Responsive Ads Here

Monday 16 January 2017

Jeruk Buah Buahan Asam Boi Yang Sedap





Kebelakangan ini fikiran saya agak keliru dan bercelaru. Tiba tiba seperti saya keseorangan. Tanpa teman untuk berbicara. Mereka hilang tanpa dapat dihubungi menjadikan saya tertanya tanya, apakah hikmah di sebalik ini. Saya menjadi sangat down. Bila perkara ini saya luahkan pada Kak Kama, guru Al Quran saya ketika saya pergi ke rumah beliau untuk mengaji. Kak Kama telah menanyakan apa lagi yang saya inginkan, apa lagi yang saya tidak punya. Di saat orang lain perlu bekerja dan agak susah, sedang saya berjawatan yang baik dan bekerja dalam pejabat berhawa dingin, punya suami dan anak anak, punya rumah dan kereta, punya anak anak yang sihat dan sempurna, hidup dalam lingkaran golongan elit. Beliau memberi contoh seorang jiran beliau yang seumur hidup terpaksa menjaga anak orang untuk mencari nafkah. Kak Kama menasihatkan saya supaya melihat orang yang lebih susah dan memperbanyakkan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan selama ini. Bak bertih, Kak Kama bersyarah. Saya tidak menjawab kepada semua pertanyaan Kak Kama. Semua yang Kak Kama sebut adalah bukan perkara yang saya tidak tahu atau bukan perkara yang pertama kali saya mendengarnya. Semuanya benar belaka. Tetapi kecelaruan saya tidak semuanya berkait dengan apa yang Kak Kama sebutkan. Saya tinggalkan majlis hari itu, dengan satu perasaan yang bertambah "takut" bila Kak Kama berkongsi apa yang dipesan kepada beliau bahawa bila umur meningkat, badan kita berbau tanah. Balik dari rumah Kak Kama, saya kerap mencium lengan saya kalau ianya telah berbau tanah. Ya tidak mustahil kerana kita dijadikan dari tanah dan jasad kita akan kembali bersemadi di dalam tanah.

  
 
 
Saya menulis apa yang saya inginkan seperti ingin jadi baik, ingin jadi seorang yang humble tetapi hakikatnya saya sentiasa tidak bersendirian. Saya sentiasa dihasut supaya menjuruskan diri pada dunia yang penuh hina dina. Ada kalanya saya sangat benci dan merasa sangat jengkel melihat kekaguman dan sanjungan dunia pada pangkat jawatan, pada gelaran, pada harta kekayaan. Darjat seseorang terus menjadi tinggi dengan hanya bergelar dan berjawatan. Begitu kah? Saya tidak seharusnya mengambil hirau akan semua ini. Tetapi bila saya memikir dan sakit hati akan semua itu, bermakna saya adalah seorang yang hampir tewas. Tewas dengan nafsu sendiri. Saya memang benci dengan permainan dunia tapi saya gagal untuk mengeluarkan diri secara total darinya. Di kebanyakan masa, saya terjerumus. Saya tidak melakukan seperti apa yang saya ingin lakukan. Tidak ada salahnya mencari dunia demi akhirat. Islam tidak melarang hambaNya mencari kekayaan dunia. Yang salahnya bila dunia disanjung sanjung, mencari dunia untuk kemasyhuran dan beriak riak. Ini yang harus dilawan, nafsu yang mengajak kepada perkara yang negatif.  

Bila diri terkapai kapai, saya mencari seseorang sebagai teman bicara. Baru lah saya tersedar yang saya sebenarnya hanya bertemankan teman alam maya melalui perantaraan iphone dan ipad. Mereka lah "teman" yang sentiasa mengembirakan hati saya. Hmm mungkin betul saya keliru dan celaru. Saya hanya menulis mengikut fikiran yang celaru. Celaru seperti jeruk buah asam boi agaknya. Dalam satu bekas terdapat pelbagai rasa manis, masam, pedas dan masin. Tak tahu yang mana satu yang saya suka dan yang mana satu yang saya tidak suka. Cukuplah di sini dahulu kerana saya tahu pada akhirnya hanya saya yang perlu terus berjuang untuk berada di jalan yang benar. 
 
Jom layan Jeruk Buah Buahan Asam Boi yang sangat popular sekarang ini. Lebih lebih lagi bila melihat Zarina Zainuddin menjual di Instagram beliau. Harga jika dibeli sangatlah mahal. Jadi jom kita berjimat dengan menyediakannya sendiri di rumah.....


 
 
Jeruk Buah  Buahan Asam Boi

Bahan bahan:
3 biji mangga lemak manis muda
1 biji jambu batu
15 biji asam boi - saya suka warna putih
3 tangkai cili padi merah ~ di hiris halus
1 cawan gula pasir

Cara cara:
Kupas dahulu mangga muda dan jambu batu. Buang kulit mangga, buang biji dan dihiris nipis. Rendam dalam air kapur dalam 20 minit untuk meranggupkan buah buah jeruk. Kemudan cuci bersih dan tos sehingga
 
 
 
 
Masukkan cili padi dan asam boi. Masukkan gula pasir dan kacau rata.  Masukkan ke dalam bekas dan simpan dalam peti ais dalam 3-4 jam. Sedia untuk dimakan. Saya masukkan gula ke dalam bekas terus sebab ala ala nak cepat.
 
 
 
 
 
Nota:
Boleh juga ganti cili padi dengan chilli flakes.

Boleh letak limau kasturi yang dibelah dua ke dalam jeruk.

No comments:

Post a Comment