Responsive Ads Here

Monday 27 February 2017




Seperti yang saya tulis sebelum ini sebagai wanita berkerjaya, saya suka sesuatu yang cepat, mudah dan ringkas. Oleh kerana bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi, jadi saya mula memikirkan menu sesuai untuk hidangan Sahur. Di dalam bulan Ramadhan, saya tak mahu lama menghabiskan masa di dapur. Sangat rugi kerana inilah masanya yang patut kita rebut iaitu tawaran pahala yang berganda di bulan Ramadhan. Saya biasanya menyediakan menu nasi goreng untuk hidangan Sahur. Boleh klik di SINI. Keluarga saya memang tak suka makan nasi dengan lauk lauk bagai waktu Sahur. Mereka suka nasi goreng yang dihidangkan panas panas sahaja. Jadi hari ini, saya nak kongsikan resepi nasi goreng Kampung yang sangat mudah dengan menggunakan perencah nasi goreng kegemaran kami sekeluarga iaitu perencah nasi goreng Kampung SERI-AJI. Ianya sesuai untuk hidangan waktu Sahur. Di rumah kami memang sentiasa ada stok perencah nasi goreng SERI-AJI. Kenapa saya sukakan perencah nasi goreng SERI-AJI? Pertama kerana ianya perencah yang sudah lengkap perisanya. Sudah secukup rasa. Tak perlu nak menambah bahan lain. Kedua, kerana ianya mudah digunakan dan tangan pun tak comot kerana ianya berupa serbuk perencah kering. Hahaha dengan SERI-AJI sesiapa pun boleh menyediakan nasi goreng. Suami saya yang tak pandai memasak pun, boleh menyediakan nasi goreng menggunakan perencah SERI-AJI.





Berbalik pada cerita menu Sahur bulan Ramadhan, walaupun mahukan yang ringkas, kena pastikan hidangan yang disediakan berperisa dan sedap. Untuk menambah keenakan nasi goreng saya pada hari ini, saya letakkan bunga kantan yang dihiris halus. Di samping itu, saya meletakkan juga sayuran kacang panjang supaya hidangan nasi goreng kita menpunyai khasiat yang seimbang. Saya suka kacang panjang yang ranggup krup krap krup krap ketika dimakan. Jadi saya akan pastikan bunga kantan dan kacang panjang dimasak seketika sahaja supaya kekal rangup.

Serious nasi goreng Kampung saya hari ini sangat sangat sangat sedap dan menepati selera saya. Perencahnya secukup rasa, saya tak meletak apa apa bahan lain seperti garam dan serbuk perasa pun. Memang terasa sangatlah kampungnya. Hahaha bukan apa,  kacang panjang yang krup krap krup krap dan bunga kantan terasa seperti nasi kerabu. Saya menjadi sangat nostalgia dengan kampung halaman. Sangat terubat rindu. Makan menambah nambah dah tak pandang kiri kanan. Juita, Boy dan Aween makan menambah nambah juga. Nasi goreng memang kegemaran saya tak kira pagi, tengahari atau malam. Jadi nasi goreng adalah menu pilihan saya untuk hidangan makan Sahur. Jika ingin sedikit kelainan, saya akan menggoreng ayam. Itu pun goreng garam kunyit sahaja. Tekak kami memang tak boleh menelan makanan yang berkuah waktu Sahur.

Jom layan resepi yang telah saya gunakan pada hari ini. Juga jangan lupa, melihat video yang saya sediakan di Instagram dan juga di youtube Azie Kitchen channel. Jangan lupa mencuba. Rugi kalau tak mencuba keenakan nasi goreng Kampung SERI-AJI yang saya kongsikan hari ini.



Nasi Goreng Kampung Bunga Kantan Yang Sedap

Bahan bahan:
1 mangkuk nasi putih - 2 1/2 pot beras
1 mangkuk isi ayam
2 biji telur
1 paket perencah nasi goreng Kampung SERI-AJI
1 batang bunga kantan - hiris nipis
8 batang kacang panjang - hiris halus
Minyak masak

Bahan Tumbuk Kasar:
1 tangkai cili merah
1 tangkai cili hijau
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga wangi. Masukkan pula isi ayam dan dikacau sehingga ayam masak.




Setelah ayam masak, ketepikan bahan tumis, pecahkan telur dan biarkan seketika sebelum telur dikacau sehingga agak masak.



