Responsive Ads Here

Sunday 30 July 2017







Saya memang penggemar agar agar atau puding atau kuih kuih lembut. Setiap kali buka peti ais, mesti sepotong sepotong dimakan. Saya memang suka makan agar agar kerana rasanya yang sejuk nyaman serta lembut dikunyah. Dari kecil, memang suka agar agar. Kalau di kampung saya, kalau hari raya mesti ada agar agar. Yang simple simple jer seperti agar agar sirap rose. Menyediakan agar agar ini memang sangat mudah dan cepat.






Saya salin resepi ini di SINI. Ketika berada di dapur, Juita bertanya nak tak kalau dimasak agar agar laici kerana kebetulan semua bahan yang diperlukan ada di rumah. Sambil saya menyediakan bahan untuk memasak Rendang Ayam atas permintaan Hubby, Juita menyediakan bahan untuk membuat agar agar. Setelah semua bahan disediakan, barulah saya mengambil alih tugas memasak agar agar laici. Sebenarnya sejak dari raya hingga sekarang, dah tak terhitung banyak nya saya memasak rendang ayam atas permintaan Hubby dan anak anak. Rendang ayam memang versatile, boleh dimakan dengan nasi, dengan kketupat, lemang dsb. Berbalik pada agar agar laici ini, ianya memang sedap dan sesuai sahaja kemanisannya dengan tekak saya. Cuma ianya agak keas sedikit, jadi untuk lain kali saya cadangkan supaya air ditambah pada 1200 ml setelah dicampurkan dengan air laici. Bila dah ditambah air, jika suka manis, boleh tambah lagi 1 sudu besar gula. 

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Jom pakat ramai ramai mencuba resepi ini. Jangan lupa like dan share ya...





Agar Agar Laici

Bahan bahan:
28 gram agar agar bertali
1000 ml air + air laici - saya syorkan guna 1200 ml
200 gram gula pasir 
1-2 ketul gula batu - opsyenal
1 tin susu cair
1 tin buah laici - cincang
2 helai daun pandan

Cara cara:
Masukkan air laici dalam bekas penyukat dan masukkan air sehingga sukatan menjadi 1100 ml (saya syorkan guna 1200 ml).  Tuang air ke dalam periuk dan masak bersama agar agar dan daun pandan sehingga mendidih dan agar agar larut. Jika agar agar tidak benar benar larut, elok ditapis dulu sebelum dimasukkan gula.

Setelah agar agar larut, masukkan gula dan gula batu. Kacau rata sehingga gula hancur. Keluarkan daun pandan dan masukkan susu sejat dan buah laici yang dicincang. 

Masak dengan api sederhana sehingga adunan mendidih. Tutup api dan bolehlah dituang dalam acuan yang disukai. Setelah sejuk, pindahkan ke dalam peti sejuk sehingga ianya benar benar keras. Sedia untuk dipotong. 

Nota:
Saya dapat satu acuan besar dan 4 acuan yang kecil.





Saturday 22 July 2017







Esok adalah hari terakhir kita berada dalam bulan Syawal. Sesiapa yang belum cukup melakukan puasa 6, akan kerugian besar kerana belum kita akan ditemukan dengan Ramadhan atau Syawal akan datang. Itulah sebabnya hari ini dan esok memang banyak sekali jemputan rumah terbuka kerana hari hari akhir bulan Syawal. Sempena kedatangan musim Haji, Ustazah Ros Izanuri telah memberikan ceramah umum berkenaan Haji. Sesiapa mengerjakan Haji dan umrah diberi jaminan keampunan dosa pada mereka yang berdoa. Itulah kelebihan mereka yang mengerjakan haji dan umrah berbanding mereka yang berada di tempat lain. Apa yang membezakan umrah dan haji ialah masa mengerjakannya. Umrah boleh dilakukan pada bila bila masa sahaja. Manakala Haji hanya boleh dikerjakan di bulan bulan haji iaitu pada 1 Syawal hingga 13 Zulhijjah. Perbezaan kedua ialah rukun wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bermula tergelincir matahari hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Kedua duanya, wajib dikerjakan sekali seumur hidup. Haji dan umrah kali yang kedua adalah sunat. Haji mabrur haji ialah haji yang diterima Allah dan tak ulang lagi benda benda yang dilarang Allah. Contoh balik haji tapi masih tak menutup aurat. Itu tanda hajinya bukan haji yang mabrur. Umrah yang diterima disebut umrah yang makbul. 




