Saya memang tidak ada mood untuk menulis kebelakangan ini. Memang mood ke laut. Walaupun cuba untuk bertenang, tapi ada ketika terasa juga stress. Alih alih terus badan rasa tak sihat, rasa panas demam dan mula sakit tekak. Memang stress bila saya terpaksa mencuri curi masa yang ada untuk membuat senarai tetamu, mendapat pengesahan kehadiran dan kemudian menyusun atur meja tetamu mengikut kategori. Sebelum tidur, saya akan membuat semakan termasuk memastikan ejaan nama dan gelaran adalah tepat. Mengadakan majlis pada akhir tahun agak mencabar kerana ramai sahabat sahabat saya yang bercuti ke luar negara, ada yang mengerjakan umrah dan ada juga yang terpaksa menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga yang jatuh pada hari yang sama. Mengadakan majlis perkahwinan secara "seated" menambahkan lagi pening kepala. Bukan senang untuk memastikan tetamu yang se geng sekepala berada di meja yang sama. Seboleh mungkin, saya tidak mahu ada pembaziran bila meja tidak dipenuhi. Jadi bila di saat akhir, ada yang tidak hadir, saya terpaksa cepat cepat menjemput rakan yang lain. Alhamdulillah teknologi banyak membantu terutama kemudahan WhatsApp yang membolehkan kita berkomunikasi dan mendapat pengesahan dengan cepat. Bayangkan bagaimanalah agaknya jika kita masih bergantung dengan sistem pesanan ringkas SMS. OK sekarang kita beralih bab resepi lah pulak.
Resepi hari ini adalah resepi biasa masak sambal pedas, cuma saya olah dengan menambah terung pipit. Saya mula kenal dan suka dengan terung pipit selepas mendengar cerita Nur Aizam, rakan sekerja lebih 20 tahun dulu berkenaan keenakan resepi ikan bilis goreng sambal dengan terung pipit keluarga beliau. Dari situlah, terung pipit mula menjadi antara sayuran kegemaran saya dengan rasanya yang sedikit pahit pahit. Saya lebih suka digoreng untuk kita merasai kemanisan isi udangnya. Jadi jika dimasak seperti ini, pasti kemanisan isi udang masih kekal.
Jom layan resepi mudah tetapi tidak cepat muak. Jangan lupa tengok video dalam Instagram Azie Kitchen ya....
Udang Goreng Pedas Dengan Terung Pipit
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
6 ekor udang
1 mangkuk terung pipit
1 batang serai - ketuk
1 keping asam keping
Garam
Bahan Tumbuk:
2 tangkai cili merah
1 tangkai cili hijau
3 tangkai cili padi
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang seketika. Angkat dan ketepikan. Masukkan pula terung pipit dan goreng seketika. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak yang sama, tumis pula bahan tumbuk sehingga wangi. Setelah itu, masukkan udang dan terung pipit yang digoreng tadi.
Masukkan asam keping dan sedikit garam. Bolehlah diangkat.
No comments:
Post a Comment