Responsive Ads Here

Saturday, 12 November 2016

Paru Sambal Pedas Sedap





Sukar untuk saya menulis apa yang ada di hati. Perasaan gembira dan sedih yang bercampur baur untuk menerima menantu sulong dalam keluarga kami. Setelah melalui liku liku dalam kehidupan, akhirnya anakanda kami akan melangsungkan perkahwinan dalam bulan hadapan. Bila dah smalai jodoh, semua berlalu dengan begitu mudah dan cepat. Setiap kali mengingatkan majlis besar ini, saya pasti sebak dan air mata akan bergenang tanpa disedari. Saya gembira kerana Nana akan memulakan hidup baru. Dalam masa yang sama saya sedih dan belum bersedia untuk melepaskan dia Untuk hidup sendiri. Hakikatnya kita tidak kehilangan anak sebaliknya mendapat tambahan anak menantu dalam keluarga. Entah lah perasaan saya agak tak keruan sekali. Belum lagi memikirkan bab persiapan akhir majlis. Memilih warna pakaian pun boleh menyebabkan saya pening. Belum lagi bab design baju, memilih tailor dan memilih kain. Maklum saya bukan hanya perlu memikirkan untuk saya tetapi juga untuk suami dan anak anak lelaki serta dua orang anak perempuan. Ya lah siapa pun pasti inginkan majlis yang terbaik dan sempurna. Semuanya ini menambahkan gangguan kesihatan saya sehingga terpaksa berulang ke klinik dan hospital. 

Sekarang kita bercerita sedikit bab masakan saya hari ini.  Hari minggu adalah hari saya berada di dapur melayan Hubby dan anak anak makan masakan dari air tangan saya sendiri. Kadang kadang separuh hari juga berada di dapur. Saya mengajak Boy ke Pasar Tani di Kota Dame untuk mencari paru lagi. Tapi sayang, kerana terlewat paru dah kehabisan. Saya mana pernah kenal erti putus asa, ligat kepala berfikir mana lagi tempat ada menjual daging. Akhirnya teringat ada pasar tani di tapak pasar malam Paya Jaras. Tanpa membuang masa, kami terus ke sana. Tak puas makan dan meratah paru baru baru ini. Jika sebelum ini saya menggunakan cili merah hidup, kali saya hanya menggunakan cili kering yang dikisar sahaja. Jika mahu melihat cara saya merebus paru boleh klik entri sebelum ini di SINI. Hari ini saya menggunakan 700 gram paru. Memang puas meratah sampai ke petang. Makan pula dengan Nasi Goreng Ikan Bilis Petai yang seriously sedap. Encik Hubby yang berat mulut untuk memuji pun hari itu memberikan pujian. Kembang hidung mendapat pujian yang spontan. 

Jom layan resepi yang saya olah dari apa yang dikongsikan oleh Puan Shakila, tuanpunya gerai nasi lemak di Kampung Melayu Kundang.



Paru Goreng Pedas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
700 gram paru - rebus empuk
2 hiris halia
1 batang serai - ketuk
1 1/2 biji bawang besar Holland - hiris
4 sudu besar cili kisar - boleh tambah
1 batang serai - ketuk
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula atau secukupnya
Air asam jawa

Bahan tumbuk kasar:
4 ulas bawang putih
10 ulas bawang merah
1 inci halia

Cara cara:
Rebus paru bersama halia dan serai serta sedikit garam dalam 30 minit atau sehingga empuk. Setelah empuk, angkat, tos dan sejukkan. Setelah sejuk, dipotong nipis.

Panaskan minyak dengan api yang kuat dan goreng paru (pastikan tenggelam dalam minyak yang banyak). Sentiasa dibalik balikkan supaya garingnya rata. Bila sudah garing, angkat dan ketepikan. Jika suka, boleh juga goreng paru separuh garing sahaja.




Menggunakan sedikit minyak yang sama, tumis serai dan bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak dan agak kering. Masukkan bawang besar, gula, garam dan air asam jawa. Kacau rata dan sesuaikan rasa. Mesti ada rasa manis sedikit. Tutup api.

Bila sambal sedikit sejuk, masukkan paru yang telah digoreng garing tadi. Kacau rata dan sedia untuk dinikmati.





No comments:

Post a Comment