Saya menyediakan sira pisang pada hari terakhir saya mencukupkan puasa 6 saya. Tahun ini, agak lama untuk saya menghabiskan puasa kerana banyak aktiviti makan makan di pejabat. Sebaik balik dari pejabat, ternampak ada 2 biji pisang tanduk yang telah agak masak. Kalau dibuat pengat, rasanya akan lembik sedikit. Jadi saya cepat cepat membuat sira pisang. Sira pisang sekejap sahaja disediakan dan ianya lebih mudah. Ianya adalah antara menu kesukaan saya ketika berbuka puasa. Apa apa jer kuih muih yang basah berkuah, memang kesukaan saya. 

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI.





Sira Pisang Tanduk

Bahan bahan:
2 biji pisang tanduk
1/2 cawan gula pasir
1/2 sudu kecil garam 
6 tangkai bunga cengkih
Pewarna kuning telur
3 helai daun pandan
Air secukupnya

Cara cara:
Potong nipis pisang tanduk. Ketepikan. 

Panaskan air dengan daun pandan, gula, garam, bunga cengkih dan pewarna sehingga gula hancur dan hampir mendidih. 

Masukkan pisang dan kacau rata sehingga pisang lembut dan masak. 

Angkat dan ketepikan. Bila sejuk, simpan dalam peti sejuk. Sedap dimakan ketika sejuk. 






Tuesday 18 July 2017







Saya memang dah lama teringin nak membuat agar agar mudah tetapi sangat sedap dan yang penting, ianya adalah kegemaran saya. Selain agar agar pandan, saya juga suka menggunakan gula Melaka untuk menjadikan agar agar gula Melaka. Teringat dulu, kali pertama membuat agar agar santan gula Melaka, sepupu Hubby datang ke rumah untuk menunjukkan cara caranya. Masa tu, saya baru kawin dan mula belajar memasak. Telur dipecahkan di atas kelapa parut dan diramas dan diperah sekali untuk menghasilkan santan. Masa tu, tak pulak guna blender untuk kelapa parut. Hanya diramas ramas biasa dengan tangan sahaja. Satu perkara lagi, setiap kali memasak agar agar, elok dimasukkan sedikit gula batu supaya agar agar kita tidak berair selepas di potong. Ianya akan menjadi lebih pejal. 




Memang sedap sangat agar agar ini dengan rasa dan bau wangi daun pandan. Secukup rasa sahaja kemanisannya. Rasanya tidak muak atau menjemukan. Sehingga keesokannya pun, masih sedap. Saya makan waktu berbuka puasa. Kebetulan ada geng kerana Alain juga suka makan agar agar ini. Laju jer masuk mulut kerana teksturnya yang lembut tapi pejal. Aduhaai lepas juga hajat nak makan agar agar ni. Kalau untuk majlis majlis berbuka atau kalau ada tetamu di rumah, bolehlah kita pakat pakat buat agar agar ini. Selain sedap, ianya cepat dan mudah disediakan.  Rupa agar agar saya kali ini agak pucat kerana tidak meletakkan sebarang pewarna, hanya hijau asli daun pandan sahaja.

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI.




Agar agar Pandan Santan

Bahan-bahan
25 gram agar-agar bertali
1500 ml air
1 cawan gula pasir
2 -3 ketul gula batu - sebesar ibu jari tangan - opsyenal
1 cawan air daun pandan - kisar 5 helai daun pandan dg 1 cawan air dan tapis
1 cawan santan - guna 1/2 biji kelapa parut
1 biji telur gred A
Sedikit pewarna hijau 

Cara cara:
Masak agar agar dengan air sehingga hancur. Setelah agar agar hancur, masukkan gula dan gula batu. Kacau lagi sehingga gula hancur. 

