitu juga sebaliknya. Takdir Qada dan Qadar Allah adalah benda yang rahsia. Kena yakin perkara ini walaupun kita tak tahu Qada dan Qadar kita. Kena ada iktikad yang betul. Itu sifat iman kita.

 
Kalau Allah telah tentukan, tak akan mampu dihalang. Contoh rezeki. Semua orang ada rezeki masing masing samada sikit atau banyak. Ada dapat cepat dan ada dapat lambat. Semua ada walaupun berbeza. Burung pun diberi rezeki bila keluar dari sarang dengan perut kosong walaupun burung tak ada akal. Semua telah ditentukan Allah. Burung balik dengan perut kenyang. Itu janji Allah semua orang ada rezeki. Kalau Allah tak izin, kita tak akan dapat walaupun usaha macam mana sekali pun. Ini sifat tawakal sebenar yang patut ada. Tawakal adalah penyempurna sifat iman kita. Jangan rosak iman dan akidah, kerana hidup kita tak akan ada nilai jika iman kita rosak. Contoh yang merosakkan iman ialah dengan berkata semua yang aku dapat adalah kerana usaha aku. Atau bertawakal semata mata tanpa berusaha.  Cukup di sini sahaja dan semoga ianya memberi manafaat pada kita semua. Sekarang kita masuk sedikit coretan bab masakan hari ini.
 
Ini adalah entri lama yang saya sediakan ketika saya mengambil cuti setengah hari untuk menghantar Aween ke majlis orientasi di KDU bagi pengajian A Level. Tapi oleh kerana pda hari yang sama, Aween menpunyai ujian memandu, kami terpaksa on stand by. Sementara menunggu Aween selesai ujian memandu, kami balik ke rumah dahulu. Bila teringat dalam peti masih ada secekak lagi daun kucai lebih dari memasak Cucur Kentang baru baru ini di SINI, saya terus ke dapur untuk menyediakan bahan bahan membuat Cucur Bilis. Jika tak segera digunakan, daun kucai akan rosak dan terbuang begitu sahaja. Aween selesai ujian dah petang, jadi kami tidak sempat untuk pergi ke program orientasi. Aween terus mendaftar selepas taklimat ringkas dan memulakan pengajian pada keesokannya. Selamat memulakan pengajian buat Aween. Semoga menjadi anak yang soleh berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin.
 
 

 
 
Ikan bilis boleh digoreng seketika atau boleh juga ditumbuk kasar. Tapi ikan bilis yang saya gunakan agak lembut, jadi saya tak buat apa apa. Hanya basuh dan terus masuk ke dalam adunan. Kalau biasanya, saya meletakkan sedikit baking powder tapi hari ini saya menggantikannya dengan soda bikarbanat selepas membaca cadangan dari seorang blogger. Saya memang suka mencuba tips dan petua yang dikongsikan dalam apa apa jua berkaitan dengan masakan. Biarlah kita berilmu dalam masakan yang boleh kita panjangkan pula untuk manafaat orang lain. Kalau diperhatikan gambar, saya suka membuat kuih cucur yang sedikit lonjong dari yang berbentuk bulat, jadi lebih garing sedikit.  Hahaha suka yang garing garing gituu...

Jika ingin melihat entri sebelum cucur bilis saya sebelum ini, boleh klik di SINI  dan juga di SINI.  Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Walaupun dah sejuk, masih lagi lembut. Hari ini cucur bilis hanya dicicah dengan sos cili sahaja. Jangan lupa melihat video di Instagram Azie Kitchen ya...