Masukkan nasi dan kacau rata. Masukkan kacang panjang, bunga kantan dan akhir sekali perencah nasi goreng Kampung SERI-AJI. Kacau rata. Bolehlah tutup api.






 
Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng. Selamat menjamu selera.



Sunday 26 February 2017



Sebelum masuk bab resepi, meh kita kongsikan sedikit kuliah dari youtube Ustaz Jafri. Kalau orang yang mati tahu yang dia akan mati pada hari tu, agak agak dia ada kat mana sepanjang hari tersebut. Mesti di masjid berzikir dan baca Al Quran seharian. Tapi masalahnya kita tak tahu bila kita akan mati. Yang paling takut ialah bila kita mati dalam keadaan masih ada dosa yang belum terampun. Mati dalam keadaan lalai. Siapa orang yang lalai? Orang yang lalai, ialah orang yang lalui sepanjang hari dari pagi tanpa sekali pun terfikir bagaimana kalau aku mati hari ini. Cukupkah amalan aku,  cukup kah istighfar aku. Bagaimana dengan dosa aku. Orang lalai akan sangat terkejut bila malaikat maut datang. Dia lalai dia seronok dengan dunia. Bila malaikat maut datang memberi salam, masa tu baru terfikir amalan tak cukup, dosa belum terampun, Quran belum baca, taubat belum buat. Tapi ketika itu semua sudah terlambat. Jadi kenapa masih bertangguh? Sebabnya kerana kita belum ada plan untuk mati lagi. Kenapa suka bertangguh dengan amal? Kata Imam Ghazali, ianya tanda hati seseorang itu tenggelam dengan dosa. Kalau mati masih ada dosa. Dosa akan dibawa ke masyhar dan kita akan menyesal amat sangat kerana dosa dah tak boleh dipadam. Nilai dosa di akhirat adalah azab.

 


 

Mari buat beberapa amal yang simple.
1. Sungguh sungguh dan niat sungguh sungguh nak buat solat sunat tahajjud. Kunci jam agak agak nak bangun. Jangan terlalu awal, takut kita akan tutup jam bila terlalu mengantuk. Buat 2 rakaat pun cukup untuk permulaan. Biar sedikit tetapi istiqamah.
2. Baca Al Quran secara istiqamah sekurang kurangnya satu muka surat setiap hari. Al Quran akan menjadi peguambela kita dan akan memberi syafaat kepadaa pembacanya.
3. Kena solat berjemaah terutama lelaki. Solat sendirian 4 rakaat dapat 1 pahala. Solat berjemaah 4 rakaat dapat 27 kali ganda pahala di darab pula dengan berapa ramai orang berjemaah tetutama solat Isyak dan Subuh berjemaah. Pahala seolah beribadah qiamullail separuh malam bagi Isyak dan sepanjang malam bagi Subuh. Tanda Allah sayang ialah bila Allah jemput dia pergi solat berjemaah walaupun rumah dia jauh dari masjid. Orang yang Hati sentiasa terikat dengan masjid akan dapat perlindungan arasy Allah.
4. Jaga wudhu. Jangan terputus. Bila batal ambil balik. Seorang yang suka berwudhu akan dapat 2 perkara iaitu hati akan sentiasa teringin untuk solat. Kita kadang kadang berat untuk solat kerana malas untuk mengambil wudhu. Kedua, malaikat akan selalu berdamping dan mendoakan orang yang berwudhu dengan 2 perkara iaitu supaya diampunkan dosa dan supaya Allah kasihkan kita. Di padang masyhar bagaimana Rasulullah kenal umat baginda? Jawapannya ialah wajah bercahaya hasil dari wudhu sepertimana kuda putih berada di tengah tengah kuda hitam.
5. Perbanyakkan beristighfar. Dalam tulisan akan datang, saya akan kongsikan apa yang dikatakan taubat dan apa pula istighfar. Saya sendiri masih belajar kedua duanya. Semoga kita dapat bertaubat sebelum mati. Mati itu pasti dan boleh berlaku pada bila bila masa tanpa mengira usia dan tahap kesihatan. Jangan kita jadi orang yang lalai iaitu orang yang seharian, tidak langsung mengingati mati. 