Masukkan kelapa parut, daun pandan dan telur ke dalam blender dengan 1 1/2 cawan air. Setelah dikisar hancur, diperah dan ambil santan sebanyak 2 cawan. Masukkan sedikit pewarna hijau. Saya tak letak kerana tiada stock, jadi warna hijau daun pandan original tidak berapa cantik. 




Tuang santan ke dalam periuk agar agar. Kacau rata sehingga ianya mendidih. Setelah mendidih dan masak sekata, angkat dan tuang ke dalam loyang atau acuan yang disukai. 

Setelah hampir mengeras, pindahkan ke dalam peti sejuk. Setelah keras, bolehlah dipotong dan dihidangkan sejuk sejuk, memang sedap. 




Nota:
Guna gula batu supaya agar agar tidak berair ketika dipotong. Ia akan lebih pejal.




Sunday 16 July 2017







Secara jujur, Saya sebenarnya masih seolah berada di dua dunia. Saya masih belum sepenuhnya menjadi diri saya. Minda dan fikiran masih seolah saya berada di Tanah Suci walaupun fizikal saya telah berada di tanah air. Malam sebelum tidur, saya akan mendengar youtube solat Terawih oleh Imam iman di Masjidil Haram ketika Ramadhan baru ini. Itulah sebabnya saya tak ada mood pun untuk berhari raya atau menghadiri rumah rumah terbuka. Malahan baju raya pun masih belum diambil. Namun begitu, beberapa hari ini, saya sangat sangat gembira dan sangat bersyukur. Tapi saya belum bersedia untuk mengumumkannya. Insya Allah saya akan kongsikan bila tiba masa nya. Haa sebelum itu, saya nak maklumkan bahawa Momen Perkahwinan anakanda saya, Dr Nana akan diterbitkan dalam majalah Nona keluaran bulan Ogos 2017. Hmm jangan lupa dapatkan naskhah anda ya. Sekadar berkongsi detik detik kegembiraan kami sekeluarga dengan pembaca blog Azie Kitchen semua. Lagi pulak, memang ramai yang menulis mesej pada saya meminta dikongsikan gambar gambar dan detik detik perkahwinan Nana. 

OK sekarang kita masuk pula bab resepi. Resepi Sambal Sotong. Hubby ke Pasar Taman Tun Dr Ismail untuk membeli tulang lembu untuk dibuat sup. Jadi saya pesankan sekali, sotong yang bertelur. Bila balik, saya tengok sotong tak menpunyai telur pun. Jadi saya menanya Juita, sotong untuk dimasak apa. Bila Juita mengesyorkan Sambal Tumis, saya pun tak berlengah terus menyediakan Sambal Tumis. Tapi saya membuatnya sedikit kering, tidak seperti Sambal Tumis biasa. Caranya saya masukkan hanya sedikit air sahaja. Jadi sambalnya lebih pekat. Memasak sotong agak leceh sedikit kerana ia akan menghasilkan air yang banyak. Jika dimasak lama untuk mengeringkan air, sotong pula menjadi terlebih masak dan liat. Jadi cara saya ialah, saya akan memasakkan sotong seketika di atas dapur dan kemudian ditos kan airnya. Nak tahu caranya? Kenalah tengok di video yang saya sediakan.




Saya memang suka memasak sambal tumis, tak kira lah apa pun asal sambal tumis kerana ianya mudah dan bahan bahan yang digunakan pun tak banyak. Cuma kena bersabar untuk menumis cili sehingga ianya benar benar garing. Yang lain semua dah ada dalam ingatan. Pendek kata lauk ini memang lauk feveret di rumah kami. 

Jom layan video di Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINIuntuk melihat cara penyediaan. Meh kita lihat resepi di bawah ini.  




Sambal Sotong

Bahan bahan:
Sotong secukupnya
1 senduk besar cili kisar
1 biji bawang besar - hiris
2-3 sudu besar gula
Garam
1 keping asam keping

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih

Cara cara:
Sotong dimasukkan dalam kuali dan panaskan atas dapur sehingga air sotong keluar dan toskan. Tujuannya supaya sambal saya tidak berair. 