Cucur Ikan Bilis Lembut

Bahan bahan:
2 cawan tepung gandum
Segenggam ikan bilis - belah 2 kalau besar
1 ikat daun kucai - potong pendek
3/4 cawan bawang besar Holland - potong dadu
1 biji cili merah dipotong kecil - tak letak
1/4 sudu kecil soda bikarbanat
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Secubit serbuk kunyit
1/2 cawan air panas mendidih
1 1/2 cawan air biasa - lebih kurang 250 ml

Cara cara:
Satukan kesemua bahan di atas kecuali air. Kacau rata. Tuangkan air sedikit demi sedikit ke dalam adunan sehingga mencapai kelikatan yang sesuai. Tak perlu dihabiskan air jika telah sesuai kelikatannya. 

Jika terlebih cair, tambahkan 1/2 cawan tepung gandum sedikit demi sedikit. Tuangkan air panas. Biarkan seketika supaya soda bikabanat naik. 



Panaskan minyak dan setelah minyak benar benar panas, goreng dengan api sederhana sehingga kekuningan.  Angkat dan tos.



Sedap dimakan panas panas. Cicah dengan sos cili atau mayonis atau apa apa yang disukai.


Wednesday 12 April 2017




Jika ditanya manakah tempat yang saya ingin pergi bercuti, pasti saya tak menpunyai jawapan. Sebabnya kerana saya terasa ingin bercuti tapi dalam masa yang sama malas dan tak ada hati untuk bercuti. Apa yang saya inginkan sekarang adalah rehat. Saya ingin berehat dengan dapat berbaring baring pukul 9.00 pagi, baring lagi pukul 2.30 petang. Saya pun tak tahu kenapa saya dilanda penyakit seperti ini. Penyakit tak ada semangat. Seronok jer tengok kawan kawan bercuti luar dan dalam negara tapi saya rasa macam malas kalau sekadar pergi melihat lihat pemandangan indah . Saya ingin apa pun sebenarnya, saya sendiri pun tak tahu. Pelik. Saya suka bershopping tapi nak pergi shopping pun tak ada hati juga. Tengok semua baju, tak ada yang berkenan. Beli handbag baru tapi nak bawa pun tak ada hati juga. Bawa jer handbag yang dah buruk tu ke sana sini. Jadi malas nak menukar handbag. Ke mana perginya hati saya? Tolooong....

Saya sebenarnya tak tahu pun bagaimana rupa daun kemangi sehingga saya ke nurseri belakang rumah untuk membeli pokok herba yang banyak khasiat ini. Barulah tahu, rupanya daun kemangi juga dipanggil daun selasih. Bau nya ala ala bau serai dan ada juga bau seperti daun mint pudina. Saya tertarik untuk mencuba resepi ini kerana kata Bonda Rozita, jika ingin memikat hati ibu mertua, masak kerabu timun dan daun kemangi ini. Yang bestnya dikata "haa boleh juling mata ibu mertua jika menantu memasak lauk ini". Hahaha so catchy. Hanya kerana kata kata itu, telah menarik saya untuk mencuba hingga sanggup bersusah payah mencari daun kemangi. Mahal pulak harganya. Satu polibeg kecil sahaja berharga RM18. Itu pun selepas puas menawar. Harga asal RM25. Aduuii... Biasalah lauk macam ni, anak anak tak makan. Jadi hanya saya dan Hubby jer yang makan. Anak anak usahkan pandang, jeling pun tidak.

Jom layan resepi yang saya salin dari video yang dikongsikan oleh Bonda Rozita Pengasas Sendayu Tinggi. Singgah di Instagram Azie Kitchen untuk video dan juga di Azie Kitchen channel di youtube...





Kerabu Timun Daun Kemangi
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Daun kemangi
1 batang timun - hiris nipis 
1 biji buah limau nipis
1/2 kotak santan kotak
Garam
Gula
Sedikit ajino moto - saya tambah

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
2 tangkai cili padi
Sedikit belacan - sebesar ibu jari

Cara cara:
Hiris timun nipis nipis dan perah asam limau nipis di atasnya. 





Masakkan santan dan bahan tumbuk dengan daun kemangi sehingga daun kemangi layu. Masukkan garam, gula dan sedikit ajino moto secukup rasa. 