Kali ini saya masih kongsikan resepi dari @bondarozita iaitu Pengasas Sendayu Tinggi yang memasak telur itik segar hasil dari reban beliau sendiri. Memang sangat teruja melihatnya. Petua yang diberi adalah perlahankan api dan masukkan telur sebelum kuah mendidih. Ketika dimasukkan telur, boleh dilihat kuahnya agak pekat, jadi telur tidak akan merebak keluar. Tambahan pula telur yang digunakan adalah telur baru yang masih segar. Itu sebab hasilnya telur yang dimasak oleh Bonda Rozita berbentuk bulat cantik. Selain itu, kuah masak lemak telur itik sedap jika kuahnya pekat. Boleh dikatakan setiap hari, saya akan menjenguk Instagram Bonda Rozita Ibrahim. Saya kagum dengan cara beliau menghabiskan usia beliau dengan penuh ceria dan memberi manafaat pada pembacanya. Bonda rozita tidak memasukkan daun kunyit tapi saya seperti biasa, akan memasukkan daun kunyit ke dalam masak lemak. Kenapa saya pilih resepi ini kerana ianya menggunakan bahan yang berbeza dengan resepi resepi masak lemak telur saya sebelum ini di SINI  dan di SINI. Ada penggunaan bawang putih dan buah keras. Bonda Rozita juga gemar memasukkan serbuk pati ayam dalam banyak masakan beliau.

Jom layan resepi yang saya catat hasil dari melihat video Bonda Rozita. Jangan lupa, nantikan video saya di Instagram Azie Kitchen juga di youtube Azie Kitchen channel...
 




 
Masak Lemak Tempoyak Telur Itik Dengan Pucuk Ubi
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 biji telur itik
1 ikat pucuk ubi
1 kotak santan kotak
Serbuk kunyit - jika tak guna kunyit hidup
Serbuk pati ayam
Garam
Gula
2 keping asam keping
1 sudu besar tempoyak - boleh tambah 2-3 sudu besar lagi ikut masam tempoyak
1 helai daun kunyit - opsyenal

Bahan kisar:
1/2 biji bawang besar Holland
3 ulas bawang putih
10 tangkai cili padi
1 inci kunyit hidup
1 batang serai
1 1/2 -2 biji buah keras

Cara cara:
Rendam seketika pucuk ubi dengan air yang diletak sedikit garam. Panaskan air sehingga mendidih. Rebus pucuk ubi sehingga daunnya empuk. Ambik sedikit daun yang direbus dan cuba putuskan. Jika senang putus bermakna pucuk ubi sudah empuk. Sekiranya terasa susah putus, teruskan rebus sehingga empuk. Bila empuk toskan airnya dan tunggu sehingga sejuk. Potong-potongkan sikit pucuk ubi jika suka.
 
 

 

Masak bahan kisar dan dikacau kacau sehingga sedikit masak cili padinya. Masukkan serbuk kunyit, serbuk pati ayam, gula dan garam. Jika guna kunyit hidup, tak perlulah serbuk kunyit. Kacau lagi.

Masukkan sedikit air dan biarkan ianya sedikit pekat. Perlahankan api. Masukkan telur satu persatu. Pastikan telur dimasukkan sebelum kuah mendidih. Jangan dikacau sehingga telur masak.
 
 

 

Bila telur dah masak, tambahkan air secukupnya dan bila kuah mendidih, baru masukkan santan. Selepas masuk santan, masak sekejap jer jangan sampai mendidih. Barulah kuah cantik, sedap dan berlemak.
 
 

 

Masukkan pula pucuk ubi yang direbus. Akhir sekali masukkan asam keping dan tempoyak. Ada tempoyak lebih masam jika telah lama, jadi rasa dulu sebelum masukkan asam keping. Kacau rata dan sesuaikan rasa.

 

 

Nota:
Masak lemak telur itik, mestilah kuahnya pekat. Barulah sedap.


 

Wednesday 22 February 2017






Memasak sambal tumis yang sedap tidaklah susah tetapi perlu tahu teknik menyediakan sambal yang betul. Saya belajar memasak dari keluarga, dari kawan kawan dari masa ke semasa. Saya masih ingat tips yang saya pelajari untuk menghasilkan sambal yang berwarna merah cantik dan berkilat dari arwah Kak Ena, ketika saya baru bekerja. Bayangkan telah lebih 30 tahun. Untuk menghasilkan masakan yang sedap memerlukan latihan dan latihan. Tidak cukup sekadar menpunyai pengetahuan semata. Sejak itu, saya memang mengamalkannya. Kemudian saya belajar pula dari sepupu saya cikgu Wan Faizah setelah merasai sambal tumis ikan bilis beliau yang sangat sedap. Lama lama, saya mengubahsuai bahan bahan mengikut citarasa sendiri sehingga akhirnya menjadi sambal yang dimasak secara rutin.




