Responsive Ads Here

Saturday 18 March 2017

Rendang Ayam Cicah Dengan Nasi Impit Yang Sedap






Kalau nak makan rendang dicicah dengan nasi impit atau dengan lemang, pasti kita mahukan rendang yang banyak serdaknya. Tak ada lah kuahnya hanya ngam ngam dengan isi ayam sahaja. Kali ini saya menggunakan lebih banyak kuantiti bahan kerana mahukan rendang yang lebih berserdak untuk digaul gaul dengan nasi putih panas panas atau dicicah dengan nasi impit. Teringat nasi impit berlaukkan rendang ayam yang dihantar oleh kawan Dato Salehuddin semasa beliau menerima rawatan di Tropicana Medical Centre. Katanya adat bagi orang Negeri Sembilan, bila ziarah orang sakit mesti membawa buah tangan yang berupa makanan yang dimasak di rumah. Orang sakit tak boleh makan, jadi kami lah yang makan hingga kekenyangan. Memang sedap rendang ayam yang digandingkan dengan nasi impit dalam pek kecil kecil yang dimasak oleh emak kawan Dato'. Selain itu, dibawa juga Kuah Lodeh bersama Sambal Tumis Sotong. Menyentuh sikit bab melawat orang sakit, sesungguhnya sangat besar pahala bagi orang yang menziarahi orang sakit, menziarahi kematian. Dulu saya jahil bab ini. Saya ingatkan hanya untuk sakit teruk atau dengan erti kata lain sakit nazak sahaja. Sebenarnya tak kira lah sakit apa pun. Itulah penting nya untuk kita menuntut ilmu. Jadi sementara kita masih berpeluang, kita ambil lah apa jua kesempatan yang ada untuk membuat amalan soleh. Semasa menziarahi kawan kawan yang sakit, seperti biasa saya akan memberi semangat dengan mengingatkan supaya bersabar kerana sakit akan menghapuskan dosa kecil bab daun daun yang jatuh berguguran di musim luruh. Selepas Dato' Salehuddin keluar dari hospital, kami melawat pula anak Haji Kamaruddin di SMC yang mengalami kecederaan pada kaki. Agaknya kerana kerap mengunjungi hospital dan ketahanan badan pula tak kuat, akhirnya saya pula mulai demam yang agak teruk hampir seminggu juga diberikan cuti sakit. Jadi saya mengingatkan diri supaya bersabar kerana sesungguhnya sakit boleh menghapuskan dosa kecil. 





Untuk rendang hari ini, saya menggunakan resepi dalam entri di SINI yang diletakkan sedikit buah keras. Fungsi buah keras adalah untuk menambah lemak dalam apa apa jua masakan kita seperti gulai atau sambal tumis. Boleh juga klik di SINI untuk resepi Rendang Ayam yang Sedap dan Tahan lama. Di SINI pula versi Rendang Pedas Tuan Syed. Jika anda inginkan rendang yang banyak kuah rendangnya, saya cadangkan anda guna resepi ini. Memang mewah jika ingin menggaul gaul kuah rendang dengan nasi putih panas panas. 

Jom layan resepi yang saya telah ubahsuai sedikit kuantiti bahan yang digunakan kerana saya mahukan rendang yang lebih serdaknya. Barulah sedap dimakan dengan nasi impit gitew... Nantikan videonya di IG dan youtube Azie Kitchen channel. 




Rendang Ayam Mudah dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - potong 12
2 cawan santan pekat - guna 1 -1 1/2 kotak santan kotak
2 -3 sudu besar kerisik
2 helai daun kunyit - dihiris halus
ulas bawang merah - hiris
4 ulas bawang putih - hiris
2 batang serai - hiris
2 senduk minyak masak untuk menumis
Garam
Gula/gula merah
1 keping asam asam keping

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering - guna 4 - 5 sudu besar cili kisar
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
3 batang serai
3 inci halia
3 inci lengkuas
3 biji buah keras

Cara-cara:
Hiris halus bahan bahan sebelum dikisar. Panaskan minyak dan tumis bahan dikisar hingga naik bau.

Masukkan ayam dan biarkan sehingga ayam agak kecut dan terbit minyak, baru masukkan santan. Dengan cara ini, rendang akan lebih sedap dan tahan lama. Terus masak dengan api kecil sehingga pekat dan pecah minyak.

Setelah kuah pecah minyak, masukkan kerisik, asam keping, gula dan garam secukup rasa. Sebelum diangkat, taburkan dengan daun kunyit.





Nota:
Jika suka rendang berwarna gelap, terus masak dengan api perlahan sehingga minyak rendang akan kering.




No comments:

Post a Comment