Angkat kuah santan dan tuang ke dalam bekas timun yang dihiris tadi. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan. 





Monday 10 April 2017





Memang benar apa yang didengar sebelum ini, tiada kegembiraan mutlak dalam hidup ini. Selepas kita berjaya memiliki sesuatu yang dihajati, kita akan berhajat kepada perkara yang lain pula. Tiada kesudahan kerana kehendak manusia yang tidak terbatas. Kegembiraan jika dinikmati pun hanya seketika. Selepas tawa ria, kita akan kembali bersendirian atau pun berdukacita. Setiap orang menpunyai masalah masing masing. Cuma cara menanganinya sahaja yang berbeza antara satu sama lain. Semalam sewaktu bersembang dengan sepupu saya, tiba tiba termasuk topik kemewahan di mana ada rumah yang dia kunjungi bersusun dengan kereta kereta mewah. Secara jujur saya tidak pernah merasa envy dengan kemewahan begini. Ramai juga kawan kawan se kampus kami dahulu yang kini kaya raya, malahan jurang bak langit dengan bumi dengan kami. Namun saya tidak sedetik merasa rendah diri atau iri hati. Cukup dengan apa yang saya miliki. Saya gembira kerana apa yang saya miliki adalah hasil duit gaji dan titik peluh sendiri. Tiada cable, tiada connection dan tiada projek. Mudah mudahan saya tidak akan dipersoal bab dari mana datangnya harta di hadapan Allah kelak. Saya bersabar berpuluh tahun dan menyimpan untuk memiliki harta, barang kemas dan bag tangan mewah yang diidamkan. Dengan izin Allah, saya memiliki semuanya walaupun dengan sukar dan kepayahan. Namun kenikmatan dunia ini hanya seketika, setelah berjaya memiliki apa yang dihajati, apa yang kita buat dengan nya? Sekadar untuk memuaskan hati dan nafsu sendiri yang sebenarnya kosong kosong tak berisi. Atau kerana kita hidup dalam masyarakat, perasaan tidak mahu ketinggalan atau bagaimana? Saya pun tiada jawapannya...





Semasa keluar bersarapan dengan Hubby di Restoran Rabiha, saya ternampak ada lori menjual pisang. Selepas makan, kami pergi ke tempat lori untuk mencari pisang berangan. Tapi pisang yang ada, hanyalah pisang emas dan pisang Abu. Jadi kami belilah juga pisang emas untuk dibuat Cekodok. Hari minggu ini, adalah masa untuk memasak atau menyediakan kuih muih. Saya juga beli 2 ikat serai dengan harga RM2.00. Sangat murah kerana seikat ada 6 batang serai yang gemuk gemuk. Perbezaan resepi ini dengan yang sebelumnya adalah saya menambahkan mentega dalam adunan yang berfungsi untuk membantu merangupkan cekodok anda. Jika suka, boleh juga diletakkan soda bikarbanat tapi saya tak suka cekodok kembang macam kek. Saya suka cekodok yang padat macam cekodok dulu dulu. 

Jom kita layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Juga jangan lupa singgah di Instagram Azie Kitchen untuk video. Video sekadar suka suka jer bukan kerana orang lain tak pandai buat cekodok. 



Cekodok Pisang 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan
8 biji pisang emas
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar mentega
1 sudu besar gula pasir
Secubit garam

Cara-cara
Lenyek pisang sehingga hancur. Masukkan gula dan garam. Kemudian masukkan mentega dan kacau rata. Masukkan tepung gandum dan dikacau rata. 





Panaskan minyak dan setelah minyak betul betul panas, masukkan adunan. Jika mahu cantik, guna jari. Tapi saya sambil mengambil video, terpaksa menggunakan sudu. Goreng dengan api sederhana. 





Setelah masak, dibalik balikkan. Bila bertukar warna keemasan, bolehlah angkat dan tos atas tisu dapur. Sedia untuk dihidangkan.