 
Nasi lemak yang sedap bergantung kepada sambalnya. Sambal yang disediakan hari itu, memang tidak mencukupi kerana masing masing menambah nambah. Nelly yang kebetulan ada di rumah bertanya kalau Sambal Tumis Ikan Bilis yang disediakan Nana hari itu menggunakan resepi Azie Kitchen. Katanya lagi, "Adik hanya suka sambal tumis menggunakan resepi Mama jer". Hahaha seronok mendengar anak anak suka dengan masakan kita kan. Saya jarang meletak belacan kerana anak anak allegik dengan belacan. Tapi lebih sedap jika ditambah belacan.

Menyentuh sedikit mengenai nasi lemak pula. Banyak cara menyediakan nasi lemak semua bergantung kepada citarasa masing masing. Namun saya sentiasa cuba mencari cara cara baru untuk memperbaiki hasil masakan nasi lemak saya. Boleh rujuk entri berkenaan rahsia menyediakan nasi lemak sedap dan tahan lama di SINI. Ini saya belajar dari Kak Fatimah. Kak Fatimah selalu menyediakan nasi lemak kalau ada majlis makan makan di surau Ad Dhuha. Kata beliau, orang berniaga tak akan guna santan yang banyak untuk memasak nasi lemak, jadi santan diletak di akhir sekali. Lagi pulak, santan bila dimasak lama akan bertukar menjadi minyak. Kita mahukan nasi yang berlemak bukan nasi berminyak. Selain itu, masukkan halia juga di akhir. Itulah petua yang dikongsi dan memang sangat harum. Malahan setiap kali periuk dibuka, terbau wangi dan harum nasi lemak satu dapur.

Jom layan resepi sambal tumis versi Azie Kitchen. Saya sekarang bila menyediakan sambal tumis, memang ikut angin. Kalau rasa nak letak halia, saya letak. Di kebanyakan masa, saya tak letak terutama bila tiada stok.



Sambal Tumis Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis
1 biji bawang besar - hiris
2-3 sudu besar gula pasir
Sedikit gula merah/gula Melaka
Garam
Air asam jawa/asam keping

Bahan kisar:
1/2 mangkuk cili kisar/20 tangkai cili kering - direbus dan ditos
2 biji bawang besar - boleh juga guna bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia - opsyenal
Sebesar ibu jari belacan bakar - opsyenal

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak, tumis bawang besar hiris sehingga naik bau sahaja. Masukkan bahan kisar dan kacau rata. Perlahankan api dan terus dikacau dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. Ianya memakan masa agak lama. Jika minyak kurang, bolehlah ditambah ketika menumis. Macam mana nak tahu kalau ianya telah garing? Minyak tumisan akan mula berbuih sedikit. Itu tanda dah garing.

Setelah bahan tumisan garing, masukkan sedikit gula terlebih dahulu dan kacau rata. Gula akan menjadikan warna sambal cantik dan berkilat.

Masukkan sedikit air mengikut kepekatan sambal yang disukai. Masukkan air asam jawa/asam keping, garam dan ikan bilis. Nota: warna sambal lebih cantik jika menggunakan asam keping.

Kacau rata sehingga sambal masak dan mesra.

Nota:
Sambal lebih sedap jika disediakan sehari sebelumnya.

Ikan bilis boleh digoreng sehingga layu, jika suka.


Nasi Lemak Sedap Dan Tahan Lama
Oleh: Azie Kitchen
 
 
Bahan bahan;
Beras - basuh dan tos
1-2 helai daun pandan - carik dan simpul
Sedikit garam
1 - 2 inci halia - hiris kasar
1 cawan santan pekat/1 kotak santan kotak

Cara cara:
Masak nasi dengan air secukupnya, iaitu bergantung kepada jenis beras masing masing. Biasanya paras air dalam kurang 1 inci atau satu paras garisan di jari.

Masukkan garam dan juga daun pandan yang dicarik. Mesti dicarik bagi menambah aroma daun pandan. Masukkan dalam rice cooker dan masak seperti biasa.

