Responsive Ads Here

Tuesday 31 January 2017

Sambal Ikan Bilis dan Petai Ranggup




Hari ini warga Wilayah Persekutuan seperti saya bercuti kerana menyambut Hari Wilayah. Ramai yang ambik kesempatan untuk pergi bercuti kerana kebetulan boleh dapat cuti panjang dengan mengambil satu hari cuti semalam. Saya pula sebenarnya tidak pernah merancang percutian, malahan tak sedar pun hari yang cuti panjang kerana berkebetulan dengan cuti cuti umum seperti minggu ini dan minggu Hari Thaipusam. Setiap hari saya tidak pernah ada dalam hati untuk ke mana mana samada dalam atau luar negeri. Kalau dalam negeri, lagi lah tiada perancangan kerana malas dengan kesesakan jalan raya. Bila cuti jer jalan raya sesak di sana sini. Banyak masa terbuang dalam kereta. Masa diambil untuk perjalanan ke Kota Bharu sama dengan masa penerbangan ke Perth Australia. Di bandar Kota Bharu pulak sesak dengan kenderaan plat dari luar Kelantan. Keduanya kerana saya memang tak nak bercuti dalam negara. Agaknya dulu, kami dah berjalan merata. Jadi anak anak pun tak mahu ikut jika bercuti dalam negara. Kalau ke luar negara pula, memang seronok tetapi saya pun malas dengan cuaca yang sejuk. Kalau saya pergi pun, semata mata nak mengembirakan anak anak. Jadi saya pun tak tahu apa yang saya nak sebenarnya. Apa yang saya tahu, saya suka duduk di rumah sahaja. Lebih tepat duduk memerap di bilik. Adooi parah lah penyakit macam ni. Tolooong apa nak buat niiii? Bila dilihat gambar gambar lama, rupanya banyak negara juga yang telah saya kunjungi. Jadi memang patutlah kalau saya macam dah tak ada perasaan untuk bercuti. Meh kita masuk sikit bab resepi dan masakan. 

Bila selera makan tak ada, memang saya mencari masakan yang ringkas. Kadang kadang makan dengan nasi putih tak berkuah pun. Lebih lebih lagi nasi menggunakan beras Basmathi atau yang menggunakan beras yang sedap sedikit. Kalau masa kecil dulu, kami hanya makan nasi menggunakan beras yang padi ditanam sendiri oleh kedua ibubapa kami. Padi yang ditanam akan disimpan untuk dimakan sehingga musim padi berikutnya. Bila kehabisan beras, saya ditugaskan untuk menjemur padi di atas tikar dan bila kering akan ditumbuk. Saya sempat juga menghantar padi dengan menaiki basikal untuk dimesin di kilang berdekatan. Saya beli petai yang dijual di depan gerai makan Tangling ketika ke sana untuk bersarapan. Nampak isinya besar dan bulat bulat, beli 2 ikat dengan harga RM10.00. Kebetulan juga Juita ada balik, jadi saya memasak lauk pauk berasaskan petai kerana Juita memang sukakan petai. Boleh juga lihat resepi Masak Sardin dengan Petai di SINI 

Jom layan resepi yang mudah dan sangat menambat selera. Pendek kata masakan ringkas seperti ini boleh menambah selera makan. Jangan lupa tengok video di instagram azie kitchen dan LIKE sekali. Hahaha abaikan kuali antik saya tu. Kuali pertama yang dibeli selepas berumahtangga. Hitamnya dah tak boleh disental. Nama pun kuali kan. Kalau tak hitam, dah tak macam kuali. Jadi ada sentimental value. Walaupun ada banyak kuali di rumah, kuali tu juga yang jadi pilihan setiap kali hendak memasak. Ada periuk dan kuali yang dibeli di US dan ada yang dibeli di Australia. Rajin membeli tapi sayang nak diguna. Lagi pun saya memasak untuk hidangan keluarga, bukan sekadar memasak untuk blog....





Sambal Ikan Bilis dan Petai Ranggup

Bahan bahan:
1 papan petai - hiris nipis
1/2 mangkuk ikan bilis
2 - 4 tangkai cili merah - tumbuk
1-2 tangkai cili padi - tumbuk
Sedikit garam

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng petai hingga kekuningan. Angkat dan tos. Masukkan pula ikan bilis dan goreng sehingga garing. Angkat dan tos. 






Menggunakan minyak yang sama, tumis cili merah dan cili padi yang ditumbuk sehingga naik bau. Masukkan sedikit garam. Jangan lebih kerana ada ikan bilis yang agak masin. Jika tiada cili hidup, boleh juga menggunakan cili kisar tapi kena dimasak agak lama sedikit sehingga cili benar benar masak.





Setelah cili masak, tutup api dan biarkan sehingga agak suam. Masukkan petai dan ikan bilis yang digoreng. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan.






No comments:

Post a Comment