Sunday 9 April 2017



Sebelum itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan pembaca blog Azie Kitchen. Saya sama sekali tidak menyangka blog saya dikunjungi begitu ramai orang. Alhamdulillah kerana niat saya untuk berkongsi resepi serta sedikit ilmu dari kuliah yang saya hadiri menjadi kenyataan. Seperti yang saya tulis sebelum sebelum ini, saya memang minat mengumpul resepi dan tidak teragak agak untuk menanyakan resepi bila merasa masakan yang sedap. Saya menpunyai buku masakan sejak di sekolah menengah rendah lagi. Jadi alangkah rugi, jika apa yang kita pelajari tidak dipanjangkan. Zaman zaman dahulu agak sukar untuk belajar memasak. Ilmu memasak hanya diturunkan dari ibu kepada anak perempuan masing masing. Jadi kalau saya ingin belajar memasak masakan dari negeri lain seperti masakan Nogori, memang kena mengendeng resepi dari kawan kawan pejabat. Tapi kini tidak lagi, dengan adanya dunia alam maya, semuanya menjadi tanpa sempadan. Sesiapa pun boleh memasak dan boleh belajar memasak dari kawan kawan di alam maya.  

Selain menyediakan Ikan Siakap 3 Rasa di SINI dan Sup Daging di SINI, Nana juga menyediakan Sayur Kubis Goreng Telur. Nana pun seperti saya, bila memasak main masukkan jer apa apa yang rasa boleh menyedapkan masakan. Itu yang Nana masukkan juga serbuk lada putih berperisa AJI-SHIO dan juga minyak bijan. Memang sangat sedap sayur yang mudah dan ringkas ini. Pendek kata licin pinggan. Hahaha. Bila memasak sayur seperti ini, saya tidak suka memasukkan air. Saya lebih suka sayur yang bergoreng dengan minyak dan rangup. 

Jom layan resepi yang mudah dan ringkas tetapi sangat sedap. Kalau menyediakan hidangan, rasa tidak lengkap jika tiada disediakan sekali sayuran. Walaupun ada anak anak yang tidak suka sayur tapi ada juga yang suka sayur terutama Aween dan Juita. 




Sayur Kubis Goreng Telur

Bahan bahan:
1 mangkuk kubis
1 tangkai cili merah - hiris
3 ulas bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 biji telur - kocok seketika
Garam
Sedikit serbuk lada putih AJI-SHIO
Sedikit minyak bijan
Minyak

Bahan Hiasan:
Bawang goreng
Daun bawang

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah. Setelah bawang kekuningan dan wangi, masukkan sayur kubis. Kacau seketika sebelum dituangkan telur. Kacau rata. 

Masukkan garam, serbuk perasa serta sedikit minyak bijan. Akhir sekali, masukkan cili merah.  

Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng dan daun bawang. Tadaaa siaaap...