Bila mendidih dan air hampir kering, masukkan hirisan halia dan santan pekat tadi. Kacau rata. Sambung masak sehingga nasi masak sepenuhnya. Siap untuk dihidangkan.



 

Monday 20 February 2017




Hari ini saya ingin kongsikan berita gembira iaitu page view blog Azie Kitchen telah melepas 100 juta. Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan semua. Anda telah mewarnai hidup saya dan menjadi teman setia saya walau di mana berada. Kali ini saya nak petik sedikit kuliah Ustazah Noraini tafsir ayat 94-96 Surah An Nisa. Bukan tafsir ayat ayat tersebut tetapi apa yang disebut ustazah semasa menghuraikan tafsiran. Antaranya ialah bab ehsan. Ehsan adalah seorang beribadah seolah nampak Allah dan sentiasa ingat bahawa Allah nampak kita. Jadi selalu beringat dan berjaga jaga. Umpama kita berkelakuan baik depan polis atau bila tahu ada kamera AES. Masa tu kita tak bercakap di telefon dan tak memandu melebih had laju ditetapkan. Kita kena buat baik seolah kita nampak Allah depan mata. Ehsan akan buat kita rasa lebih ikhlas. Kedua yang saya nak share adalah berkenaan bersangka baik dengan Allah. Kita kena meletak tahap husnuzon paling tinggi pada Allah. Antara contoh tanda kita bersangka baik dengan Allah adalah apabila kita tetap berdoa secara konsisten walaupun benda yang kita mohon masih belum termakbul. Tetap berdoa tanpa jemu setiap hari. 






Kita kena menilai sesuatu kebaikan bukan mengikut kehendak kita. Bukan pandangan kita yang penting tapi pandangan Allah. Allah tahu apa yang baik untuk kita. Bukan apa yang kita nampak baik. Jadi ini lah yang saya pegang bila apa yang saya hajati, tidak dimakbulkan kerana mungkin ianya sesuatu yang tidak baik untuk saya sendiri. Ketiga berkenaan ayat 95-96 bab perbandingan kelebihan berjihad harta dan berjihad diri di jalan Allah dengan orang yang tidak berjihad. Contoh jihad harta adalah wakaf, infaq dan sedekah. Apa contoh jihad dengan diri? Iaitu, korbankan diri ke jalan Allah. Jihad dengan diri adalah jihad melawan nafsu. Lawan rasa malas nak hadir majlis ilmu, korban rasa malas nak pergi mengaji dsb. Allah janjikan 3 kebaikan untuk orang yang berjihad dengan harta dan jihad diri iaitu ketinggian darjat dari orang lain, balasan syurga dan pahala yang berganda. Selain itu diberikan keampunan serta kerahmatan pada orang yang berjihad dengan harta dan dirinya. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan terus mengamalkan kebaikan dari perkongsian dengan kadar segera dalam kehidupan kita. 




Sekarang kita masuk sedikit bab resepi. Saya menyalin resepi ini dari Nana selepas merasa cupcake yang dibuat Nana. Resepi ini Nana dapat dari kelas baking yang dia hadiri. Sangat sedap keknya, gebu dan lembab serta rasa pandan dan santan. Lebih lebih lagi pulak, frosting nya yang mulus gebu diletak pula gula karamel, memang speechless.  Sangat sedap untuk orang seperti saya yang berselera kampung. Cuma kalau orang yang tak suka manis, akan rasa kek ini agak manis sedikit. Jadi bolehlah dikurangkan gula samada dalam kek atau di dalam buttercream.

Jom saya kongsikan resepi yang saya olah dari kertas catatan Nana. Boleh jadi rujukan anak anak yang lain jika mereka ingin membuatnya sendiri. Hahaha tak perlu nak pergi kelas. Mereka hanya memberi sukatan bahan yang diguna tetapi tiada detail cara cara menyediakannya. Jadi saya olah dan mesej Nana untuk mengesahkan cara cara yang ditulis oleh Nana di kertas tersebut. Untuk satu adunan, dapat 20 biji cupcake menggunakan cawan saiz 10. Jom layan...



 
Cupcake Pandan Gula Melaka

Bahan A:
150 gram mentega
1 cawan gula kastor
1 sudu kecil esen vanilla

Bahan B:
2 biji telur

Bahan C:
1 1/2 cawan all purpose flour
1/2 sudu besar baking powder

Bahan D:
100 ml santan
50 gram susu
3 sudu besar extract pandan
Pewarna hijau

Cara cara;
Putar bahan A dengan kelajuan sederhana sehingga kembang. Masukkan telur satu persatu sambil terus diputar.

