Responsive Ads Here

Thursday 17 November 2016

Ayam Masak Kicap Paling Simple





Sejak pandai ber Instagram ni, rajin juga saya melayan video ringkas artis yang suka memasak. Antara yang saya suka tengok ialah IG masakan Fasha Sandha dan Dato Aliff Terlajak Laris. Nampak macam mereka pandai memasak. Lauk lauk yang dimasak oleh Fasha adalah lauk harian yang mudah seperti ikan kembong goreng, sup ayam, ayam masak kicap, sambal belacan dan sayur bayam. Yang simple begitu, juga yang tak jemu dinikmati. Walaupun sekadar ikan kembong goreng, tidak semua kita pandai menggoreng ikan dengan garing walaupun setelah sejuk. Begitu juga dengan sambal belacan, tak ramai orang rajin untuk menumbuk cili untuk dibuat sambal belacan. Itu termasuklah saya sendiri. Lagi yang saya tengok ialah ayam masak kicap yang sangat simple, sesuai untuk hidangan anak anak kecil yang tidak boleh mengambil makanan pedas. Jadi hari ini, saya memasak ayam masak kicap seperti Fasha Sanda. Masak kicap kosong kerana tidak diletakkan cili kisar atau serai atau kulit kayu manis pun.

Sementelah menyentuh nama Dato Aliff Syukri Terlajak Laris, saya sebenarnya tidak pernah kisah pun mengenai beliau. Cuma satu hari bila terbaca IG beliau, saya tiba tiba menjadi kagum akan kegigihan dan semangat kental yang beliau miliki. Ketiadaan kelulusan tinggi dan ketidakpandaian berbahasa Inggeris bukan menjadi penghalang untuk beliau menggapai kejayaan. Yang penting dalam pekerjaan, terutama yang bekerja sendiri mesti lah bekerja dengan bersungguh sungguh. Jangan nak mengambil kesempatan atas kebaikan dan pertolongan yang diberi oleh boss. Kena menjaga batas dalam pergaulan. Kena tahu batas antara boss dengan staf. Kena sensitif dengan perasaan dan maruah orang lain.

Berbalik kepada resepi pula, masakan seperti ini sangat praktikal disediakan di kala sedang bercuti sebab bahan yang digunakan sangat simple dan memasaknya juga sangat mudah. Ada kalanya saya suka tinggal di apartment yang boleh memasak masa bercuti terutama ketika ke Kota Kinabalu. Puas dapat menjamu anak anak dengan makanan laut yang lebih jimat dan sedap jika dimasak sendiri. Resepi ini hanya menggunakan bawang merah dan bawang putih yang ditumbuk. Jika suka, boleh juga diletakkan sedikit halia tetapi anak anak mesti tidak suka rasa halia.... Jom kita layan resepi mudah ini.





Ayam Masak Kicap Paling Simple
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
6-7 ketul ayam -  lumur garam kunyit dan goreng
Kicap lemak manis
1/2 biji bawang besar Holland - belah 6
1 tangkai cili merah/cili padi
Beberapa helai daun kari - tak letak

Bahan Tumbuk:
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak menggoreng ayam dan tumis bahan tumbuk sehingga wangi. Masukkan ayam yang telah digoreng. Kacau rata.

Masukkan pula kicap lemak manis secukupnya. Akhir sekali, masukkan bawang besar dan cili merah. Sesuaikan rasa. Bolehlah ditutup api.


No comments:

Post a Comment