Responsive Ads Here

Sunday 28 May 2017

Ayam Masak Lemak Cili Padi Resepi Chef Ridzuan





Memang setiap kali Ramadhan, saya akan mengurangkan aktiviti memasak di dapur. Saya hanya memasak yang ringkas ringkas atau memasak lauk untuk hidangan sahur. Ini adalah kerana anak anak saya suka ke Bazar Ramadhan untuk membeli lauk pauk dan kuih muih. Jadi saya tak mahulah membazir bila terlalu banyak makanan di rumah. Keduanya kerana saya mahu memberi tumpuan pada ibadah bulan Ramadhan. Bila mendengar Hubby mengeluh kerana katanya Bazar Ramadhan tak menarik, tak banyak gerai dan lauk dan kuih yang dijual juga tidak menarik, saya terus meminta Hubby membelikan bahan bahan untuk memasak. Seperti biasa lauk bulan Ramadhan saya adalah lauk yang ringkas tetapi yang digemari oleh anak anak. Itu yang penting. Saya mendapat idea untuk memasak Ayam masak lemak selepas makan ayam masak lemak yang dimasak oleh Chef Ridzuan yang dilantik untuk memasak hidangan berbuka puasa di surau Ad Dhuha. Masak lemak disediakan untuk berbuka pada hari pertama berpuasa di bulan Ramadhan. Rasanya sangat sedap. Saya siap menambah lauk kerana dah berazam untuk mengurangkan pengambilan nasi. Tak senang duduk saya dibuatnya, selagi tidak mengetahui bahan bahan yang digunakan dalam gulai ini. Saya tak pasti kalau ianya masak lemak cili padi asli nogori atau versi masak lemak cili padi yang lain. 





Pada hari kedua, saya kebetulan berjumpa dengan Chef. Apa lagi, pasti soalannya adalah bahan yang diguna untuk memasak masak lemak semalam serta tips. Kata Chef cili padi dikisar sekali dengan tangkai untuk merasai kelainannya dengan masak lemak yang menggunakan cili padi yang dibuang tangkai. Mungkin ini cara Chef yang dah bertahun tahun berpengalaman memasak di hotel hotel. Maklum mereka memasak dalam jumlah yang banyak, jadi cili padi yang dibasuh terus dikisar. Agak saya lah. Hahaha. Menurut Chef, beliau menumis bahan kisar dengan sedikit minyak. Mungkin sebab dia memasak dalam jumlah yang banyak. Lebih mudah jika bahan ditumis. Selain itu, ayam yang digunakan juga tidak dibuang kulit sepenuhnya. Jadi kuahnya memang nampak cukup naik minyaknya berbanding apa yang saya hasilkan. Juga menurut Chef, sedap juga jika menggunakan daging untuk resepi ini.

Sebelum kita layan resepi, saya nak kongsikan sedikit berkenaan antara doa yang patut kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan ini. Saya belajar semasa kuliah Ustaz Ibrahim Muhammad beberapa tahun yang lalu. Sepanjang bulan Ramadhan, doa adalah mustajab. Ada satu detik dalam bulan Ramadhan, di mana Allah SWT akan membebaskan hambaNya yang sepatutnya masuk neraka. Jadi kita berdoa dalam Bahasa Melayu pun tak apa. Ya Allah, masukkan nama aku dan seluruh ahli keluarga ku ke dalam senarai nama mereka yang dibebaskan dari api neraka. Ada ustaz yang mencadangkan supaya kita berdoa semasa setiap kali sujud. Tapi jika di dalam bahasa, doa hendaklah di dalam hati sahaja. Kalau tidak, kita kena berdoa di dalam bahasa Arab, Allahummaj alni, min 'utaqoo ika minannaar. Selamat beramal. Sebanyak mana pun amalan, jika dosa tidak terampun, kita belum terlepas dari siksaan neraka. Jadi matlamat kita adalah untuk mendapat keampunan Allah dan untuk masuk syurga Allah tanpa hisab.

Jom layan resepi yang saya salin dari Chef hari ini. Selamat mencuba semua. Nanti share apa hasilnya, sedap atau tidak ya.   





Ayam Masak Lemak Cili Padi Versi Chef

Bahan bahan:
1 ekor ayam
1 1/2 kotak santan kotak
2 sudu kecil garam atau secukup rasa
1 1/2 keping asam keping
2 batang serai - ketuk
Sedikit serbuk perasa

Bahan kisar:
Segenggam cili padi - Jangan dibuang tangkai
2 inci kunyit hidup
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia - guna sikit sahaja


Cara cara:
Masukkan bahan kisar ke dalam kuali bersama ayam. Nyalakan api perlahan dan biarkan ayam kecut dan masak bersama dengan bahan kisar tadi. Ketika ini, air ayam akan terhasil. Nota: Chef tumis bahan kisar sehingga wangi. 

Kemudian masukkan santan dan air secukupnya, serai dan kacau rata sehingga mendidih. Masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa. Setelah sesuai rasa dan kuah dah cantik, bolehlah tutup api. 




Nota:
Boleh juga menggunakan daging dan diletak ubi kentang untuk resepi ini. 




No comments:

Post a Comment