Panaskan minyak yang agak banyak. Tumis bahan kisar sehingga sedikit wangi dan masukkan cili kisar. Perlahankan api dan tumis sehingga cili benar benar masak dan garing. Ia akan kelihatan sedikit berbuih bila telah garing. 

Masukkan gula terlebih dahulu bagi menjadikan warna sambal yang lebih cantik. Kacau rata. Kemudian baru dituangkan sedikit sahaja air. Masukkan sotong tadi. Kacau rata. 

Masukkan garam dan asam keping. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat kerana sotong tidak boleh dimasak terlalu lama kerana ia akan menjadi liat. 




Tuesday 11 July 2017







Saya pernah beli Pulut Kuning dan Rendang yang dijual oleh Zarina Zainuddin. Saya kagum melihat kegigihan beliau berniaga pulut kuning demi menyara keluarga. Bila melihat Pulut Kuning yang dijual oleh Zarina Zainuddin, saya menjadi teringin untuk membuatnya. Maklum jika dibeli, harga satu bekas ialah RM15. Jadi lebih jimat jika dibuat sendiri. Kebetulan pula, besan kami datang beraya. Jadi saya memberitahu Nana yang saya ingin memasak pulut kuning dan rendang ayam ketika kami merancang menu yang ingin disediakan. Menu lain lain, Nana dan Juita dengan dibantu oleh Boy yang menyediakan.  

Boleh klik untuk melihat langkah demi langkah secara bergambar yang saya sediakan di SINI dan SINISaya belajar dari kakak ipar saya yang santan perlu masin, supaya bila bergaul dengan pulut, akan menjadi secukup rasa. Mesti masin "pperak", kalau istilah orang Kelantan. Seolah masin yang terlebih masin atau sangat masin lah. Saya mengesyorkan anda mencuba menyediakan sendiri Pulut Kuning kerana kalau dulu dulu, pulut kuning disediakan oleh orang tua tua. Kita tak ambil peduli nak belajar, bila dah tak ada orang tua tua, kitalah yang kena menyediakan sendiri pulut kuning bagi mengekalkan makanan tradisi orang Melayu. 

Pulut kuning hari ini dimakan dengan dicicah dengan Rendang Ayam. Entah kenapa rendang ayam saya hari ini rasa tersangat win. Mungkin rendang ayam paling sedap tahun 2017. Hahaha kerana saya belum lagi memasak rendang tahun ini. Rendang ayam ini telah dibuat sedikit modifikasi. Tunggukan bila saya update blog untuk resepi dan juga video penyediaannnya.  

Jom layan resepi yang saya tulis semula di bawah ini dan layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel di SINI dan untuk video Pulut kuning di SINI. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI.




Pulut Kuning Kukus Yang Lembut

Bahan bahan:
500 gram beras pulut susu
1 keping asam keping - untuk menjadikan pulut berkilat
1 sudu besar kunyit serbuk - opsyenal
1 inci kunyit hidup - tumbuk dan tapis air
1 -2 cawan santan pekat - boleh tambah
1/2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Pewarna kuning telur 
Sedikit minyak masak, jika guna santan kotak - opsyenal

Cara cara:
Basuh beras pulut dan tos airnya. Masukkan air kunyit hidup dan pewarna. Kacau kacau supaya warna rata. Lepas tu, baru masukkan air dan rendam beras pulut dengan asam keping selama 1 - 2 jam, bergantung kepada jenis beras pulut. Jika beras pulut susu, sekejap sahaja sudah memadai. Semasa direndam kacau beberapa kali supaya warna sekata. Boleh juga masuk sedikit minyak masa merendam pulut.




Panaskan pengukus hingga air mendidih. Tos beras pulut. Masukkan ke dalam periuk pengukus yang telah dilapikkan daun pisang atau daun pandan.  Ketika dikukus, kacau sekali sekala supaya ianya masak sekata. Kukuskan selama 20-25 minit atau sehingga masak. 




Angkat keluar pulut dan masukkan dalam mangkuk besar. Tuangkan santan yang telah digaulkan dengan garam sehingga santan semua meliputi pulut. Biarkan dalam 5 minit agar santan menyerapkan ke dalam pulut. 