Masukkan bahan C dan bahan D secara berselang seli. Kacau secara kaup balik sehingga rata.

Masukkan ke dalam kertas cawan saiz 10 (boleh dapat 20 biji).

Panaskan oven pada suhu 170C dan bakar selama 25-27 minit atau sehingga masak. Keluarkan dari oven dan sejukkan atas rak.

Nota;
Boleh kisar daun pandan yang digunting halus dengan sedikit air. Tapis dan sukat secukup yang diperlukan.






Swiss Meringue Buttercream

Bahan bahan:
4 biji telur putih
1 cawan gula kaster
300 gram mentega
1/4 cawan santan
Sedikit esen vanilla

Cara cara:
Satukan telur putih dan gula. Panaskan secara double boil sehingga gula hancur.

Putar dengan kelajuan sederhana sehingga menjadi bertanduk.  Biarkan sejuk seketika.

Masukkan mentega dan diputar lagi hingga kembang.  Masukkan santan dan esen vanila. Dan putar lagi sehingga menjadi sangat gebu.

Sedia untuk digunakan pada cupcake yang telah sejuk. Hias dengan karamel gula Melaka.

 
Caramel Gula Melaka

Bahan bahan:
50 gm gula Melaka
1 helai daun pandan
1 sudu besar gula
1/2 cawan air

Cara cara:
Satukan semua bahan dan masak hingga gula larut dan pekat. Jika kurang pekat campurkan 1 sudu teh tepung jagung yang di bancuh dengan sedikit air. Masak semula hingga pekat. 

Sejukkan sebelum digunakan untuk drizzle atas cup cake tadi.



Saturday 18 February 2017

Resepi Lengkap Nasi Ganja!! | Assalamualaikum, selamat berhujung minggu...hari ni saya akan share resepi Nasi Ganja, Ayam Goreng Rempah, Kari Mamak. Resepi asal drpada Puan Ida Shahida, saya cuba ternyata memang sedap.. dan ni saya sediakan step by step untuk resepi lengkap ni...


Macam biasa, resepi disediakan di bawah Step by Step (SbS)


Sumber : ?Ummi Dhia

Resepi Lengkap Nasi Ganja!!


Bahan-bahan untuk masak Nasi Ganja 3 pot beras:

Rempah 4 sekawan

rempah sup adabi

minyak sapi@butter

bawang merah 8 biji

bawang putih 4 biji

halia 2 inci

pewarna kuning telor.



tumis bawag-bawang yang dah di tumbuk dengan rempah 4 sekawan sehingga naik bau



Kemudian masukkan rempah sup tunggu sehingga garing dan pecah minyak masukkan air 4 1/2 cawan pot



Beras 3 pot yang telah di cuci dan di tos kan



Lepas masuk air tunggu mendidih masukkan beras



Masukkan cili sos dalam 2 senduk. saya guna senduk ikea yang 1.90 tu je.. hihi



Masukkan pewarna kuning telor dalam 5,6 titik sehingga dapat warna kuning macam tu. Kemudian alih kan ke rice cooker, masak seperti biasa..



Taraa... dah masak nasi ganja ni...cantikkan..



Ok ni bahan untuk ayam goreng berempah:

 semua ni kisar halus dengan sedikit air...jangan cair sangat sebab nak salut dekat ayam.. 

2 batang serai

1 inci halia

bawang putih 3,4 biji

bawang merah 8 biji



Ayam yang dah di basuh dan di tos kan



Ok, ni salutan ayam ye, letak bahan yang dah di kisar tadi bersama daun kari, serbuk kari ayam 8sudu, jintan manis dan serbuk ketumbar 1 sudu, garam



Ok gaulkan, dan perap sekurang-sekurangnya 30 min, lagi lama lagi sedap



Goreng dalam minyak yang banyak dan panas... dan kontrol api... mula besar,  nampak permukaan dah nak garing, sederhanakan api dan kemudian slow...supaya ayam masak sempurna dan rempah x hangus



Ayam yang telah di goreng... nyum



Bahan-bahan untuk masak kari mamak:

1 ketul rencah ayam maggi@knorr

asam jawa

5,6 biji bawang merah

2,3 biji bawang putih

1 inci halia

tumbuk halus. dalam mangkuk letak 2 peket kecik kari ayam, 1 paket kari ikan, 1sudu serbuk cili



Rempah tadi tu kita bancuh jadi kan paste



Tumis bahan-bahan yang di tumbuk



Masukkan rempah dan tunggu sehingga rempah masak dan pecah minyak baru masukkan air asam jawa



Masukkan air dalam 3 mangkuk



Dan tunggu sehingga kuah betul-betul pekat, kari mamak yang sedap ialah kari yang pekat.. perlu mendidih berkali-kali.. perasakan dengan garam dan serbuk perasa..



