Responsive Ads Here

Monday 20 February 2017

Cupcake Pandan Gula Melaka Yang Sangat Sedap




Hari ini saya ingin kongsikan berita gembira iaitu page view blog Azie Kitchen telah melepas 100 juta. Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan semua. Anda telah mewarnai hidup saya dan menjadi teman setia saya walau di mana berada. Kali ini saya nak petik sedikit kuliah Ustazah Noraini tafsir ayat 94-96 Surah An Nisa. Bukan tafsir ayat ayat tersebut tetapi apa yang disebut ustazah semasa menghuraikan tafsiran. Antaranya ialah bab ehsan. Ehsan adalah seorang beribadah seolah nampak Allah dan sentiasa ingat bahawa Allah nampak kita. Jadi selalu beringat dan berjaga jaga. Umpama kita berkelakuan baik depan polis atau bila tahu ada kamera AES. Masa tu kita tak bercakap di telefon dan tak memandu melebih had laju ditetapkan. Kita kena buat baik seolah kita nampak Allah depan mata. Ehsan akan buat kita rasa lebih ikhlas. Kedua yang saya nak share adalah berkenaan bersangka baik dengan Allah. Kita kena meletak tahap husnuzon paling tinggi pada Allah. Antara contoh tanda kita bersangka baik dengan Allah adalah apabila kita tetap berdoa secara konsisten walaupun benda yang kita mohon masih belum termakbul. Tetap berdoa tanpa jemu setiap hari. 






Kita kena menilai sesuatu kebaikan bukan mengikut kehendak kita. Bukan pandangan kita yang penting tapi pandangan Allah. Allah tahu apa yang baik untuk kita. Bukan apa yang kita nampak baik. Jadi ini lah yang saya pegang bila apa yang saya hajati, tidak dimakbulkan kerana mungkin ianya sesuatu yang tidak baik untuk saya sendiri. Ketiga berkenaan ayat 95-96 bab perbandingan kelebihan berjihad harta dan berjihad diri di jalan Allah dengan orang yang tidak berjihad. Contoh jihad harta adalah wakaf, infaq dan sedekah. Apa contoh jihad dengan diri? Iaitu, korbankan diri ke jalan Allah. Jihad dengan diri adalah jihad melawan nafsu. Lawan rasa malas nak hadir majlis ilmu, korban rasa malas nak pergi mengaji dsb. Allah janjikan 3 kebaikan untuk orang yang berjihad dengan harta dan jihad diri iaitu ketinggian darjat dari orang lain, balasan syurga dan pahala yang berganda. Selain itu diberikan keampunan serta kerahmatan pada orang yang berjihad dengan harta dan dirinya. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan terus mengamalkan kebaikan dari perkongsian dengan kadar segera dalam kehidupan kita. 




Sekarang kita masuk sedikit bab resepi. Saya menyalin resepi ini dari Nana selepas merasa cupcake yang dibuat Nana. Resepi ini Nana dapat dari kelas baking yang dia hadiri. Sangat sedap keknya, gebu dan lembab serta rasa pandan dan santan. Lebih lebih lagi pulak, frosting nya yang mulus gebu diletak pula gula karamel, memang speechless.  Sangat sedap untuk orang seperti saya yang berselera kampung. Cuma kalau orang yang tak suka manis, akan rasa kek ini agak manis sedikit. Jadi bolehlah dikurangkan gula samada dalam kek atau di dalam buttercream.

Jom saya kongsikan resepi yang saya olah dari kertas catatan Nana. Boleh jadi rujukan anak anak yang lain jika mereka ingin membuatnya sendiri. Hahaha tak perlu nak pergi kelas. Mereka hanya memberi sukatan bahan yang diguna tetapi tiada detail cara cara menyediakannya. Jadi saya olah dan mesej Nana untuk mengesahkan cara cara yang ditulis oleh Nana di kertas tersebut. Untuk satu adunan, dapat 20 biji cupcake menggunakan cawan saiz 10. Jom layan...



 
Cupcake Pandan Gula Melaka

Bahan A:
150 gram mentega
1 cawan gula kastor
1 sudu kecil esen vanilla

Bahan B:
2 biji telur

Bahan C:
1 1/2 cawan all purpose flour
1/2 sudu besar baking powder

Bahan D:
100 ml santan
50 gram susu
3 sudu besar extract pandan
Pewarna hijau

Cara cara;
Putar bahan A dengan kelajuan sederhana sehingga kembang. Masukkan telur satu persatu sambil terus diputar.

Masukkan bahan C dan bahan D secara berselang seli. Kacau secara kaup balik sehingga rata.

Masukkan ke dalam kertas cawan saiz 10 (boleh dapat 20 biji).

Panaskan oven pada suhu 170C dan bakar selama 25-27 minit atau sehingga masak. Keluarkan dari oven dan sejukkan atas rak.

Nota;
Boleh kisar daun pandan yang digunting halus dengan sedikit air. Tapis dan sukat secukup yang diperlukan.






Swiss Meringue Buttercream

Bahan bahan:
4 biji telur putih
1 cawan gula kaster
300 gram mentega
1/4 cawan santan
Sedikit esen vanilla

Cara cara:
Satukan telur putih dan gula. Panaskan secara double boil sehingga gula hancur.

Putar dengan kelajuan sederhana sehingga menjadi bertanduk.  Biarkan sejuk seketika.

Masukkan mentega dan diputar lagi hingga kembang.  Masukkan santan dan esen vanila. Dan putar lagi sehingga menjadi sangat gebu.

Sedia untuk digunakan pada cupcake yang telah sejuk. Hias dengan karamel gula Melaka.

 
Caramel Gula Melaka

Bahan bahan:
50 gm gula Melaka
1 helai daun pandan
1 sudu besar gula
1/2 cawan air

Cara cara:
Satukan semua bahan dan masak hingga gula larut dan pekat. Jika kurang pekat campurkan 1 sudu teh tepung jagung yang di bancuh dengan sedikit air. Masak semula hingga pekat. 

Sejukkan sebelum digunakan untuk drizzle atas cup cake tadi.



No comments:

Post a Comment