Setelah itu, kacau dan arung pulut dan santan tadi selama 10-15 minit sehingga sebati dan nampak seolah-olah berminyak. Pastikan tiada pulut yang berketul. Jika rasa kurang santan, boleh tambah santan dan kacau lagi hingga sebati. Kacau ketika pulut dan santan masih panas. Jika telah sejuk, kurang menjadi dan pulut mungkin akan menjadi keras.

Masukkan semula pulut ke dalam periuk kukusan dan kukus lagi sekali selama 15-20 minit atau sehingga masak. 

Boleh tutup api dapur dan masukkan dalam mangkuk besar. Taburkan sedikit gula dan kacau rata bagi menjadikan pulut bersinar cantik.




Nota:
Ada juga yang memasak santan terlebih dahulu, sambil dikacau supaya tidak pecah minyak. Tuang ke atas pulut. Tak perlu dikukus lagi. 

Ada juga yang memasukkan santan cair dahulu dan kukus kali kedua. Kemudian masukkan pati santan yang dicampur dengan garam dan digaul dengan pulut ketika panas. Pulut siap. Pulut panas akan memasakkan santan. 

Pulut kuning yang sedap perlu ada rasa masin dan manis yang seimbang. 



Thursday 6 July 2017









Sebelum mula menulis bab resepi Pajeri Nenas Perak, saya nak tulis dulu bab resepi Rendang Daging Perak saya yang dah jadi viral di fb. Resepi yang saya pelajari dari kakak ipar saya dari Perak di SINI dan di SINI. Bila Rosehayatie, kawan Instagram saya memberitahu ada group page dalam fb yang telah viral resepi saya tapi dicampur aduk dengan video kepunyaan beliau dan juga gambar orang lain, saya hanya tersenyum. Sejujurnya saya gembira sahaja jika resepi saya dikongsikan oleh lebih ramai orang. Memang itu pun niat saya supaya apa yang saya kongsikan dicuba oleh ramai orang. Tapi saya tergerak hati untuk masuk ke page group tersebut dan wow ramainya yang mengutuk dan mengeji saya. Aduhaai saya yakin 100% mereka semua adalah orang Melayu beragama Islam. Kemarahan mereka adalah kerana video yang dipaparkan tidak sama dengan resepi yang ditulis. Kedua kerana penggunaan nama Rendang Daging Perak yang kononnya tak sama dengan resepi nenek moyang mereka. Saya tidak marah tapi saya kesian kerana fb adalah platform untuk kaum muslimin (bukan mukminin) untuk membuat fitnah dan menabur dosa di akhir zaman. Mereka menggunakan jari jemari untuk mengutuk tanpa memikirkan apa yang ditulis akan kekal di situ umpama memahat dosa di batu. 

Bagi yang cerdik, mereka tahu dengan tak payah saya menjelaskan apa apa. Mereka nampak dan mereka fikir sebelum menulis. Tapi bagi yang lain lain, cuba fikirkan. Adakah salah saya jika video tidak sama dengan resepi jika saya sendiri tidak tahu menahu berkenaan page fb berkenaan. Ketika itu, mungkin saya sedang mengerjakan umrah. Kedua, bab penggunaan nama Rendang Daging Perak. Salahkah dengan nama itu? Saya tidak tulis pun yang ianya resepi asli rendang Perak dsb. Malahan dalam blog saya ada resepi rendang pedas dan resepi Rendang Tok yang saya belajar dari mertua saya yang berasal dari Perak. Ada yang menulis kongsi resepi, biarlah ikhlas. Aduhai mereka ni... apa apa pun saya memang kesiankan mereka. Kalau tak suka, tak perlu lah baca atau tak perlulah ikut. Saya orang Kelantan. Saya tahu di Kelantan dulu tak ada Rendang Kelantan. Tapi bila ada yang menamakan resepi mereka Rendang Kelantan, saya tak ada lah pulak nak melalak dan marah marah. Sesiapa pun berhak untuk memberi nama pada resepi mereka. Hidup mesti dinamik barulah ada kemajuan. Kerana itu, perlu sentiasa melakukan perubahan dan innovasi. Barulah ada perubahan. Begitu juga bab resepi, tak salah meletak kicap dalam rendang atau nak meletak apa sekali pun. Tak salah nak namakan apa sekali pun, asal nama yang baik baik. Bukan nama sumpah seranah. Peace no war ya. Semoga mereka yang suka berfikiran negatif pada orang lain, diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Lepas ini, saya nak kongsikan Pajeri Nenas stail Perak. Kalau tak sama dengan cara nenek moyang di Perak, jangan kecam saya pulak. Beritahu elok elok supaya saya tukarkan jadi nama Pajeri Nenas Azie Kitchen. Habis cerita. 




