Hari ini saya ingin kongsikan antara petikan yang sempat saya salin dari Ceramah Perdana Ambang Ramadhan oleh Ustaz Zul Ramli. Allah lah yang memilih kita untuk berada dalam majlis Nya. Nabi menyebut majlis ini adalah majlis zikrullah. Ada malaikat yang Allah cipta untuk satu tujuan iaitu mencari majlis zikrullah. Malaikat ini akan datang dan duduk di antara kita dalam majlis ilmu. Mereka datang untuk mendoakan untuk setiap orang. Jadi kita sangat bertuah kerana malaikat mendoakan kerahmatan pada orang yang berada dalam majlis ilmu. Duduk dalam majlis ilmu mendapat doa malaikat supaya mendapat keampunan Allah. Malaikat mendoakan, Ya Allah, jadilah hamba ini diampunkan dosanya. Doa malaikat ini akan meyebabkan hati kita terdetik untuk bertaubat. Malaikat juga doakan keberkatan rezeki. Ianya bermula sebaik majlis bermula dan berakhir bila majlis berakhir. Allah bagi pahala pada seseorang tak sama berdasarkan cabaran untuk dihadapi. Contoh mengantuk dalam majlis ilmu. Alangkah indahnya. Berbaloi mereka yang mengorbankan waktu rehat semata mata untuk berada dalam majlis ilmu.
Persiapan menyambut Ramadhan. Pernah kah kita minum air teh tapi rasa seperti berminyak. Kenapa Ramadhan yang indah dan lazat tapi kita tak rasa kelazatannya? Apakah kerana Ramadhan atau kerana hati? Begitu juga analogi air tadi, adakah kerana air nya atau mungkin gelas yang berminyak. Masalah yang kita hadapi adalah pada hati. Maka untuk mendapat keseronokan Ramadhan ialah dengan membuat persiapan hati. Kita akan menikmati Ramadhan dengan kita melihat hati kita. Bersihkan hati kita dengan memperbanyakkan istighfar. Kena minta ampun dengan manusia terutama ibubapa. Satu dosa akan memberikan satu bintik hitam. Bayangkan kalau dosa dengan ibu dan ayah. Setiap kesedihan ibubapa yang datang dari kata kata dan perbuatan kita, menjadi dosa tanpa kita sedar. Dosa dosa yang akan menjadikan Ramadhan tidak manis. Inilah masa untuk meminta ampun pada ibubapa. Walaupun ibubapa telah meninggal, perhubungan ibubapa dengan kita bukan pada jarak masa tetapi jarak perhubungan. Diceritakan bahawa seseorang ibubapa yang telah meninggal, tangannya umpama menggapai meminta pertolongan. Jadi perbanyakkan lah membaca Al Quran dan berdoa untuk ibubapa yang telah meninggal.
Ramadhan adalah proses untuk mendapat taqwa. Apa yang ada dalam Ramadhan yang membawa kita pada taqwa. Iaitu menahan. Contoh menahan nafsu. Nafsu ialah keinginan dan Ramadhan adalah proses mendidik keinginan. Contoh keinginan untuk hadir majlis ilmu adalah juga nafsu. Kebiasaannya kita akan memilih yang tak bagus, antara memilih hadir majlis ilmu atau lepak lepak depan komputer waktu ini. Apa senarai yang perlu dibuat dalam bulan Ramadhan? Antaranya ialah solat terawih, membaca Al Quran, banyakkan bersedekah, Qiam, zikir, berdoa, sahur, perbanyakkan solat sunat dan jangan lupa qadha solat solat yang sebelum ini ditinggalkan.
Sekarang saya ingin kongsikan satu resepi mudah iaitu Ayam Masak Kicap yang sangat mudah. Yang penting, mudah dan sedap. Di bulan Ramadhan nanti, lauk macam ni memang win. Ada ketika tak ada selera makan yang terlalu berlemak dan bersantan, terutama masa bersahur. Masakan lauk berkicap dengan kuah yang cair cair seperti ini juga antara lauk kegemaran anak anak. Ada bermacam macam jenis masakan berkicap, ada yang kuahnya agak pekat dengan dimasukkan cili kisar yang lebih sedikit. Bagi resepi ini, sedikit rasa pedas adalah dari serbuk lada hitam dan cili merah hiris sahaja. Lauk yang ada rasa manis manis kicap memang kesukaan anak anak. Kita yang lebih dewasa yang lebih suka lauk yang ada sedikit pedas.
Jom layan resepi mudah dan sangat digemari oleh anak anak yang telah saya olah seperti di bawah ini...
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam
5 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
Rempah penumis - kayu manis, bunga lawang
1 batang halia - ketuk
Garam
Serbuk lada hitam
1 tangkai cili merah - hiris
2 biji ubi kentang - hiris nipis
1 biji bawang besar - hiris nipis
Bahan sos:
Kicap pekat manis
Kicap masin
Sos tiram
Sos cili
Cara cara:
Ayam dilumur garam kunyit dan digoreng. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak dan goreng kentang sehingga masak dan keperangan. Angkat dan ketepikan. Kemudian masukkan rempah penumis diikuti dengan bawang merah, bawang putih dan halia hiris serta serai. Tumis sehingga kekuningan dan naik bau.
Masukkan semua bahan sos dan juga air secukupnya. Biarkan mendidih. Masukkan ayam yang digoreng tadi. Kecilkan api biarkan merenih supaya air ayam mesra dengan kuah.
Masukkan bawang besar hiris dan cili merah hiris. Tabur serbuk lada hitam. Bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Tabur daun saderi atau daun bawang.
No comments:
Post a Comment