Satu kelemahan saya dari dulu hingga sekarang ialah tidak dapat membuat keputusan sendiri dalam bab berfesyen. Saya perlukan input dari orang lain. Itu sebab bila ke Jakel, saya perlukan sales assistant yang boleh memberi input akan sesuatu design atau corak. Saya akan mendengar apa yang diperkatakan sehingga ianya dapat menyakinkan saya akan sesuatu pilihan. Kakak saya, Cikgu Asiah yang baru bersara awal baru baru ini memang sejak zaman remaja seorang yang anggun dalam berfesyen. Kakak saya memang sangat cantik semasa remaja, malahan sehingga kini masih terserlah keanggunannya. Menpunyai citarasa tinggi. Dia adalah idola saya di mana dalam segala segi saya ingin mengikutnya. Sehingga set pinggan pertama saya juga adalah mengikut corak set pinggan Arcopal di rumah kakak. Baju baju dia pantang ada di rumah, sayalah yang akan mengebasnya. Seronok bila dapat bergaya dengan baju kakak. Semasa mendaftar masuk ke universiti, beberapa helai baju kakak juga saya rembat sebagai pakaian saya ke kuliah. Bukan sahaja pakaian tetapi bab rambut, dia yang memotong sendiri rambut saya menyebabkan saya tidak reti untuk memilih fesyen rambut sendiri.
Kakak saya juga sangat pandai di sekolah, aktif bersukan dan pandai memasak. Minat memasak dalam diri saya pun dipupuk secara tidak langsung apabila biasa menemani dia mencuba pelbagai resepi masakan dan kuih muih. Masih ingat lagi dia menyediakan sejenis kuih Raya yang sangat femes di Bukit Piatu Melaka. Ketika itu, dia belajar di Sekolah Menengah Teknik di sana. Katanya masyarakat di sana berlumba lumba untuk menghasilkan kuih yang dicanai nipis. Sejak dari Tingkatan Satu, beliau telah memasuki sekolah aliran Inggeris berasrama Sekolah Menengah Zainab yang merupakan sekolah elit di Kelantan untuk pelajar perempuan. Dialah kebanggaan dan kesayangan kami sekeluarga. Berbalik pada fesyen, sehingga kini saya mengakui yang saya tidak menpunyai citarasa sendiri dalam berfesyen. Taste yang ada pada kakak saya kini ada pada Nellisa, anak saya yang kedua di mana beliau yang memilih corak dan rekaan pakaian saya. Apa yang lihat tidak cantik pada mulanya, tapi bila dipilih oleh beliau, saya akan melihat keunikannya. Saya cuma tahu mahukan sesuatu yang berkualiti tinggi yang dilihat dari harga yang mahal. Sedangkan kakak saya memilih yang cantik dengan harga murah. Amat ketara berbeza dengan saya. Jadi kakak saya bila bershopping, akan menghabiskan masa yang lama dan terkenal di kalangan keluarga kami. Pendek kata penat betis kalau mengikut dia bershopping. Cukup setakat ini kisah kakak saya. Sekarang kita masuk sedikit bab masakan.
Hari ini saya mahu kongsikan Sup Daging yang disedikan Nana. Selain sup daging, kami juga memasak Ikan Siakap 3 Rasa yang sangat mudah dan sedap. Boleh klik di SINI. Sup seperti ini sedap juga menggunakan ayam tapi kalau ayam, tak perlulah dimasak dalam pressure cooker. Hahaha ini pesanan untuk anak anak yang baru belajar memasak lah. Nana pandai merasa masakan menyebabkan apa yang disediakan sedap dan secukup rasa. Kelebihan ini, tidak ramai yang miliki. Kadang kadang kena rasa berulang kali bagi menentukan samada sudah cukup asam garam sesuatu masakan.
Jom layan resepi yang mudah tapi sangat membangkitkan selera terutama di kala badan tidak berapa sihat. Saya dijangkiti virus influenza yang menyebabkan saya demam dan tidak sihat agak lama. Menurut doktor, ianya boleh memakan masa sehingga 6 minggu mengikut ketahanan badan masing masing. Jadi bila dapat menghirup kuah sup seperti ini, memang nyaman sekali rasanya.
Sup Daging
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Daging
1-2 biji ubi kentang - potong kecil
1 batang karot
Daun sup
Bawang goreng
Limau kasturi
Garam
Ajino-moto
Bahan Penumis:
5 ulas bawang merah - tumbuk kasar
3 ulas bawang putih - tumbuk kasar
1 inci halia - tumbuk kasar
1 sup bunjut
Kulit kayu manis, bunga lawang
Cara cara:
Rebus daging menggunakan pressure cooker.
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis semua bahan tumis sehingga wangi. Masukkan sedikit air dan kemudian masukkan ubi kentang dan karot. Masak sehingga ubi kentang lembut.
Setelah daging empuk, tuang bahan yang ditumis ke dalam daging yang direbus. Masukkan garam, sedikit ajino-moto dan sesuaikan rasa.
Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng, daun sup serta sedikit air limau kasturi.
No comments:
Post a Comment