Responsive Ads Here

Monday 10 April 2017

Cekodok Pisang Rangup





Memang benar apa yang didengar sebelum ini, tiada kegembiraan mutlak dalam hidup ini. Selepas kita berjaya memiliki sesuatu yang dihajati, kita akan berhajat kepada perkara yang lain pula. Tiada kesudahan kerana kehendak manusia yang tidak terbatas. Kegembiraan jika dinikmati pun hanya seketika. Selepas tawa ria, kita akan kembali bersendirian atau pun berdukacita. Setiap orang menpunyai masalah masing masing. Cuma cara menanganinya sahaja yang berbeza antara satu sama lain. Semalam sewaktu bersembang dengan sepupu saya, tiba tiba termasuk topik kemewahan di mana ada rumah yang dia kunjungi bersusun dengan kereta kereta mewah. Secara jujur saya tidak pernah merasa envy dengan kemewahan begini. Ramai juga kawan kawan se kampus kami dahulu yang kini kaya raya, malahan jurang bak langit dengan bumi dengan kami. Namun saya tidak sedetik merasa rendah diri atau iri hati. Cukup dengan apa yang saya miliki. Saya gembira kerana apa yang saya miliki adalah hasil duit gaji dan titik peluh sendiri. Tiada cable, tiada connection dan tiada projek. Mudah mudahan saya tidak akan dipersoal bab dari mana datangnya harta di hadapan Allah kelak. Saya bersabar berpuluh tahun dan menyimpan untuk memiliki harta, barang kemas dan bag tangan mewah yang diidamkan. Dengan izin Allah, saya memiliki semuanya walaupun dengan sukar dan kepayahan. Namun kenikmatan dunia ini hanya seketika, setelah berjaya memiliki apa yang dihajati, apa yang kita buat dengan nya? Sekadar untuk memuaskan hati dan nafsu sendiri yang sebenarnya kosong kosong tak berisi. Atau kerana kita hidup dalam masyarakat, perasaan tidak mahu ketinggalan atau bagaimana? Saya pun tiada jawapannya...





Semasa keluar bersarapan dengan Hubby di Restoran Rabiha, saya ternampak ada lori menjual pisang. Selepas makan, kami pergi ke tempat lori untuk mencari pisang berangan. Tapi pisang yang ada, hanyalah pisang emas dan pisang Abu. Jadi kami belilah juga pisang emas untuk dibuat Cekodok. Hari minggu ini, adalah masa untuk memasak atau menyediakan kuih muih. Saya juga beli 2 ikat serai dengan harga RM2.00. Sangat murah kerana seikat ada 6 batang serai yang gemuk gemuk. Perbezaan resepi ini dengan yang sebelumnya adalah saya menambahkan mentega dalam adunan yang berfungsi untuk membantu merangupkan cekodok anda. Jika suka, boleh juga diletakkan soda bikarbanat tapi saya tak suka cekodok kembang macam kek. Saya suka cekodok yang padat macam cekodok dulu dulu. 

Jom kita layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Juga jangan lupa singgah di Instagram Azie Kitchen untuk video. Video sekadar suka suka jer bukan kerana orang lain tak pandai buat cekodok. 



Cekodok Pisang 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan
8 biji pisang emas
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar mentega
1 sudu besar gula pasir
Secubit garam

Cara-cara
Lenyek pisang sehingga hancur. Masukkan gula dan garam. Kemudian masukkan mentega dan kacau rata. Masukkan tepung gandum dan dikacau rata. 





Panaskan minyak dan setelah minyak betul betul panas, masukkan adunan. Jika mahu cantik, guna jari. Tapi saya sambil mengambil video, terpaksa menggunakan sudu. Goreng dengan api sederhana. 





Setelah masak, dibalik balikkan. Bila bertukar warna keemasan, bolehlah angkat dan tos atas tisu dapur. Sedia untuk dihidangkan.






No comments:

Post a Comment