Setelah terpandang Instagram Puan Sri Raja Noorashikin sedang memasak Pajeri Nenas stail Perak, hati dah tak sabar juga untuk menyediakan Pajeri Nenas. Cuma setelah diteliti, saya pun tak pasti apa perbezaan Pajeri Nenas Perak berbanding dengan Pajeri Nenas yang biasa saya masak sebelum ini. Sebelum ini pun, saya ada juga meletakkan udang kering, kadang kadang saya letak juga udang hidup. Tapi apa pun, saya anggap ini Pajeri Nenas Perak lah walaupun saya tak letak halba seperti mana Puan Sri Raja Noora. 

Tapi entah di mana silapnya, lama direnih atas dapur tapi tak juga terbit minyak. Begitu juga dengan kelapa parut yang telah digoreng sebelumnya untuk dijadikan kerisik. Tumbuk bagai nak tercabut lengan, tak juga mahu pecah minyak. Walhal, sebelum ni cantik jer keluar minyak kerisik. Aduyai, kecewa lah sedikit kerana kejadiannya kurang cantik dan menarik. Namun begitu, berbaloi baloi kerana sangat sedap dan saya makan menambah nambah dengan meratah begitu sahaja. Yang paling penting, ianya semakin sedap selepas beberapa hari disimpan. Saya simpan dalam bekas tupperware di dalam freezer. Tiga hari berturut turut saya makan sewaktu berbuka puasa. Memang sangat sedap, secukup rasa kemanisannya. 

Jom layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel di SINI dan untuk video Pajeri Nenas di SINI. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Tapi kalau untuk detail resepi dan cara cara penyediaanya, saya hanya kongsikan di blog sahaja. Video hanya untuk memberi sedikit idea cara saya menyediakannya. Memang penat bila membuat video. Dua kali juga iphone baru saya jatuh dalam kuali yang sedang di atas dapur. Adohaiii. Haru biru dibuatnya. Apa apa pun, jom layaannn...





Pajeri Nenas Stail Perak

Bahan bahan:
1 biji nenas - pilih yang hijau kekuningan
2 sudu besar ikan bilis atau udang kering - rendam dan tumbuk
1 paket kecil serbuk kari daging - 3 1/2 sudu besar
1 paket kecil kerisik - atau buat sendiri
1 sudu besar cili kisar
1 kotak santan kotak
Air secukupnya
Rempah 3 sekawan - kulit kayu manis, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang
Minyak masak secukupnya
1 sudu besar minyak sapi - opsyenal
Garam
Gula Melaka
Gula secukup rasa

Bahan Tumbuk:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Nenas dibuang kulit,  dibersihkan dan dipotong-potong. Nenas direbus dengan sedikit air dan 2 sudu besar gula dalam 5 minit atau sehingga nenas sedikit lembut. Angkat dan ketepikan. 




Panaskan minyak dan sedikit minyak sapi. Tumis rempah 3 sekawan dan bahan tumbuk sehingga wangi dan kekuningan. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga cili agak masak. 

Masukkan pula rempah kari serbuk dan kacau dengan cepat sehingga wangi sebelum dituang sedikit air. Tumis hingga pecah minyak. 




Setelah pecah minyak, masukkan udang kering. Tumis lagi sebelum dimasukkan nenas dan air rebusan nenas sekali. Setelah mendidih, baru dimasukkan santan. 

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula Melaka dan gula secukupnya. Bila kuah pekat dan terbit minyak, bolehlah diangkat. 

Nota:
Kuah mestilah sedikit pekat dan menpunyai rasa manis.