Responsive Ads Here

Friday 23 September 2016

Rendang Ayam Sedap dan Tahan Lama Azie Kitchen





Sebelum tidur biasanya saya akan mendengar kuliah ustaz ustaz di youtube. Antara yang biasa saya tonton ialah youtube Ustaz Jafri Abu Bakar. Saya suka mendengar berulang kali bab amalan yang boleh meninggikan darjat. Antaranya ialah membaca "Laa Ilaa Haillallaahu wahdahu Laa syarikalah, Lahul Mulku Walahul Hamdu Yuhyi Wayumit, Wahua 'Alaa Qulli Syaiin Qadiir" yang mana akan dihapuskan 10 kejahatan, diberikan 10 pahala dan diangkat 10 darjat. Ianya dibaca sebanyak 10 kali selepas solat Maghrib dan Subuh dengan syarat tidak berkata apa apa selain ini dan juga kaki masih dalam kedudukan tahiyat akhir. Selain itu, saya juga belajar mengenai kelebihan istighfar di mana ianya dapat menghilangkan perasaan gundah gelana, dapat menghilangkan masalah yang dihadapi serta akan diberikan rezeki yang tidak disangka sangka. Lengkap sekali kerana tiada masalah, tiada gelisah, diberi rezeki. Itulah yang dikehendaki oleh semua insan di muka bumi ini. Jom sama sama kita amalkan amalan mudah tetapi sangat banyak kelebihannya. Bak kata Ustaz Jafri, semasa masih bernyawa, rebutlah peluang membuat pahala dengan mengamalkan amalan yang mudah mudah ini. Peruntukkan masa tertentu untuk membacanya. Tidak boleh hanya mahu membaca, bila kita menpunyai masa kerana yang pasti kita tidak akan ada masa. Jadi sebagai contoh, sebelum tidur atau selepas setiap kali solat, kita peruntukan masa untuk berzikir, membaca surah surah pilihan dsb.

Resepi rendang ayam ini adalah A Keeper Recipe yang memang menjadi pilihan saya terutama untuk hari raya. Kenapa hari raya? Kerana hari raya, lauk dan makanan banyak. Kita juga banyak berkunjung ke rumah. Jadi bila rendang tahan lama, bolehlah dimakan sehingga ke beberapa hari dengan tidak basi. Kalau hari biasa, mungkin dalam sehari rendang kita telah habis dimakan. Kalau mahu melihat video, kenalah singgah di Instagram Azie Kitchen. Rendang ini disediakan semasa hari raya Aidil Adha yang lalu, kira macam ulang tayang resepi jer ni. Anak bujang saya Aween yang memgacau sehingga masak. Saya bertindak sebagai videographer yang merekodkan sepanjang ianya dimasakkan. Menyediakan rendang ayam ini kena bertabah lah kerana memang lama dan kena dikacau selalu. Tapi hasilnya berbaloi baloi kerana ia menjadi warna gelap umpama Rendang Minang. Kalau ikut kawan saya, memang Rendang Minang pun. Rendang Minang versi keluarga beliau. Minyak yang terbit akan kembali diserap sehingga tiada lagi minyak. 

Jom layan resepi yang saya sertakan sekali lagi di bawah ini. Jika membuat rendang, saya suka memasukkan kaki kaki ayam yang memang dikatakan kaya dengan kalogen. Saya akan meratah kaki ayam sahaja. Bahagian daging memang tak berapa gemar. 




Rendang Ayam Sedap dan Tahan Lama

Bahan bahan:
2 ekor ayam
1 kg bawang merah - hiris
3 labu bawang putih - hiris
4 inci halia - hiris
4 inci lengkuas - tumbuk
2 inci kunyit hidup - tumbuk
4 batang serai - titik
4 senduk cili kisar - ikut suka pedas
Kayu manis, buah pelaga, bunga lawang
4 kg santan 
2 keping asam keping - ikut rasa
Garam 
Gula
Daun kunyit - opsyenal
Sedikit kerisik - opsyenal utk warna gelap

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bahan hiris serta serai sehingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar dan kunyit serta lengkuas yang ditumbuk. Tumis sehingga cili benar benar garing.

Masukkan ayam dan gaul rata sehingga ayam kecut. Masukkan sedikit santan cair bagi membolehkan ayam masak. Setelah itu, baru dimasukkan semua santan dan masak dengan api perlahan sahaja. 

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula dan asam keping secukup rasa. Masak sehingga kuah kering dan pecah minyak. Jika suka, boleh taburkan daun kunyit yang dihiris halus sebelum ditutup api.

No comments:

Post a Comment