Ok.. dah boleh ngappp... untuk tambahan saya rebus bendi dan telur masin... nyummmmm... selamat mencuba... lepas ni xpayah pi jauh-jauh sampi ke utara nu nak makan nasi ganja... kenapa panggil nasi ganja.. sebab sekali rasa nak lagi dan jadi gian... hihihihi

Selamat mencuba..
Jangan lupa share..


Resepi Nasi Daging Utara!! | Hye Assalamualaikum , hari ni saya masak Nasi Daging Utara. one of my fav gak ni.. hubby orang utara.. so kena la belajaq masak.. hihi, hari ni saya rajin nak tunjuk step by step cara saya masak nasi daging + ayaq asam tomato... P/s: saya izinkan semua share. saya halalkan dunia akhirat.. insya Allah..


Macam biasa, resepi disediakan di bawah Step by Step (SbS)



Resepi Nasi Daging Utara!!


Ni daging 1/2 kg je.. potong besar-besar camni



Bahan-bahan untuk masak daging:

2s.bsr jintan putih

1 s.bsr lada hitam

halia 1inci

bawang besar 2 biji

bawang putih 2,3 ulas

tumbuk semua.. kalu malas, blend kan je..



Tumis bawang dan halia tadi sampai wangi



Dah wangi baru masuk daging biarkan sekejap, sampai keluar air daging



Letak air banyak sampai tenggelam, perasakan dengan garam, masak sampi daging empuk



Dah empuk, asing kan daging dengan sup tadi... jangan buang sup tu, sebab nak guna untuk masak nasi nanti..



Ok ni bahan-bahan untuk masak nasi:

bawang besar

bawang putih

halia

daun pandan

4 sekawan

3/4 cawan susu cair dan minyak sapi

saya xde so gantikan dengan butter pun boleh.. bahan ni untuk 3 pot beras



Sementara tu basuh beras dan rendam sekejap dalam 5-8 min jangan lama sangat nanti beras hancur pulak..



Sukatan untuk beras dan sup mesti sama tau, sebab beras dah kembang... kang lembik nasi xsedap..



Panaskan minyak dan butter

dalam 2,3 sudu... kena sebab butter pta tahap kepanasan x sama macam minyak... takut xdan bawang2 garing butter dah hangus



Tumis bebawang tadi sampai naik bau, jangan hangus, nanti nasi rasa pahit



Ok masuk daun pandan... ada orang suka boh daun pndan last sekali, tapi saya suka tumis sekali sebab bau dia yang wangi tu mengancam berbanding bila letak kemudian...



Masuk kan beras tadi, kacau-kacau kejap



Ok ni sup dari air rebusan daging tadi.. sama tau sukatan dengan beras tadi



Masukkan susu cair



Masukkan daging tadi, kemudian tutup api dan bolehlah pindahkan ke rice cooker



Ni bahan-bahan untuk ayaq asam tomato.. huhu, tengok sendiri lah eh.. boleh faham kan apa bahannya.. dah malas nak taip.. hahahaha




Potong dan boh semua dalam blender kecuali tomato dan bawang tapi ni saya letak gak tomato sebiji, garam, gula dan aji sikit



Dah blender sampai hancur letak air limau dalam 2 tutup botol tu, kalau xde pakai limau kasturi je..



Dah siap ayaq asam tomato kita.. rasa dulu apa yang kurang, kalu pedas sangat tambah gula sikit.. kalau kurang masam tambah lagi air limau.

**lupa, kalu nak lagi sedap tambah sesudu kerisik... yums..



Taraa..dah siap nasi kita...



Walllaaahhh.... dah boleh makan lah kalau cmni... hihi, so suma pun boleh cuba dan rasa.. sekian cara saya masak nasi daging utara + ayaq asam tomato...

Selamat mencuba..
Jangan lupa share..