Thursday 6 April 2017



Pada suatu hari, saya mendengar slot Dato Dr Haji  Fadzilah Kamsah di radio berkenaan keluhan isteri terhadap suami yang mula berubah dan tidak lagi mesra selepas berkahwin. Malahan lebih mesra dengan perempuan lain berbanding isteri sendiri. Dengan masalah yang sedang menimpa rumahtangga sahabat baik saya menyebabkan saya memberi fokus kepada apa yang diperkatakan. Saya sebenarnya tidak percaya pada cinta sejati seorang suami pada isteri. Pada saya, tiada istilah cinta sejati, melainkan cinta pada Allah dan Rasulullah. Mungkin ada kes lelaki yang setia sehingga ke hujung nyawa tetapi sangat jarang untuk ditemui. Seorang lelaki yang menyintai isterinya, pasti tidak akan sanggup mendua walau dalam apa cara sekali pun. Hatta untuk jatuh cinta pada perempuan lain pun, tidak mungkin berlaku. Jadi kita belajar berpijak di bumi nyata. Cintai hanya pada Allah. Setiap kali saya menghadiri majlis perkahwinan, saya pasti akan melihat suasana gembira. Majlis penyatuan dua hati, majlis meraikan cinta kedua mempelai. Namun saya menpunyai pandangan lain di dalam hati kecil saya, hati berkata berapa lama gelak tawa dan kegembiraan seperti itu akan berkekalan. Mungkin tidak baik untuk saya berpersepsi negatif begini tapi itulah yang saya fikirkan. Apabila isteri mula berusia dengan badan yang menggeleber di sana sini, si suami mula menjauh. Mata mula mencari pucuk muda. Bukan isteri tidak mahu menjaga badan tetapi kemampuan suami juga membataskan isteri untuk mendapat penjagaan badan yang seharusnya. Ke mana kah perginya kata cinta dan sumpah setia berpuluh tahun perkahwinan, bila sekelip mata segalanya berubah. Cinta berubah arah pada perempuan yang hanya muncul di dalam perjalanan. Maaf saya tidak dapat memendam perasaan jengkel dengan lelaki yang hanya mahu melayan percakapan perempuan yang bukan bergelar isteri sahaja. Maklum selagi belum berkahwin, tak perlu memikir bab kewangan, rumahtangga, pelajaran anak anak dan lain lain tanggungjawab. Yang ada, semuanya indah belaka. Nama pun cinta buta, tak bermata tak berhati. Namun apabila telah berkahwin, percakapan isteri tidak lagi dilayan. Mendengar juga secara acuh tidak acuh. Muka pasti berkerut konon memikir pelbagai masalah hidup. Huh...

Sekarang meh kita bercerita sedikit bab resepi. Di samping menyediakan Cekodok Pisang atau di Kelantan dipanggil Jemput Pisang, saya juga menyediakan Kek Pisang untuk dibawa ke rumah Dato Salehuddin sebelah petang. Dato Saleh menjemput kawan kawan rapat untuk jamuan durian Musang King yang dibeli dari kebun kawan beliau. Boleh klik di SINI. Saya telah menggunakan resepi ini banyak kali dan hasilnya memang sangat sangat memuaskan. Gebu dan lembap, sesuai dengan citarasa saya untuk sekeping Kek Pisang. Boleh klik di SINI  dan di SINI. Kali ini saya menggunakan 2 adunan dengan menggandakan bahan yang digunakan. Tapi resepi di bawah adalah untuk satu adunan sahaja ya. Resepi ini memang "a keeper recipe", kek nyer sangat lembap dan lebih sedap lepas sehari. Malahan saya menyimpan di dalam tupperware dan dimasukkan dalam peti ais, setiap hari makan sepotong sepotong. Tetap lembut dan nyaman jer dengan sejuk sejuk tu.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Seperti biasa layan video di Azie Kitchen youtube channel dan juga di Instagram Azie Kitchen. Selamat mencuba...




Kek Pisang Gebu dan Lembap

Bahan bahan:
5 biji pisang emas - lecek 
1 cawan gula kaster 
1 cawan minyak jagung
4 biji telur gred A - saya guna gred B

Bahan ayak:
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bicarbonat
1 sudu kecil baking powder

Bahan lain:
1 sudu besar jus limau nipis - tak letak
1 sudu kecil esen vanila - guna vanilla extract

Cara cara:
Panaskan oven pada suhu 170C. Lengser mentega pada loyang. Ketepikan. 

Putar gula, telur dan minyak dlm anggaran 3-5 minit atau hingga putih. Masukkan pisang dan kacau rata. 




Masukkan pula tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit. Kacau sebati dengan menggunakan spatula. 

Masukkan esen vanila, jus limau dan gaul sebati. Tuang dalam loyang dan bakar selama 40 -60 minit atau sehingga masak. 



 
Nota:
Apabila permukaan atas telah perang, saya kurangkan suhu ke 150C. Saya bakar selama 1 jam.